BERITA TERKINI   Kekangan logistik, keperluan latihan faktor utama PRN Johor dan Negeri Sembilan tidak diadakan serentak - SPR | PRN Johor: Seramai 2,727,926 individu layak mengundi - SPR | PRN Negeri Sembilan: Seramai 889,490 individu layak mengundi - SPR | PRN Negeri Sembilan diadakan pada 1 Ogos, penamaan 18 Julai - SPR | 216 penggiat industri kreatif terima sumbangan berjumlah RM164,256 menerusi program Ziarah Seni MADANI FINAS sejak 2023 - Teo | 

Kerajaan Disaran Laksana Subsidi Bersasar Secara Lebih Menyeluruh

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Kerajaan disarankan untuk melaksanakan subsidi bersasar secara lebih menyeluruh termasuk meneliti semula pemberian subsidi petrol RON95 kepada golongan T20, kata Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Beliau berkata subsidi berkenaan lebih wajar disalurkan kepada golongan B40 dan M40 yang lebih terkesan dengan peningkatan kos sara hidup selain sebagai langkah memperkukuh ekonomi negara dalam berdepan ketidaktentuan global.

“Dalam keadaan ekonomi semasa, kita perlu merasionalisasikan semula subsidi dan melaksanakannya secara sangat bersasar kepada mereka yang benar-benar memerlukan, antaranya dengan menyalurkan semula subsidi bahan api daripada T20 kepada B40 dan M40,” katanya ketika sidang media Rundingan Meja Bulat Nasional (RIMBUN) 2.0 di sini hari ini.

Cadangan itu adalah antara 25 resolusi utama yang dibincangkan dalam program Rundingan Meja Bulat Nasional (RIMBUN) 2.0 yang memfokuskan isu kedaulatan ekonomi negara.

Beliau berkata hasil perbincangan melibatkan 25 resolusi itu akan diperhalusi sebelum dibentangkan kepada Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk dipertimbangkan sebelum dibawa kepada perhatian Jemaah Menteri sebagai cadangan dasar kerajaan.

-- BERNAMA