BERITA TERKINI   Ladang Solar KLIA dijangka kurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 35,000 tan setahun - Fadillah | Inisiatif Ladang Solar KLIA sokong sasaran Malaysia capai 70 peratus penggunaan tenaga boleh baharu menjelang 2050 - Fadillah | Pelancaran Ladang Solar dan sistem penstoran tenaga (BESS) sokong operasi KLIA sebagai infrastruktur pengangkutan kritikal negara - TPM Fadillah | Dua PPS tempatkan mangsa kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang ditutup hari ini - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kota Tinggi | Bekas KP Perisikan Pertahanan Datuk Mohd Razali Alias didakwa terima suapan US$20,000 dan bayaran tiket penerbangan RM64,600 | 

Ringgit Naik Kepada 3.9130 Berbanding Dolar AS, Disokong Asas Ekonomi Kukuh

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Ringgit dibuka sedikit mengukuh berbanding dolar AS pada Khamis, disokong keyakinan terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia serta asas domestik yang kukuh, ketika para pelabur meneliti keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) untuk mengekalkan kadar faedah.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan itu diniagakan pada 3.9130/9230 berbanding dolar AS, meningkat daripada paras penutup 3.9175/9235 pada Rabu.

Pembukaan dagangan hari ini meletakkan ringgit menghampiri paras paling kukuh berbanding dolar AS sejak April 2018, apabila ia mencecah paras 3.9030.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran secara umumnya telah mengambil kira keputusan Fed itu, dengan tumpuan kini beralih kepada pelantikan pengerusi Fed yang baharu, yang berpotensi mempengaruhi sentimen pasaran susulan desakan Presiden Donald Trump untuk kadar faedah yang lebih rendah.

Bagaimanapun, beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.26 peratus pada pagi Khamis.

Semalam, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia terus disokong oleh asas yang kukuh, ekonomi yang pelbagai dan permintaan domestik yang berdaya tahan.

“Pasaran eksport kita juga pelbagai. Kita tidak berdagang dengan satu negara sahaja, sebaliknya dengan banyak ekonomi. Tiada satu negara pun yang menyumbang lebih daripada 15 peratus kepada eksport Malaysia. Ini menunjukkan tahap kepelbagaian yang kita miliki,” katanya.

Mengenai dasar fiskal, Abdul Rasheed berkata langkah rasionalisasi subsidi bagi bahan api, elektrik, air dan diesel mencerminkan kredibiliti dasar kerajaan.

Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen berkata peralihan daripada subsidi petrol RON95 secara pukal kepada subsidi bersasar menerusi BUDI MADANI (BUDI95) dijangka dapat mengurangkan ketirisan subsidi serta menjana penjimatan fiskal sekitar RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun.

Kementerian itu juga memaklumkan cukai jualan ke atas barangan bernilai rendah menyumbang hasil sebanyak RM817 juta tahun lepas, meningkat daripada RM476 juta pada 2024.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama dan rakan serantau.

Mata wang tempatan itu mengukuh berbanding euro kepada 4.6870/6990 daripada paras penutup 4.6955/7027 pada Rabu dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5558/5625 daripada 2.5652/5692, namun susut berbanding pound Britain kepada 5.4097/4235 daripada 5.4011/4093.

Ringgit turut meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1019/1103 daripada 3.1072/1122, menokok berbanding baht Thailand kepada 12.5658/6097 daripada 12.6135/6389, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 233.9/234.7 daripada 234.2/234.7, serta naik berbanding peso Filipina kepada 6.66/6.68 daripada 6.67/6.68 sebelum ini.

-- BERNAMA