BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

Kerajaan Imbangi Usaha Kukuh Kedudukan Kewangan Supaya Lebih Mampan - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Kerajaan akan terus mengimbangi usaha mengukuhkan kedudukan kewangan supaya lebih mampan dan pada masa sama memastikan dasar fiskal tetap menyokong momentum pertumbuhan ekonomi negara, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata pada tahun hadapan, agenda pembaharuan akan dilaksanakan dengan lebih hebat, dan diyakini bahawa ekonomi negara akan berkembang kukuh antara 4.5 hingga 5.5 peratus.

“(Ia) didukung langkah Belanjawan MADANI Ketiga yang akan menyusul setiap penanda aras Ekonomi MADANI dengan tiga tumpuan iaitu membugar ekonomi, menjana perubahan dan mensejahtera rakyat,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri berkata Belanjawan MADANI Ketiga memperhebat usaha pembaharuan fiskal yang lebih tegas dan bersasar.

“Langkah tegas dan berperingkat telah diambil bagi mengurangkan kadar defisit secara konsisten iaitu daripada 5.5 peratus (2022) kepada 5 peratus (2023); anggaran 4.3 peratus (2024) dan unjuran 3.8 peratus (2025).

“Atau dengan erti kata lain, kerajaan berjaya mengawal jumlah hutang baharu yang kian menurun daripada sekitar RM100 bilion (2022) kepada lebih RM90 bilion (2023) seterusnya dianggar RM85 bilion  (2024) dan unjuran RM80 bilion (2025),” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata, melepasi dua tahun pentadbiran MADANI, kedudukan ekonomi negara terus mengukuh.

“Angka terkini mencatatkan, kejayaan kita mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.2 peratus bagi tempoh sembilan bulan pertama 2024, mengatasi unjuran Belanjawan 2024 iaitu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar 2024 antara empat hingga lima peratus,” kata beliau.

Menurut Perdana Menteri, pengangguran setakat September 2024 menurun kepada 3.2 peratus, iaitu kadar terendah sejak Januari 2020 manakala tahap inflasi Oktober 2024 kekal rendah pada 1.9 peratus.

-- BERNAMA