90 Peratus Pemain Industri Jangka Gangguan Rantaian Dalam Tempoh Dua Minggu — FMM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Tinjauan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mendapati 90 peratus daripada lebih 200 responden menjangkakan gangguan rantaian bekalan dalam tempoh dua minggu akan datang disebabkan konflik Asia Barat.

Presidennya, Jacob Lee Chor Kok berkata beberapa bahan utama yang diperlukan untuk pembuatan mungkin bekurangan atau tidak tersedia, di samping kenaikan harga.

Konflik Asia Barat telah menjejaskan sektor itu dalam tiga bidang utama iaitu gangguan logistik; kos tenaga dan bahan api yang lebih tinggi dan gangguan material.

“Mengenai gangguan logistik, syarikat perlu mengalihkan penghantaran pada kos pengangkutan yang jauh lebih tinggi, sambil terpaksa menanggung lonjakan dalam bayaran insurans premium dan caj penyimpanan pelabuhan.

"Isu lain yang memberi kesan kepada setiap rakyat ialah kenaikan kos tenaga dan bahan api. Oleh itu, FMM merayu kepada kerajaan agar mempertimbangkan pemberian subsidi diesel kepada sektor berkenaan.

“Ketiga, terdapat gangguan bahan, terutamanya dalam produk derivatif petrokimia seperti polivinil klorida, polipropilena, polietilena dan resin plastik lain,” katanya semasa program “The Nation” bertajuk ‘Impak Konflik Asia Barat Terhadap Sektor Pembuatan Malaysia’, terbitan Bernama TV hari ini.

Beliau berkata memandangkan kebanyakan industri Malaysia terlibat dalam pembuatan konvensional, mereka sangat sensitif terhadap kenaikan kos berikutan margin yang tipis, yang menimbulkan ancaman besar kepada kemampanan perniagaan.

"Kami berharap kerajaan dapat mengambil langkah atau campur tangan untuk membantu mengurangkan lonjakan kos supaya syarikat tidak perlu menyalurkan terlalu banyak kenaikan kepada pengguna, yang seterusnya boleh mendorong inflasi," tambahnya.

Menurut Lee, sektor perkilangan Malaysia menyumbang dengan ketara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), memberikan 23 peratus daripada KDNK dan menggaji 2.3 juta orang.

"Kami (sektor pembuatan) mungkin pembayar cukai kedua terbesar di negara ini. Sementara itu, 86 peratus daripada eksport Malaysia adalah barangan perkilangan. Bagaimanapun, saya juga ingin menekankan bahawa 44 peratus daripada eksport kami datang daripada sektor elektrik dan elektronik, atau pembuatan teknologi baru muncul," katanya. 

Selain itu, Indeks Pengurus Pembelian (PMI), yang menonjolkan penguncupan atau pengembangan sektor pembuatan, mencerminkan sektor itu semakin pulih tetapi kekal tidak stabil, dengan PMI menokok kepada 50.2 pada Januari sebelum susut kepada 49.3 semasa Februari.

Beliau berkata PMI ialah penunjuk dengan ambang 50, bacaan di atas 50 menunjukkan pengembangan, manakala di bawah 50 adalah insyarat penguncupan. 

Pada masa ini, harga minyak kekal melebihi US$100 setong. Pada 5.18 petang, minyak mentah Brent turun 1.54 peratus kepada US$107.30 setong.

-- BERNAMA