BERITA TERKINI   Ringgit diniagakan pada 3.9540 berbanding dolar AS pada rehat tengah hari | Setakat ini, Malaysia belum menerima notis atau pemberitahuan rasmi daripada AS mengenai garis masa untuk meratifikasi ART - Johari | MITI bersama agensinya, MATRADE dan MIDA dibantu oleh MIDF Research sedang melaksanakan analisis kos-faedah (CBA) bagi ART - Johari | Pelaksanaan projek Loji Janakuasa 120MW di Zon Perindustrian Rancha-Rancha pastikan kecukupan bekalan tenaga elektrik di Labuan - TPM Fadillah | Angka ekonomi positif berjaya memperkukuh kedudukan ringgit - PM Anwar | 

Ringgit Mengukuh Berbanding Dolar AS Pada Sesi Awal

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Ringgit memulakan urus niaga Jumaat dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah minat belian baharu ketika pelabur menumpukan mata wang itu susulan cuti umum Thanksgiving di negara maju itu.

Pada 8.02 pagi ini, ringgit diniagakan pada paras 4.4350/4470 berbanding dolar AS iaitu mengukuh daripada paras penutup 4.4440/4490, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) juga susut daripada paras 107.55 pada minggu lepas dan bergerak sekitar 106 mata.

Beliau juga percaya pelbagai faktor telah menyumbang kepada sentimen pasaran global, namun perkembangan positif di Timur Tengah berkemungkinan besar menyumbang kepada keadaan pasaran mata wang yang dijangka lebih baik.

“Namun, dalam masa terdekat ini, sentimen pasaran mungkin kekal suram dan berhati-hati berikutan kekurangan pemangkin. Berikutan itu, ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil sekitar paras RM4.43 hingga RM4.44 berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit susut nilai berbanding pound Britain kepada 5.6298/6450 daripada 5.6217/6280, rendah berbanding euro kepada 4.6834/6960 daripada 4.6800/6852 turun berbanding yen Jepun kepada 2.9349/9431 daripada 2.9258/9293.

Unit tempatan itu bagaimanapun diniagakan mengukuh berbanding mata wang ASEAN.

Ini termasuk meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3053/3147 daripada 3.3056/3095 pada akhir urus niaga semalam dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.56/7.58 daripada 7.57/7.58. 

Ringgit juga mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.8812/9292 daripada 12.8999/9211 semalam dan naik berbanding rupiah Indonesia pada 279.4/280.3 daripada 279.9/280.5, sebelum ini.

-- BERNAMA