BERITA TERKINI   Jajaran ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang bakal siap menjelang Disember 2027, beroperasi sepenuhnya Januari 2028 - Amir Hamzah | Projek ECRL capai 92.62 peratus kemajuan pembinaan setakat Feb 2026 selari jadual jajaran dari Kota Bharu ke Gombak menjelang akhir tahun ini, bakal beroperasi secara komersial bermula Jan 2027 - Amir Hamzah | Kerajaan MADANI pantau rapat krisis di Asia Barat serta impaknya terhadap ekonomi dan rakyat, kekalkan asas daya tahan ekonomi negara, pastikan kelangsungan hidup rakyat tidak terjejas - PM Anwar | Ringgit meningkat kepada 3.9260/9310 berbanding dolar AS daripada 3.9365/9410 ketika ditutup pada Jumaat lepas | Susulan krisis di Asia Barat, Jemaah Menteri bersetuju MTEN memantau situasi tersebut dan perbincangan akan diadakan secara mingguan - PM Anwar | 

Pertumbuhan Kukuh, Kestabilan Politik Buka Laluan Pembaharuan Penting Malaysia - Morgan Stanley

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Kestabilan politik dan pertumbuhan kukuh yang dicatatkan Malaysia baru-baru ini membuka laluan untuk kerajaan melaksanakan pembaharuan penting, termasuk menyusun semula subsidi bahan api dan tenaga yang tinggi, menurut Morgan Stanley Investment Management.

Firma itu menjelaskan sebagai penerima manfaat utama daripada strategi “China Plus One”, Malaysia berkedudukan baik untuk meraih lebih banyak pelaburan terutama dalam sektor pusat data Malaysia yang semakin berkembang.

Negara ini juga berpeluang baik untuk memanfaatkan “perang teknologi” yang sedang berlaku antara Amerika Syarikat dan China, tambah firma pengurusan pelaburan itu.

“Kami percaya perhatian perlu diberikan sekali lagi kepada Malaysia. Kestabilan politik telah menggalakkan pembaharuan yang amat diperlukan.

“Ekonomi MADANI, pelan pembangunan 10 tahun yang dilancarkan pada Julai 2023 pula bertujuan mengurangkan kerenah birokrasi, menggalakkan pertumbuhan ekonomi wilayah di luar Semenanjung Malaysia dan meningkatkan kecekapan syarikat berkaitan kerajaan,” tambahnya dalam nota penyelidikan pada Khamis.

Firma itu juga memaklumkan subsidi mencecah 4.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023, membentuk hampir 25 peratus daripada jumlah perbelanjaan kerajaan.

“Belanjawan tahun ini telah mengunjurkan pengurangan subsidi lebih 30 peratus,” tambahnya.

Morgan Stanley Investment Management menjelaskan kerajaan telah menghapuskan sokongan terhadap ayam dan telur, dan menggunakan subsidi bersasar ke atas diesel dan elektrik.

"Ujian sebenar akan datang adalah dengan rasionalisasi harga RON95, yang membentuk kira-kira 60 peratus daripada subsidi bagi 2023,” menurutnya.

Firma itu juga menjangkakan kenaikan harga RON95 mungkin dilaksanakan secara berperingkat mulai akhir tahun ini atau awal 2025.

Dari aspek positif, Malaysia menyaksikan lonjakan semula pelaburan langsung asing (FDI) selepas beberapa tahun mencatatkan prestasi FDI tidak berubah.

“Sejak 2021, Malaysia telah menarik pelaburan berkaitan data bernilai US$24 bilion yang membantu mempromosikan negara ini sebagai hab pusat data Asia,” jelasnya.

Firma itu menambah, berdasarkan kawasan yang ditawarkan pada kos yang berpatutan, elektrik dan air serta keadaan geografi di luar lingkungan gempa bumi, Malaysia menjadi destinasi menarik bagi syarikat teknologi, sekali gus boleh menyokong ringgit.

-- BERNAMA