BERITA TERKINI   Penapis, pengilang gula di Malaysia boleh mohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam - Kementerian Kewangan | Tiada sebab harga gula bertapis dinaikkan kerana syarikat seperti MSM Malaysia Holdings Bhd terus terima insentif bulanan kerajaan bagi pastikan kestabilan bekalan, harga - Kementerian Kewangan | Gula bertapis atau gula putih kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula SST yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 - Kementerian Kewangan | Mahkamah Tinggi KL melepas tanpa membebaskan Najib daripada pertuduhan pengubahan wang haram babitkan dana SRC berjumlah RM27 juta | GST hanya dapat dilaksanakan sekiranya purata pendapatan rakyat cecah RM4,000 sebulan - PM Anwar | 

Meskipun Malaysia Pengerusi, Negara Anggota ASEAN Bekerjasama Sebagai Satu Pasukan - PM Anwar 

Daripada M. Saraswathi

LIMA (Peru), 15 Nov (Bernama) -- Meskipun Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN dan Kaukus Majlis Perniagaan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (ABAC)-ASEAN tahun depan, blok meliputi 10 negara anggota itu akan terus bekerjasama sebagai satu pasukan berlandaskan konsep pemusatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliu yang juga Menteri Kewangan turut menyatakan penghargaan kepada ABAC atas komitmen teguhnya dalam menggalakkan inisiatif yang memberi tumpuan kepada ASEAN melalui Kaukus ABAC-ASEAN.

Platform strategik itu yang dirasmikan oleh ABAC Indonesia pada November 2023 semasa Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, Amerika Syarikat, mencerminkan dedikasi ABAC untuk memperteguh kerjasama serantau, memupuk kesatuan ekonomi dan memacu kemakmuran bersama dalam kalangan ekonomi ASEAN.

Anwar berkata kini adalah masanya untuk komuniti perniagaan Malaysia menggalas peranan utama.

“Kita bekerja bersama-sama. Tidak ada persoalan mengenai Indonesia mengambil alih atau Malaysia yang mengambil alih. Susunan ini adalah unik, dan menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan ia memainkan peranan,” kata beliau pada sesi Dialog Pemimpin APEC bersama ABAC.

Turut hadir ialah Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Pengerusi ABAC Malaysia Datuk Ruben Emir Gnanalingam sebagai moderator dan Pengerusi ABAC Indonesia Anindya Novyan Bakrie.

Kaukus ASEAN-ABAC terdiri daripada tujuh negara ASEAN iaitu Malaysia, Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, yang juga anggota APEC.

Anwar yang berada di sini untuk menyertai Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) berkata blok ASEAN kekal unik sebagai antara rantau paling aman di dunia melainkan dalam beberapa isu kecil dengan Myanmar.

“Kita juga adalah ekonomi berkembang paling pesat di dunia. Oleh itu, kita perlu memanfaatkan sumber yang ada dan bekerjasama sebanyak mungkin,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata rantau ini juga perlu memanfaatkan kelebihan digitalisasi.

“Dalam aspek sekuriti makanan dan peralihan tenaga, kita semua sehaluan, dan ini luar biasa, dan kita cenderung untuk bekerja bersama-sama,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata ASEAN perlu memastikan bahawa kepayahan golongan miskin bandar dan penduduk luar bandar dapat diatasi agar jurang ketidaksamaan tidak semakin meluas.

Beliau turut menyokong seruan Prabowo bahawa ASEAN perlu melaksanakan lebih banyak usaha untuk meningkatkan kerjasama antara perniagaan.

“Kami di sini sebagai kerajaan bagi membantu memudah cara (kerjasama) ini,” kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA