BERITA TERKINI   GSF 2.0: Usaha diplomatik sedang digerakkan dengan negara serantau dan Turkiye untuk pembebasan aktivis - KP SNCC | Semua aktivis GSF 2.0 diculik dari kapal masing-masing bawah ancaman senjata - KP SNCC | GSF 2.0: Kesemua 50 buah kapal bawa 428 aktivis dari 40 negara dipintas secara haram oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa - KP SNCC | Eksport naik 36.9 peratus tahun ke tahun kepada RM182.74 bilion pada April 2026, import meningkat 20 peratus kepada RM153.99 bilion, menjana lebihan dagangan RM28.75 bilion - MATRADE  | Perdagangan Malaysia meningkat 28.6 peratus tahun ke tahun pada April 2026, pertumbuhan paling pesat sejak September 2022, mencecah RM336.73 bilion - MATRADE | 

Malaysia Akan Tingkat Usaha Tarik Pelaburan Rakan Dialog ASEAN Ke Rantau Ini - PM Anwar

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail dan Rosmalis Anuar

VIENTIANE, 11 Okt (Bernama) -- Malaysia yang memegang tampuk kepengerusian ASEAN tahun depan akan meningkatkan usaha menarik pelaburan dan perdagangan rakan dialog blok itu ke rantau ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, beliau berkata, Malaysia akan terus memanfaatkan kerjasama antarabangsa termasuk menerusi kerjasama di bawah Sidang Kemuncak Asia Timur melibatkan 18 negara iaitu 10 negara ASEAN, Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Rusia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

"Malaysia berhasrat untuk memanfaatkan pertemuan ini agar dapat membantu menarik pelaburan dan meningkatkan perdagangan, termasuk meningkatkan penjualan produk kelapa sawit," kata beliau.

Anwar berkata demikian kepada media Malaysia pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini, hari ini.

Beliau berkata Malaysia akan melancarkan Wawasan Komuniti ASEAN 2045, sebuah rangka kerja strategik yang bertujuan untuk membimbing kerjasama serantau dalam tempoh dua dekad akan datang.

"Ini satu kesempataan sangat baik dan ia juga telah disepakati," kata beliau. 

Sementara itu Perdana Menteri berkata Malaysia juga akan membantu mempercepat proses penerimaan Timor-Leste sebagai ahli penuh blok berkenaan.

Bagaimanapun, kata beliau, negara itu masih perlu memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan.

Anwar berkata menerusi Kementerian Luar, Malaysia akan berusaha mempercepat proses itu dan membantu kemasukan Timor-Leste.

“Kebanyakan kekangan adalah berkenaan peraturan ekonomi dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz akan membantu dari segi kelulusan beberapa prasyarat yang diperlukan," kata beliau.

-- BERNAMA