BERITA TERKINI   Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | Paramount Corporation beli tanah komersial pegangan bebas di Kuala Lumpur daripada IOI Properties dengan harga RM257.88 juta | Unit Solarvest raih kontrak EPCC untuk bangunkan projek LSS5+ di Padang Siding, Perlis bernilai RM89.5 juta | 

SOP Pengeluaran REE Mampu Kekang Ketirisan - Saarani

IPOH, 14 Nov (Bernama) -- Syor mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung penguatkuasaan serta pengeluaran hasil nadir bumi (REE) merupakan langkah bagi mengekang ketirisan hasil negeri ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata bagaimanapun, SOP itu perlu meletakkan kriteria bersesuaian yang meliputi kredibiliti serta pengalaman sesebuah syarikat dalam mengurus tadbir pengeluaran REE.

“Bagi kerajaan negeri, cadangan untuk mewujudkan SOP ini satu tindakan yang bagus untuk elakkan ketirisan dan kegiatan kecurian REE daripada berlaku.

“Cuma, kalau boleh SOP itu perlu ada kriteria bersesuaian dan sebarang permohonan (syarikat) perlu ada sijil serta pengiktirafan dalam bidang REE,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Makan Malam Tahunan ke-56 Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Perak di sini semalam.

Pada 25 Okt lepas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mencadangkan kerajaan negeri dan Persekutuan mewujudkan SOP khusus berhubung penguatkuasaan dan pengeluaran REE.

Azam berkata cadangan itu hasil siasatan SPRM yang mendapati tiada SOP khusus bagi pengeluaran REE sekali gus memungkinkan penyelewengan dan perlombongan haram berlaku.

Sementara itu, Saarani berkata kewujudan SOP itu juga nanti secara tidak langsung akan melengkapkan syarat perlombongan REE yang sebelum ini terarah kepada proses atau kaedah cari gali semata-mata.

Dalam pada itu katanya, kejayaan dalam projek percubaan pemprosesan REE bersama sebuah syarikat tempatan baru-baru ini membuktikan bahawa kepakaran mereka setanding dengan keupayaan dimiliki penggiat industri dari luar negara khususnya China dan Australia.

“Kejayaan ini hadir tidak lama selepas penubuhan Terra Mineral Lab, iaitu sebuah makmal analisis mineral nadir bumi komersial pertama di Malaysia yang dijangka menjadi pusat rujukan penting dalam industri mineral negara,” katanya.

-- BERNAMA