BERITA TERKINI   Cadangan Bekerja Dari Rumah sektor awam diteliti, mungkin dibincang dalam Kabinet esok - Fahmi | Unit MN Holdings raih kontrak projek pencawang pusat data bernilai RM216 juta di selatan Semenanjung Malaysia | Jumlah rizab LTAT meningkat 29.1 peratus tahun ke tahun kepada RM1.31 bilion berbanding RM1.01 bilion pada tahun kewangan 2024 | LTAT catat RM749.49 juta dalam pendapatan pelaburan bagi tahun kewangan 2025, keuntungan boleh agih berjumlah RM541.56 juta. | LTAT isytihar dividen 5.35 peratus, RM524.74 juta bagi tahun kewangan 2025, tertinggi dalam tempoh lapan tahun | 

Kerajaan Persekutuan Rugi RM112.53 Juta Bagi Pelupusan Saham Astronautic Technology - Laporan Audit

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan mengalami kerugian berjumlah RM112.53 juta bagi pelupusan saham Astronautic Technology (M) Sdn  Bhd, melibatkan nilai nominal saham berjumlah RM112.58 juta telah dijual pada harga RM50,000.

Pelupusan saham Astronautic Technology pada nilai nominal RM50,000 adalah berdasarkan nilai bersih semasa, dengan segala aset dan liabiliti syarikat tidak dikenakan surcaj. 

Sehubungan itu, pelupusan tersebut adalah berdasarkan penurunan nilai muhibbah sahaja, menurut Analisis Kewangan Kerajaan Persekutuan. 

"Pelupusan saham berkenaan telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Ogos 14, 2019.

“Ini adalah kerana tiada keperluan strategik untuk Kerajaan Persekutuan terus memiliki syarikat Astronautic Technology dalam agenda memperkasa industri angkasa negara melalui pembangunan satelit penderiaan jauh," kata laporan itu.

Astronautic Technology ialah syarikat milik penuh kerajaan Malaysia di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, yang diselia oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Mandat utamanya adalah untuk membangunkan teknologi angkasa lepas dan satelit yang memfokuskan dalam penyelidikan dan pembangunan yang menggunakan teknologi canggih serta inovatif untuk industri angkasa lepas.

-- BERNAMA