BERITA TERKINI   Sukan SEA 2025: Atlet lontar peluru wanita negara Nani Sahirah Maryata cipta kejutan rangkul emas, pecah rekod kebangsaan dengan catatan 16.36 meter | Ringgit ditutup dengan terus melonjak, mencecah 4.09 berbanding dolar AS - paras paling kukuh dalam tempoh empat tahun dan tujuh bulan | MCMC peruntuk dana RM310 juta bangunkan infrastruktur kesalinghubungan inisiatif Bandar Pintar Negeri Melaka - Fahmi  | Belanjawan Sabah 2026: Penjawat awam negeri terima Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 - Masidi | Belanjawan Sabah 2026 catat belanjawan lebihan RM28 juta – Masidi Manjun | 

Pasaran Getah Dijangka Diniagakan Dalam Julat Terhad Dengan Kecenderungan Meningkat Minggu Depan

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Pasaran getah tempatan dijangka diniagakan dalam julat terhad dengan kecenderungan meningkat, berikutan kebimbangan berterusan perubahan iklim yang lebih ekstrem disebabkan keadaan cuaca yang tidak boleh dijangkakan, kata pakar industri Denis Low.

Beliau berkata hujan yang berterusan di rantau pengeluar getah menghalang aktiviti menoreh getah dan mengurangkan hasil lateks.

"Persatuan Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) menyemak semula unjuran pengurangan getah asli (NR) tahun ini dan memberi amaran kekurangan pengeluaran mungkin berterusan sehingga 2028.

"Unjuran bekalan getah asli itu diturunkan disebabkan keadaan iklim yang tidak memberangsangkan apabila fasa El Nino beralih ke La Nina, di samping penyakit luruhan daun yang berleluasa memberi kesan negatif kepada kedua-dua hasil dan kualiti getah getah," katanya kepada Bernama. 

Menurut Denis permintaan getah asli dilihat meningkat, menyebabkan harga getah global melonjak dengan mendadak bagi tempoh lapan bulan tahun ini.

Ekonomi juga bergelut dengan kadar penghantaran yang mahal dan dolar Amerika Syarikat (AS) yang tidak menentu, menandakan ketidaktentuan dan mungkin mencetuskan kebimbangan pada masa yang sama.

"Situasi geopolitik semasa juga mendorong harga komoditi tertentu di luar jangkaan manakala harga yang lain menurun," katanya.

Bagaimanapun, seorang peniaga berkata harga getah asli akan terus menjejaki prestasi pasaran hadapan getah serantau, kekuatan ringgit berbanding dolar AS ditambah dengan harga minyak mentah penanda aras dan bekalan getah asli yang terhad.

Beliau berkata pengendali pasaran akan memantau perkembangan terkini ekonomi AS dan China, terutamanya hala tuju penurunan kadar faedah, pelaksanaan rangsangan China, perkembangan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) dan konflik geopolitik di Timur Tengah.

Pada asas Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) meningkat 5.5 sen kepada 870.5 sen sekilogram daripada 848.5 sen sekilogram minggu lepas.

Sementara itu, lateks pukal meningkat 28.5 sen kepada 736.5 sen sekilogram daripada 708 sen sekilogram sebelumnya.

Pada 5 petang, harga fizikal SMR 20 berada pada 871 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 739.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA