BERITA TERKINI   Penapis, pengilang gula di Malaysia boleh mohon pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam - Kementerian Kewangan | Tiada sebab harga gula bertapis dinaikkan kerana syarikat seperti MSM Malaysia Holdings Bhd terus terima insentif bulanan kerajaan bagi pastikan kestabilan bekalan, harga - Kementerian Kewangan | Gula bertapis atau gula putih kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula SST yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 - Kementerian Kewangan | Mahkamah Tinggi KL melepas tanpa membebaskan Najib daripada pertuduhan pengubahan wang haram babitkan dana SRC berjumlah RM27 juta | GST hanya dapat dilaksanakan sekiranya purata pendapatan rakyat cecah RM4,000 sebulan - PM Anwar | 

Prospek Ekonomi Malaysia 2025 Agak Optimis Di Sebalik Cabaran Dasar – MIER

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Prospek ekonomi Malaysia untuk 2025 kelihatan optimis dengan kombinasi peluang dan cabaran di hadapan, menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

MIER berkata walaupun tinjauan terhadap Belanjawan 2025 adalah positif, kejayaannya akan bergantung kepada pelaksanaan dasar, terutamanya dalam disiplin fiskal, keterangkuman ekonomi dan penggunaan inovasi teknologi untuk mengekalkan pertumbuhan.

Institut itu mengunjurkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang stabil antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus, yang disifatkan sebagai sasaran yang boleh dicapai.

"Permintaan dalam negeri, eksport, keyakinan pelabur dan inflasi dijangka sejajar dengan trend inflasi global yang semakin berkurangan, manakala kestabilan politik akan terus memacu pertumbuhan," kata MIER dalam laporan berhubung rumusan Belanjawan 2025.

Badan pemikir itu juga berkata kerangka Ekonomi MADANI, yang memfokuskan kepada pembaharuan struktur dan penstrukturan semula, akan turut menyokong pertumbuhan ekonomi disokong oleh kesan positif dasar kerajaan dan kemajuan dalam sektor seperti teknologi dan kecerdasan buatan yang bersedia untuk meningkatkan produktiviti.

Bagaimanapun, dengan dengan suasana positif itu Malaysia masih terdedah kepada ketidaktentuan ekonomi global.

Laporan itu juga menekankan kedudukan fiskal negara mendapat tekanan daripada keperluan berterusan untuk perbelanjaan awam bagi tujuan infrastruktur dan program-program sosial.

Selain itu, cabaran seperti jurang dalam pendapatan, kekurangan dalam keterangkuman, isu-isu daya saing, kemampanan alam sekitar dan ketidakpadanan kemahiran dalam pasaran tenaga kerja terus mengekang potensi pertumbuhan negara, tambah MIER.

-- BERNAMA