BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Pemain snuker negara Thor Chuan Leong menang pingat emas acara 6-Red perseorangan lelaki | Sukan SEA 2025: Atlet lontar peluru wanita negara Nani Sahirah Maryata cipta kejutan rangkul emas, pecah rekod kebangsaan dengan catatan 16.36 meter | Ringgit ditutup dengan terus melonjak, mencecah 4.09 berbanding dolar AS - paras paling kukuh dalam tempoh empat tahun dan tujuh bulan | MCMC peruntuk dana RM310 juta bangunkan infrastruktur kesalinghubungan inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka - Fahmi  | Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | 

MATRADE Sasar Jualan Eksport MIHAS@Dubai Bernilai RM1 Bilion

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan jualan eksport daripada MIHAS@Dubai bernilai RM1 bilion.

Acara itu yang julung-julung kali diadakan bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Dubai dengan menarik kira-kira 250 syarikat Malaysia, yang juga bertepatan dengan Ekspo Organik dan Produk Asli Timur Tengah dari 18-20 Nov, 2024.

Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata MIHAS@Dubai akan menjadi acara antarabangsa pertama di luar negara dengan penyertaan terbesar oleh syarikat Malaysia diterajui oleh MATRADE.

"MIHAS@Dubai akan digunakan untuk memanfaatkan potensi besar pasaran halal di Timur Tengah, seterusnya mengukuhkan statusnya sebagai pameran perdagangan yang diiktiraf di peringkat global.

"Selain itu, acara berkenaan juga memainkan peranan penting meletakkan Malaysia sebagai negara terkemuka di peringkat antarabangsa dalam landskap halal," katanya dalam satu kenyataan.

Syarikat-syarikat yang menyertai MIHAS@Dubai terlibat dalam industri makanan dan minuman, kecantikan, pertanian dan alam sekitar, pelancongan mesra muslim, francais, kewangan Islam dan logistik halal.

Reezal Merican juga berkata kepimpinan Malaysia yang lama dalam industri halal disokong oleh pelbagai inisiatif kerajaan, termasuk kemajuan penyelidikan dan pembangunan infrastruktur yang kukuh telah memacu pertumbuhan industri berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata MIHAS@Dubai akan menjadi batu loncatan kepada MATRADE untuk memperkukuh usaha mengantarabangsakan MIHAS khususnya di rantau Timur Tengah. 

“Lokasi Dubai yang strategik di Timur Tengah memberikannya ketersambungan yang sangat baik ke bandar-bandar utama di rantau itu. Ini akan menyediakan akses kepada pengeksport Malaysia ke pelbagai wilayah iaitu Timur Tengah, Afrika Utara dan Asia Selatan," katanya.

Semasa berlangsungnya MIHAS@Dubai, MATRADE akan menganjurkan Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) melibatkan 120 pembeli dari seluruh dunia, termasuk pembeli premium yang dikenal pasti oleh Pejabat MATRADE di Dubai, Doha dan Jeddah.

-- BERNAMA