BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

MARii Lantik Aminar Rashid Pengerusi Baharu Lembaga Pengarah

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Dr Aminar Rashid sebagai pengerusi ahli lembaga pengarahnya yang baharu berkuat kuasa serta merta.

MARii berkata pelantikan itu adalah sebagai pengiktirafan terhadap pengalaman luas dan kepimpinan strategik Aminar dalam sektor automotif dan teknologi negara.

“Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai pengarah urusan dan presiden merangkap ketua pegawai eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) dari 2010 hingga 2018.

“Beliau turut memainkan peranan penting dalam pelbagai jawatan strategik di UMW Toyota Motor Sdn Bhd, termasuk sebagai pengarah eksekutif kumpulan perancangan strategik,” kata MARii dalam satu kenyataan. 

 Ketua Pegawai Eksekutifnya Azrul Reza Aziz berkata pelantikan Aminar merupakan langkah strategik yang signifikan dalam usaha institut tersebut memacu transformasi industri automotif Malaysia.

Beliau berkata MARii yakin dengan bimbingan serta pengalaman luas Aminar dalam sektor automotif akan dapat terus memperkukuh halatuju strategik institut itu agar selaras dengan agenda nasional dan mandat yang diberikan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

"Dengan latar belakang yang kukuh dalam pembangunan sektor automotif, pengurusan korporat serta inovasi teknologi, pelantikan ini dijangka memperkukuhkan lagi usaha MARii dalam memacu perkembangan industri automotif,” katanya. 

Sementara itu Aminar turut menyatakan komitmennya terhadap tanggungjawab yang diberikan dan dengan rendah diri menerima amanah tersebut.

“Saya percaya dengan usaha bersama seluruh pasukan MARii, kita akan terus memperkukuh jaringan ekosistem automotif negara melalui kolaborasi erat bersama MITI, pemain industri, universiti, dan agensi kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu MARii juga  merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Interim Datuk Hairil Yahri Yaacob, juga merupakan Ketua Setiausaha MITI, atas sumbangan dan kepimpinan cemerlang beliau dalam mengemudi MARii sepanjang tempoh peralihan ini.

-- BERNAMA