BERITA TERKINI   FFC x TMTG: Sembilan aktivis Malaysia dijangka tiba di tanah air pada petang Ahad ini - Mohamad Hasan | 9 Rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan FFC, TMTG dibebaskan pada Jumaat, kata Kementerian Luar | Belanjawan 2026: Kerajaan Persekutuan peruntuk RM1.2 bilion, jamin kelangsungan bekalan elektrik di Sabah. | Belanjawan 2026: RM1.67 bilion diperuntukkan tahun hadapan bagi membolehkan Pan Borneo Sabah dapat dilaksana mengikut jadual | Belanjawan 2026: RM1.67 bilion disediakan untuk Pan Borneo Sabah dilaksana mengikut jadual tahun hadapan | 

Pembekal Malaysia Catat Potensi Jualan RM1.24 Bln Di MPOF Kuala Lumpur 2024

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Pembekal Malaysia mencatatkan potensi jualan sebanyak RM1.24 bilion semasa mesyuarat padanan perniagaan (BizMatch) bersama Forum Minyak Sawit Malaysia (MPOF) Kuala Lumpur 2024 yang diadakan pada 8 hingga 9 Oktober, 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Belvinder Sron berkata minat pembeli tertumpu terutamanya terhadap produk utama seperti olein sawit dan stearin sawit dan barangan hiliran seperti pengganti mentega koko dan minyak isirong sawit.

“Hasil ini menekankan kepelbagaian dan nilai minyak sawit Malaysia dalam memenuhi pelbagai keperluan pasaran global dan kami yakin bahawa penglibatan ini akan diterjemahkan kepada hubungan perdagangan jangka panjang,” kata Belvinder dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pembekal Malaysia menerima jumlah pertanyaan tertinggi dari rantau Afrika, diikuti oleh Asia Pasifik, Timur Tengah, India dan Asia Tengah semasa acara itu, menunjukkan permintaan yang semakin meningkat untuk minyak sawit Malaysia dalam pasaran ini dan keberkesanan daripada usaha sesi libat urus.

“Minat yang tinggi dari wilayah seperti Afrika, ASEAN dan Asia Tengah adalah seiring dengan usaha pemasaran dan promosi MPOC yang sedang dijalankan sekarang,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sesi BizMatch yang diadakan pada hari kedua forum itu, menghimpunkan lebih 100 pembeli dari 30 negara, termasuk pemain utama dalam industri minyak dan lemak dan makanan dari wilayah seperti Asia Pasifik, Asia Selatan, Timur Tengah , Afrika, dan Eropah Timur.

Sebanyak 24 pembekal Malaysia mengambil bahagian dalam acara itu, terlibat dalam perbincangan perniagaan yang berharga dengan perwakilan antarabangsa untuk meneroka peluang perdagangan dan meluaskan jangkauan mereka dalam pasaran ini.

Pembeli antarabangsa juga berpeluang melawat pusat pengalaman minyak sawit SD Guthrie di Pulau Carey, mereka akan mendapat maklumat terperinci mengenai proses pengeluaran minyak sawit.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan MPOC dan minyak sawit Malaysia dengan melayari tapak web di www.mpoc.org.my.

-- BERNAMA