BERITA TERKINI   Kapal Malaysia pertama telah melepasi Selat Hormuz - Kedutaan Iran di Malaysia | Pada 6 petang ini, ringgit mengukuh di paras 4.0245/0320 berbanding dolar AS daripada 4.0295/0350 Jumaat lepas | Misi bawa 30 kontena bantuan kemanusiaan bakal beri manfaat kepada kira-kira 100,000 penduduk Palestin - MB Selangor | Misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 libatkan hampir 3,000 peserta dari kira-kira 100 negara - MB Selangor | Weststar Aviation Services menyasar untuk menambah jumlah pesawat kepada 60 daripada 32 dalam tempoh dua tahun | 

Pasaran Getah Ditutup Tinggi

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Pasaran getah tempatan ditutup tinggi pada Selasa sejajar dengan kebanyakan pasaran serantau berikutan sentimen meningkat selepas Amerika Syarikat (AS) menangguhkan pelaksanaan tarif ke atas China, kata peniaga.

Bagaimanapun, katanya kenaikan seterusnya dikekang oleh penurunan harga minyak dan ringgit yang kukuh berbanding dolar AS.

“Niaga hadapan getah Jepun diniagakan tinggi hari ini berikutan penangguhan tarif AS ke atas China yang meningkatkan sentimen pasaran walaupun kebimbangan mengenai permintaan bermusim yang mengehadkan kenaikan,” katanya kepada Bernama.

Dilaporkan bahawa Presiden AS Donald Trump telah mengarahkan agensi persekutuan untuk menilai prestasi China di bawah perjanjian perdagangan “Fasa 1” yang ditandatanganinya dengan Beijing pada 2020 untuk menamatkan hampir dua tahun perang tarif. 

“Trump tidak mengenakan sebarang tarif perdagangan ke atas China, Mexico dan Kanada -- tiga negara yang menjadi fokusnya dalam beberapa bulan ini -- pada hari pertama sebagai Presiden,” katanya.

Pada 5 petang, harga minyak mentah Brent merosot 0.61 peratus kepada US$79.64 setong.

Lembaga Getah Malaysia melaporkan pada 3 petang bahawa harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) naik 11.5 sen kepada 891 sen sekilogram manakala susu getah pukal meningkat dua sen kepada 647 sen sekilogram.

-- BERNAMA