BERITA TERKINI   Syarikat berpangkalan di Singapura telah melabur lebih S$5.5 bilion ke Johor sejak pemeteraian MoU JS-SEZ -- TPM Singapura Gan | Kerajaan menimbang meningkatkan Dana Pembangunan Perniagaan Malaysia-Singapura bagi membantu lebih banyak PKS mendapat peluang perniagaan rentas sempadan – Tengku Zafrul | Semua projek pembuatan bagi industri tidak sensitif dalam sektor ekonomi yang dikenal pasti di JS-SEZ akan diberikan kelulusan pantas untuk Lesen Pengilangan (ML) dalam tempoh 7 hari bekerja - Tengku Zafrul | Tambahan RM200 juta yang diperuntukkan kepada CoSIF di bawah Belanjawan 2026 membolehkan pelaburan bersama dalam projek berimpak tinggi oleh PKS Malaysia di JS-SEZ - Tengku Zafrul | Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan pastikan kes pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut ditikam disiasat secara telus dan adil - Fadhlina  | 

Rangkaian 5G Kedua Malaysia Dilaksana Oleh U Mobile Sdn Bhd

PUTRAJAYA, 1 Nov (Bernama) -- Rangkaian 5G Kedua Malaysia akan dilaksanakan oleh U Mobile Sdn Bhd, demikian menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan pihaknya telah melaksanakan proses terperinci dari aspek teknikal dan komersial untuk memilih Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang akan melaksanakan Rangkaian 5G Kedua Malaysia.

Menurut MCMC, proses terperinci itu dilaksanakan demi memastikan potensi sebenar teknologi 5G memberi manfaat kepada rakyat, industri dan negara.

“Proses pemilihan ini melibatkan perbincangan mendalam yang merangkumi aspek teknikal dan komersial bagi memastikan setiap faktor dapat dipertimbangkan agar pelaksanaan Rangkaian 5G Kedua Malaysia berjalan lancar dan memberi impak positif kepada semua.

“Sehubungan dengan itu, Rangkaian 5G Kedua Malaysia akan dilaksanakan oleh U Mobile Sdn Bhd,” menurut kenyataan itu.

MCMC bagaimanapun memaklumkan pihak U Mobile Sdn Bhd, tertakluk kepada kelulusan MCMC adalah dibenarkan untuk bekerjasama dengan MNO lain bagi memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam pelaksanaan Rangkaian 5G Kedua Malaysia.

MCMC akan terus memantau kemajuan pelaksanaan Rangkaian 5G Kedua Malaysia bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap semua keperluan peraturan seperti yang termaktub dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

-- BERNAMA