BERITA TERKINI   Perdana Menteri minta tindakan penguatkuasaan diambil terhadap warga asing yang salah guna pas lawatan sosial - Fahmi | Kementerian Pendidikan Tinggi akan adakan pertemuan dengan MQA minggu depan, teliti isu laluan ke IPTA -- Fahmi  | Tindakan penguatkuasaan perlu gerakan menyeluruh libatkan seluruh jentera negara – PM Anwar | Setiap tindakan penguatkuasaan perlu dilaksana secara berkesan di semua peringkat, termasuk ke tahap pihak berkuasa tempatan - PM Anwar | 

PM Anwar Bertemu Google, Bincang Aspek Perkasa Ekosistem AI, Pusat Data

Daripada M. Saraswathi

LIMA (Peru), 15 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis mengadakan perbincangan dengan syarikat teknologi gergasi Google khususnya yang berkaitan pusat data dan kecerdasan buatan (AI). 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata aspek pemerkasaan ekosistem AI dan pusat data perlu diberikan perhatian sewajarnya terutama dalam aspek peraturan dan undang-undang berkaitan bagi mengelakkan berlaku ketirisan data serta eksploitasi ke arah keburukan.

"Justeru, saya telah mengarahkan kementerian berkaitan mengambil tindakan segera bagi memastikan kesan terhadap ini dapat dikawal,” kata Anwar selepas perjumpaan dengan ketua delegasi Google yang juga Ketua Global bagi Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Google di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 di sini.

Terdahulu, beliau menyertai pemimpin perniagaan dalam kalangan ekonomi APEC pada sesi makan tengah hari yang dihoskan oleh Pengerusi Majlis Perniagaan APEC (ABAC) Malaysia yang juga Pengerusi Eksekutif Westports Datuk Ruben Emir Gnanalingam. 

"Dalam sesi ini saya bertukar-tukar pandangan dengan mereka selain berkongsi aspirasi Malaysia berkenaan hal perdagangan dan pelaburan sekali gus mengajak mereka untuk melabur di negara ini," kata Perdana Menteri.

Anwar turut menekankan mengenai dasar kerajaan MADANI yang jelas dan penekanan terhadap memudah cara perniagaan yang menjadikan ekosistem perniagaan di Malaysia lebih kompetitif.

-- BERNAMA