BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

Malaysia Perlu Rebut Peluang Perdagangan Luar Untuk Imbangi Halangan Perdagangan AS

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Malaysia perlu sentiasa mencari peluang baharu untuk mengukuhkan hubungan perdagangan luarnya bagi mengurangkan kesan daripada halangan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), kata KSI Strategic Institute for Asia Pacific (KSI).

Timbalan pengerusi KSI Datuk Seri Mohamed Iqbal Rawther berkata Malaysia perlu mempelbagaikan rakan dagangannya dan tidak bergantung sepenuhnya kepada sumber perdagangan tunggal, untuk mengukuhkan ekonomi negara.

Menurutnya, kebergantungan tersebut akan menghadkan potensi ke arah globalisasi, sedangkan dari segi sejarahnya menunjukkan bahawa Malaysia sudah lama terdedah kepada perdagangan global.

“Kita adalah negara perdagangan. Walaupun apa yang dikatakan oleh Amerika Syarikat (AS) dari segi tarif dan sekatan lain, Malaysia bernasib baik kerana menjadi sebahagian daripada ASEAN dan tahun ini, Malaysia mempunyai kelebihan selaku Pengerusi ASEAN.

“Jadi, perdagangan serantau dan perkongsianperdagangan yang sudah dijalin sejak sekian lama perlu diperkukuhkan, ini akan menjadi kelebihan yang berterusan,” katanya pada program The Nation, Bernama TV hari ini.

Mengenai potensi kesan daripada dasar perdagangan AS, Mohamed Iqbal berkata Malaysia perlu sentiasa peka dengan perkembangan yang sedang berlaku dan menyatakan “Kita tidak boleh mengabaikannya begitu sahaja”.

Beliau berkata dalam konteks ini Malaysia harus mengekalkan pendirian neutral. 

Menurutnya, Malaysia berusaha untuk mengelak sebarang pembabitan langsung dalam isu tersebut, namun menyedari akan kesannya ke atas rantau lain, termasuk Eropah dan Asia Barat.

Mohamed Iqbal berkata perang perdagangan, aliran anti-globalisasi dan penempatan semula industri, khususnya dari Eropah ke negara-negara seperti China, memberi kesan global yang ketara. 

“Ini adalah sesuatu yang kita perlu pantau dengan berhati-hati pada 2025. 

“Dengan perubahan yang sedang berlaku di peringkat global, pelbagai dasar ekonomi semakin menjadi dasar yang bersifat perlindungan,” katanya. 

 

-- BERNAMA