BERITA TERKINI   APG 2025: Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin raih emas pertama Malaysia dalam ujian masa berbasikal lebuh raya individu | Dasar Industri Pertahanan Negara tumpu pemantapan ekosistem, rantaian bekalan, daya saing global dan eksport - PM Anwar | APG 2025: Skuad bola keranjang kerusi roda 3x3 lelaki negara raih pingat pertama kontinjen Malaysia, menang pingat gangsa | Dasar Industri Pertahanan Negara langkah strategik bangunkan industri pertahanan tempatan, kurangkan kebergantungan pihak luar - Mohamed Khaled | Dewan Rakyat: Sebanyak 12,509 permohonan dokumen pengenalan diri di Sarawak diselesaikan setakat ini - Saifuddin Nasution | 

Untung Bersih Gas Malaysia Meningkat Kepada RM115.99 Juta Pada Suku Ketiga

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Gas Malaysia Bhd (Gas Malaysia) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM115.99 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2024, berbanding RM86.16 juta pada suku yang sama tahun lepas.

 Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata perolehan meningkat sebanyak 17.3 peratus kepada RM2.13 bilion daripada RM1.82 bilion sebelumnya, dipacu oleh jumlah jualan gas asli yang lebih tinggi, purata harga jualan gas asli yang meningkat dan yuran tol yang lebih tinggi.

Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2024, keuntungan bersih Gas Malaysia meningkat kepada RM328.67 juta daripada RM279.07 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Bagaimanapun, menurut Gas Malaysia, perolehan untuk sembilan bulan bagi tahun kewangan 2024 turun 4.6 peratus kepada RM5.99 bilion daripada RM6.28 bilion sebelumnya.

Penurunan ini disebabkan oleh purata harga jualan gas asli yang lebih rendah, sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan jumlah jualan dan yuran tol sepanjang tempoh dalam semakan, katanya.

Mengenai prospek, syarikat berkata ia kekal komited untuk melaksanakan langkah berhemat bagi meningkatkan kecekapan operasi, kekal berdaya saing dan meneruskan peluang untuk pengembangan perniagaan.

"Dengan strategi ini, lembaga pengarah menjangkakan kumpulan mencapai prestasi yang memuaskan bagi tahun kewangan 2024," katanya.

-- BERNAMA