BERITA TERKINI   Petronas dibenar rujuk persoalan undang-undang bagi kejelasan kerangka peraturan terpakai bagi operasi petroleum di Sarawak | Kapasiti penerbangan domestik ditambah bagi tampung peningkatan permintaan sempena Hari Raya Aidilfitri - Loke | Isu curi kabel MRT: MOT cadang pada KDN pinda undang-undang sedia ada, hukuman lebih berat terhadap pesalah - Loke | Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sasar muktamadkan penyata cadangan pemisahan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya menjelang pertengahan Mei - Azalina | Tiada pakej rangsangan ekonomi buat masa ini susulan konflik di Asia Barat - Amir Hamzah | 

MyCIF : Lebih RM7 Bilion Disalurkan Biaya 11,500 PMKS, Syarikat Pemula -- Pengerusi SC

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Lebih daripada RM7 bilion telah disalurkan menerusi dana Malaysia Co-investment Fund (MyCIF) bagi membiayai lebih 11,500 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat pemula niaga sejak 2019, kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Mohammad Faiz Azmi.

Beliau berkata menerusi usaha pelaburan bersama pendanaan awam, MyCIF telah berjaya meningkatkan keyakinan pelabur selain melakukan pelaburan bersama RM1.5 bilion serta menarik RM6.2 bilion daripada kalangan pelabur swasta.

“Ini bermakna setiap ringgit yang dilabur bersama oleh MyCIF dapat menarik secara purata RM4.13 daripada pelabur swasta,” katanya menerusi ucapan alu-aluannya pada majlis Hari Libat Urus MyCIF di sini, hari ini.

Acara itu telah dilancarkan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Mohammad Faiz berkata MyCIF telah diwujudkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) pada 2019 dalam usaha menarik modal swasta menerusi pendanaan awam berasaskan ekuiti (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P).

“Konsepnya mudah iaitu melaburkan RM1 wang kerajaan daripada setiap RM4 yang dikumpul daripada pelabur awam. Bagi skim strategik, nisbah itu boleh ditingkatkan kepada RM1 bagi setiap RM2 yang dikumpulkan.

“Ini bukan geran...MyCIF melabur bersama orang ramai. Sehubungan itu, pulangan daripada portfolio akan digunakan untuk turut memberi manfaat kepada PMKS dalam platform ECF dan P2P,” katanya.

MyCIF juga, katanya, telah menerima RM290 juta daripada MOF setakat ini.

Mohammad Faiz berkata bagi setiap RM1 yang diperuntukkan daripada kerajaan, wang berkenaan telah dilabur semula sebanyak 5.2 kali dan lebih 10 kali menerusi platform P2P.

Beliau berkata pembiayaan ECF dan P2P berperanan sebagai saluran pengumpulan dana alternatif penting dan Malaysia merupakan antara bidang kuasa terawal dunia yang menyediakan rangka kerja pengawalseliaan bagi platform berkenaan.

Pada masa ini, terdapat 30 platform yang diberi kuasa kolektif dan memudahkan pembiayaan lebih RM11.9 bilion sejak diperkenalkan dan memberi manfaat kepada lebih 20,000 PMKS.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, SC berkata MyCIF telah memperkenalkan Skim Ekonomi Perak serta insentif perkongsian keuntungan modal teroka (VC) dan ekuiti persendirian (PE) untuk PMKS bagi mendapatkan dana dalam bidang pertumbuhan baharu serta memudahkan pelabur untuk mengakses peluang pelaburan berkualiti tinggi.

Skim Ekonomi Perak misalnya menggalakkan pelaburan ke dalam PKS, menyokong populasi warga emas Malaysia, khususnya dalam bidang teknologi penjagaan, penjagaan kesihatan khusus dan gaya hidup warga emas.

Selain itu, insentif perkongsian keuntungan VC/PE merupakan insentif baharu bertujuan menarik janji niaga berteraskan VC dan PE di platform ECF, sekali gus memberi peluang kepada pelabur untuk turut sama dalam janji niaga disokong oleh institusi.

“MyCIF akan berkongsi 50 peratus daripada keuntungan dengan pelabur utama VC dan PE yang berjaya merealisasikan pulangan melalui penjualan elaburan berkenaan,” menurut SC.

Dalam pada itu, Skim Keterjaminan Makanan akan diperluaskan untuk merangkumi syarikat baharu agriteknologi bagi menggalakkan pelaburan dalam inovasi yang menyokong usaha negara memodenkan pertanian bagi meningkatkan produktiviti serta keterjaminan makanan.

Model MyCIF adalah pertama seumpamanya di Asia Tenggara yang membolehkan kerajaan melabur bersama pelabur swasta dalam kempen ECF dan P2P yang layak.

-- BERNAMA