BERITA TERKINI   Dua maut, empat cedera dalam kemalangan babit dua kenderaan di simpang Felda Sungai Ara dekat Kota Tinggi - bomba | Inflasi Malaysia berada pada 1.4 peratus pada Februari 2026, mata indeks naik kepada 136.0 daripada 134.1 pada bulan sama tahun sebelumnya - Jabatan Perangkaan | Perdagangan Malaysia meningkat 9.5 peratus kepada RM245.2 bilion pada Februari 2026, disokong oleh pengembangan berterusan dalam eksport dan import - Jabatan Perangkaan | Sabotaj Negara: PDRM akan rakam keterangan 14 lagi individu bagi lengkapkan kertas siasatan - KPN | 

Wasco Raih Kemenangan Berganda Di Anugerah ESG The Edge Malaysia 2024

KUALA LUMPUR, 16 Okt  (Bernama) -- Wasco Bhd telah meraih kemenangan berganda di Anugerah Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) The Edge Malaysia 2024.

Penyedia penyelesaian tenaga itu melalui satu kenyataan hari ini berkata ia telah memenangi anugerah perak untuk "Pencapai Terbaik dalam Sektor Tenaga' serta 'Peningkatan Prestasi Terbaik ESG Sepanjang Tiga Tahun Lepas" dalam syarikat tersenarai awam (PLC) dengan permodalan pasaran antara RM800 juta dan RM5 bilion.

“Anugerah yang disampaikan dengan kerjasama Bursa Malaysia dan FTSE Russell itu, mengiktiraf dedikasi Wasco untuk menggabungkan prinsip ESG ke dalam operasinya, memacu kemampanan serta penambahbaikan berterusan dalam sektor tenaga,” katanya.

Ketua Pegawai Strategi Wasco, Ariesza Noor berkata anugerah tersebut adalah bukti strategi jangka panjang pertumbuhan yang bertanggungjawab selepas syarikat itu bergerak sejajar dengan piawaian dan jangkaan industri yang berkembang.

“Ketika kami meneruskan perjalanan ini, fokus syarikat kekal pada tadbir urus korporat, penjagaan alam sekitar dan tanggungjawab sosial dengan matlamat yang jelas bagi mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2026 untuk Skop 1 dan 2.

“Kepentingan ESG yang semakin bertambah dalam membuat keputusan pelabur mengukuhkan peranan yang dimainkan oleh kemampanan dalam memacu prestasi korporat serta daya tahan jangka panjang ,” katanya.

Majlis anugerah tahunan itu dianjurkan oleh The Edge Malaysia pada 14 Okt lepas di Mandarin Oriental Kuala Lumpur, ia mengiktiraf pemimpin ESG di kalangan PLC dan firma pengurusan aset Malaysia.

Sebanyak 62 anugerah telah disampaikan kepada 48 syarikat, dengan kehadiran 370 wakil korporat.

Tahun ini, sejumlah 779 PLC telah dinilai oleh FTSE Russell untuk prestasi ESG mereka berbanding hanya 356 tahun lepas, mencerminkan peningkatan kepentingan ESG dalam landskap korporat.

-- BERNAMA