BERITA TERKINI   RM254 juta diperuntukkan bagi program pembangunan koperasi tahun ini, tertinggi sejak penubuhan gerakan koperasi pada 1922 - Steven Sim. | Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | Inisiatif Ladang Solar KLIA sokong sasaran Malaysia capai 70 peratus penggunaan tenaga boleh baharu menjelang 2050 - Fadillah | Pelancaran Ladang Solar dan sistem penstoran tenaga (BESS) sokong operasi KLIA sebagai infrastruktur pengangkutan kritikal negara - TPM Fadillah | Dua PPS tempatkan mangsa kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang ditutup hari ini - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi | 

Malaysia Sebagai Negara Rakan BRICS Berpeluang Tingkatkan Perdagangan, Hubungan Dua Hala - Fahmi

PUTRAJAYA, 25 Okt (Bernama) -- Pemilihan sebagai antara negara rakan dalam BRICS membuka peluang untuk Malaysia meningkatkan perdagangan dan hubungan dua hala dengan kalangan negara anggota blok itu, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata negara juga menyambut baik penerimaan BRICS terhadap Malaysia sebagai antara negara rakan rasmi BRICS.

“...kita tidak bincang secara khusus (dalam mesyuarat Kabinet). Ini adalah pemakluman awal dan belum lagi dibincangkan secara mendalam. Tapi semestinya kita mengalu-alukan penerimaan Malaysia sebagai sebahagian daripada negara rakan dalam konteks BRICS,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat  Jemaah Menteri di sini, pada Jumaat.

Semalam Bernama melaporkan Malaysia kini diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara rakan yang ditambah secara rasmi dalam BRICS, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu per lima kepada perdagangan global.

Memetik kemas kini oleh @BRICSInfo menerusi platform media sosial X, blok itu secara rasmi menambah 13 negara baharu kepada pakatan itu sebagai negara rakan, walaupun belum lagi sebagai ahli penuh.

Selain Malaysia, 12 negara lain adalah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Sebagai rekod, pada 28 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Malaysia telah mengemukakan permohonan kepada Rusia untuk menyertai pertubuhan antara kerajaan BRICS.

Rusia kini mempengerusikan blok itu, yang turut merangkumi Brazil, India, China dan Afrika Selatan.

Pada 18 Jun lepas, Anwar mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS semasa perbincangan dengan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva.

BRICS  mewakili kira-kira 40 peratus daripada populasi global dan secara kumulatif menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$26.6 trilion (RM115.4 trilion) atau 26.2 peratus daripada KDNK dunia, hampir menyamai kekuatan ekonomi kumpulan G7.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli telah menyampaikan Kenyataan Negara pada Sidang Kemuncak BRICS Outreach/BRICS Plus di Kazan, Rusia semalam.

-- BERNAMA