BERITA TERKINI   Dua sindiket pengedaran dadah tumpas, dadah RM4.7 juta dirampas dalam operasi di Johor Bahru - Polis | Seramai 60,000 pelajar disasar terima manfaat MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) dengan peruntukan RM18.5 juta - Anthony Loke | Tiga individu ditahan bantu siasatan kes lelaki maut ditembak di Skudai pada 9 Mei lepas - Polis | PRN Johor tidak dibincangkan dalam Mesyuarat MT UMNO dan pertemuan dengan Agong hari ini - Ahmad Zahid | Empat pelajar sekolah di Machang cedera parah dalam kemalangan jalan raya pagi tadi - Polis | 

Malaysia Gesa Kesimpulan Awal Bagi Semakan AITIGA - PM Anwar

Daripada Rosmalis Anuar

VIENTIANE, 10 Okt (Bernama) -- Malaysia menggesa kesimpulan lebih awal terhadap semakan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA), ketika Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-21 di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan beliau menekankan keperluan untuk memupuk persekitaran perniagaan yang kondusif dan mengukuhkan perdagangan dan pelaburan dua hala.

Beliau turut menyeru ASEAN dan India untuk memanfaatkan transformasi digital dan teknologi berkaitan untuk mengembangkan pasaran sedia ada, memanfaatkan kepakaran India dalam pembangunan perisian dan inovasi digital.

Sidang Kemuncak ASEAN-India yang dihadiri oleh pemimpin serantau dan Perdana Menteri India Narendra Modi, berlangsung di Vientiane, Laos, sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan.

Dalam kenyataan selepas sidang kemuncak itu, Pengerusi ASEAN mengumumkan bahawa kalangan pemimpin bersetuju untuk menetapkan 2025 sebagai Tahun Pelancongan ASEAN-India untuk mendorong pertukaran rakyat dengan rakyat serta budaya antara ASEAN dan India.

“Mesyuarat itu kemudiannya menggalakkan kerjasama lebih mendalam menerusi bidang yang dilihat oleh kedua-dua pihak sebagai berpotensi besar antaranya perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pembangunan modal insan, ekonomi digital, dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sidang kemuncak berkenaan diakhiri dengan penerimagunaan dua dokumen hasil utama iaitu Kenyataan Bersama Bagi Memperkukuh Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-India Untuk Keamanan, Kestabilan dan Kemakmuran di Rantau Ini dalam konteks Tinjauan ASEAN di Indo-Pasifik dengan sokongan Dasar Akta Timur India, dan Kenyataan Bersama ASEAN-India Dalam Meningkatkan Transformasi Digital.

-- BERNAMA