BERITA TERKINI   PM Anwar ucap tahniah kepada Pusat Jantung Hospital Serdang atas pencapaian membanggakan dalam beri rawatan berkualiti tinggi kepada rakyat | Tumpuan pembangunan negara tidak hanya kepada digital, teknologi malah berpaksi nilai berteraskan agama - PM Anwar | Kerajaan terus beri sokongan jayakan sambutan Hari Wesak bagi hormati masyarakat Buddha di negara ini - PM Anwar | PM Anwar seru majoriti yang cintakan Malaysia tidak biarkan negara ditawan naratif kebencian | PM Anwar mahu agensi berkaitan turun padang bantu PKS, perjelas pembiayaan disediakan kerajaan | 

Dua Bekas Pengarah Syarikat Didenda Salah Guna Kedudukan Untuk Bayaran Bonus

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Dua bekas pengarah syarikat didenda sebanyak RM100,000 setiap orang setelah mengaku bersalah menggunakan wang syarikat sebanyak RM200,000 sebagai pembayaran bonus kepada diri sendiri, tanpa kelulusan mesyuarat agung.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dalam kenyataan hari ini memaklumkan Teo Tzi Sin dan Wong Poh Wah, dituduh di bawah seksyen 218(1)(c) Akta Syarikat 2016 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan kedudukan mereka sebagai pengarah syarikat untuk manfaat kepada diri sendiri.

Menurut SSM, pembayaran bonus telah dibuat bersekali dengan pembayaran gaji pada 30 Jan 2018.

Teo dan Wong sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu, namun telah menukar pengakuan pada 13 Dis lepas. Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan 20 Dis untuk mendengar fakta kes dan menjatuhkan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SSM Nurul ‘Ain Shafie dan Nurul Nabila Azmi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ong Weng Li.

Teo dan Wong telah menjelaskan bayaran denda sejurus selepas prosiding selesai.

-- BERNAMA