BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Ringgit Susut Selepas Trump Umum Tarif Baharu Kepada Mexico, Kanada

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS hari ini selepas presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bercadang mengenakan tarif baharu ke atas import dari Mexico dan Kanada.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.4560/4600 berbanding dolar AS daripada 4.4495/4570 semasa ditutup pada Isnin.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit menyusut selepas Trump mengumumkan hasrat menerusi platform Truth Social pada 25 November untuk mengenakan tarif baharu ke atas import dari Mexico dan Kanada.

Beliau dalam catatan itu memaklumkan: "Pada 20 Januari, sebagai satu daripada pelbagai perintah eksekutif pertama saya, saya akan menandatangani semua dokumen yang diperlukan untuk mengenakan tarif 25 peratus kepada Mexico dan Kanada untuk semua produk yang masuk ke AS."

Innes berkata peningkatan dasar "America First" oleh Trump mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur Malaysia, menyebabkan peralihan kepada dolar AS sebagai perlindungan daripada potensi ketegangan dalam dinamik perdagangan serantau.

“Kegalauan pasaran pada masa ini mungkin menandakan permulaan kepada tempoh yang berpotensi untuk turun naik, didorong oleh kenyataan tegas Trump dalam media sosial itu.

"Pelabur mungkin meraih manfaat daripada langkah terus berwaspada dan menggunakan pendekatan berhati-hati pada minggu-minggu akan datang," katanya.

Ringgit turut diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding pound Britain kepada 5.6021/6071 daripada 5.5939/6033 semasa ditutup pada Isnin, rendah berbanding euro kepada 4.6824/6866 daripada 4.6662/6741 semalam, dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 2.8952/8980 daripada 2.8811/8861.

Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3066/3098 daripada 3.3028/3088 semasa ditutup semalam, berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.8393/8564 daripada 12.8390/8670 dan merosot berbanding peso Filipina kepada 7.55/7.56 daripada 7.54/7.56.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 279.6/280.0 daripada 280.1/280.7 sebelumnya.

-- BERNAMA