BERITA TERKINI   Kira-kira 60 peratus kawasan penyimpanan lori dan minyak enjin lori di Taman Kota Puteri musnah terbakar, tiada mangsa terlibat - Bomba Johor | Malaysia akan perluas pasaran minyak sawit ke negara yang belum pernah jadi pembeli - Johari | Pemeriksaan kesihatan sebahagian komitmen PM untuk pastikan beliau kekal cergas terajui pentadbiran negara - Pengarah Hospital Serdang | PM Anwar jalani pemeriksaan kesihatan tahunan, kesihatan berada dalam keadaan sangat baik - Pengarah Hospital Serdang | Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tujuh negeri serta Labuan sehingga 5 petang ini - MetMalaysia | 

Ringgit Meningkat Semula Untuk Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Ringgit meningkat semula berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditutup sedikit tinggi pada Jumaat, apabila data inflasi AS yang lebih tinggi daripada jangkaan pasaran menyebabkan dolar AS mengalami penurunan.

Pada pukul 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2865/2910 berbanding dolar AS daripada 4.2910/2940 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi September yang lebih tinggi iaitu pada 2.4 peratus berbanding jangkaan menunjukkan kadar inflasi kekal lekit.

Inflasi lekit merupakan satu fenomena apabila harga tidak menyesuai secara cepat dengan perubahan penawaran dan permintaan, sekali gus menyebabkan inflasi berterusan.

Beliau berkata namun begitu, peningkatan tuntutan pengangguran awal kepada paras tertinggi tahun ini iaitu 258,000 pada minggu lepas menunjukkan tanda-tanda pasaran buruh yang semakin lemah.

“Data yang bercampur-campur di AS telah menyebabkan dolar menjadi lebih lemah, dengan Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.18 peratus kepada 102.806 mata,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, pada penutupan dagangan, ringgit mengukuh berbanding beberapa mata wang utama.

Ringgit tinggi berbanding euro kepada 4.6886/6935 daripada 4.6918/6951 semalam, dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.8780/8812 daripada 2.8820/8842.

Mata wang domestik meningkat berbanding pound British kepada 5.6016/6075 daripada 5.6122/6161 ketika ditutup pada Khamis.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding mata wang negara ASEAN.

Unit tempatan turun berbanding baht Thailand kepada 12.8504/8704 daripada 12.7724/7866 semalam dan lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.2824/2861 daripada 3.2811/2836.

Ringgit juga susut berbanding peso Filipina kepada 7.49/7.50 daripada 7.48/7.50 semalam, dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 275.1/275.5 daripada 273.6/274.0.

-- BERNAMA