BERITA TERKINI   MRL laksana langkah keselamatan di tapak projek ECRL, elak kes kecurian kabel - Loke | Jemaah Menteri lulus cadangan menjadikan CAAM sebagai Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Dibebaskan, berkuat kuasa 1 Ogos ini - Loke | KDN akan siasat isu kesilapan infografik Ketua Polis Negara- Saifuddin Nasution | KPN Mohd Khalid tegaskan tidak pernah terlibat dalam mana-mana parti politik selama 38 tahun dalam PDRM - Saifuddin Nasution | Isteri kepada Premier Sarawak meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di Kuching, 3.34 pagi ini - Datuk Abdullah Saidol | 

ABM Terima GX Bank, Boost Bank Sebagai Ahli Baharu

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) mengumumkan kemasukan GX Bank Bhd dan Boost Bank Bhd sebagai ahli baharu, menandakan detik penting dalam industri perbankan Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, ABM berkata pencapaian ini menyerlahkan komitmennya untuk memupuk persekitaran perbankan yang cergas dan inklusif, merangkumi inovasi digital di samping mengekalkan nilai perbankan tradisional.

Pengarah Eksekutif ABM Dr Amina Kayani berkata penambahan kedua-dua bank itu juga menandakan peralihan ekosistem perbankan yang menggabungkan entiti perbankan tradisional dan digital untuk tujuan yang sama. 

"Kemasukan GX Bank dan Boost Bank ke dalam keluarga ABM bukan sahaja satu penghormatan tetapi langkah ke hadapan yang tepat pada masanya dalam perjalanan kami ke arah sektor perbankan yang inklusif dan memandang ke hadapan.

“Keahlian mereka dengan ABM sejajar dengan sambutan ulang tahun ke-50 kami, mewakili lembaran baharu kerjasama bank digital dan tradisional untuk meningkatkan landskap kewangan Malaysia,” katanya.

Amina berkata dengan memupuk kerjasama merentas spektrum ini, ABM memperkukuh industri yang boleh menyesuaikan diri, berdaya tahan dan fokus dalam memenuhi pelbagai keperluan masyarakat.

“Kami teruja untuk melihat sumbangan yang akan dibawa oleh pemain digital ini dalam memajukan keterangkuman kewangan, inovasi berpaksikan pelanggan, dan pertumbuhan yang mampan untuk manfaat semua rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA