BERITA TERKINI   Empat lagi berjaya diselamatkan dari gua yang dilanda banjir di Laos, kata penyelamat | Pertumbuhan pesat Sabah lepasi unjuran, tuntut Kerajaan Persekutuan percepat naik taraf kemudahan antaranya KKIA - PM Anwar | Subsidi petrol, diesel dan LPG Persekutuan untuk Sabah dijangka meningkat kepada RM3 bilion tahun ini - PM Anwar | Sabah terima RM17 bilion peruntukan pembangunan berbanding RM10 bilion hasil, bukti negeri itu tidak dianak tiri - PM Anwar | 

Pasaran Getah Dijangka Suram, Cenderung Menurun Minggu Depan

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Pasaran getah dijangka menyaksikan urus niaga yang suram dengan harga cenderung menurun sedikit pada minggu hadapan susulan berakhirnya musim daun pokok getah luruh, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata dengan pengeluaran getah yang disambung semula, aktiviti urus niaga berkemungkinan cenderung ke arah pengisian semula stok sahaja, memandangkan bekalan adalah mencukupi.

“Pengeluaran telah kembali beroperasi pada kapasiti penuh dan dengan bekalan yang diterima dalam keadaan baik serta mencukupi, aktiviti penyimpanan stok berlebihan dan menyorok bekalan yang tidak perlu, adalah tidak digalakkan.

“Ini pastinya akan menyebabkan permintaan dan harga cenderung sedikit rendah,” kata beliau.

Bagaimanapun, Low menambah turun naik harga minyak dan ketidaktentuan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) juga boleh memberi kesan ke atas harga dan permintaan getah.

Sementara itu, Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menyatakan prospek pasaran getah pada minggu hadapan dijangka kekal lemah disebabkan oleh cuti umum dan mungkin menyaksikan urus niaga mendatar ketika harga minyak terus melonjak.

Ia menyatakan tindakan Kesatuan Eropah (EU) meluluskan undang-undang untuk menghapuskan duti import ke atas barangan AS boleh memberi sedikit sokongan kepada sentimen pasaran.

“Bagaimanapun, konflik di Asia Barat dan ketegangan perdagangan yang berterusan boleh melemahkan prospek ekonomi,” tambahnya.

Berasaskan perbandingan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat 33 sen kepada 922 sen sekilogram, manakala lateks pukal menyusut enam sen kepada 759 sen sekilogram.

Pasaran getah Kuala Lumpur akan ditutup pada Isnin, 1 Jun dan Selasa 2 Jun, sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan cuti gantian Hari Wesak. Dagangan akan disambung semula pada 3 Jun.

-- BERNAMA