BERITA TERKINI   Penapis, pengilang gula di Malaysia boleh mohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam - Kementerian Kewangan | Tiada sebab harga gula bertapis dinaikkan kerana syarikat seperti MSM Malaysia Holdings Bhd terus terima insentif bulanan kerajaan bagi pastikan kestabilan bekalan, harga - Kementerian Kewangan | Gula bertapis atau gula putih kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula SST yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 - Kementerian Kewangan | Mahkamah Tinggi KL melepas tanpa membebaskan Najib daripada pertuduhan pengubahan wang haram babitkan dana SRC berjumlah RM27 juta | GST hanya dapat dilaksanakan sekiranya purata pendapatan rakyat cecah RM4,000 sebulan - PM Anwar | 

Inisiatif Young Practitioners Dilancar Rapat Jurang Akademik-Industri

SUBANG JAYA, 6 Jan (Bernama) -- Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners) melancarkan Young Practitioners Malaysia, satu inisiatif yang bermatlamat merapatkan jurang antara pengajian akademik dan pengalaman industri dalam bidang perhubungan awam serta komunikasi.

 Pengerusi PRactitioners Datuk P. Kamalanathan berkata inisiatif berkenaan bertujuan menyediakan platform kepada mahasiswa khususnya yang sedang menuntut dalam bidang komunikasi massa dan perhubungan awam di universiti awam dan swasta, untuk berinteraksi dengan profesional dalam industri.

“Hari ini kami memeterai perjanjian perkongsian pengetahuan dengan INTI (INTI International College) untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran, pengetahuan, dan pengalaman yang diperlukan. 

“Matlamat kami adalah untuk membawa pengalaman ini ke dalam kampus universiti, dan kami merancang untuk memperluas inisiatif ini ke semua universiti yang menawarkan program komunikasi massa,”  katanya selepas majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) semasa pelancaran Young Practitioners Malaysia oleh INTI dan PRactitioners.

Beliau berkata sebelum ini PRactitioners telah bekerjasama dengan institusi seperti Kolej IACT dan berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak universiti pada masa akan datang.

Kamalanathan yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan menekankan peranan penting pengamal perhubungan awam muda dalam membentuk masa depan Malaysia, khususnya dalam bidang komunikasi massa.

“Memandangkan hasrat kami untuk membantu pelajar mengharungi cabaran masyarakat pada masa depan, saya merasakan penting untuk membincangkan komunikasi kerana satu daripada cabaran yang akan dihadapi pelajar masa depan adalah kepekaan budaya, yang merupakan isu penting bagi pelajar muda,” katanya.

Kamalanathan turut menekankan bahawa pengalaman dunia sebenar penting untuk membimbing pelajar dalam menguruskan kepekaan budaya di Malaysia, sebuah negara yang dikenali dengan kepelbagaian budaya, etnik, dan agama.

Sementara itu, Ketua Eksekutif INTI International College Subang Dr Jane Lim menekankan kepentingan untuk melengkapkan pelajar dengan pengetahuan teori dan pengalaman amali.

“Program seperti Young Practitioners Malaysia memberikan pelajar pendedahan yang amat berharga di samping memupuk hubungan dengan pemimpin industri yang dapat membimbing mereka untuk berjaya," katanya.

Acara terbabit turut menampilkan sesi perbincangan bersama tokoh terkemuka termasuk Tunku Munawirah Putra (cucu Almarhum Tunku Abdul Rahman), Datin Paduka Tan Siok Choo (cucu mendiang Tun Tan Cheng Lock), dan Deva Kunjari Sambanthan (anak mendiang Tun Sambanthan), yang berkongsi pemikiran mengenai warisan perpaduan, keharmonian, dan kemajuan Malaysia serta menggalakkan generasi muda untuk memelihara nilai-nilai itu dalam kehidupan peribadi dan profesional mereka.

-- BERNAMA