BERITA TERKINI   Laporan semakan insiden letupan saluran gas di Putra Heights diserah kepada Kerajaan Persekutuan bulan lepas - MB Selangor | PM jamin kontraktor kecil berprestasi baik akan diberi lebih banyak kontrak untuk berkembang | Peruntukan perolehan kerja untuk Kementerian Pendidikan dinaikkan daripada RM400 juta kepada RM900 juta - PM Anwar | Guru jadi pempengaruh media sosial perlu jaga adab, hujah berlandaskan fakta - PM Anwar | BN umum tanding di semua 56 kerusi DUN pada pilihan raya negeri Johor akan datang - Onn Hafiz | 

Kenaikan Ringgit Beri Manfaat Kepada Malaysia Tetapi Belum Capai Nilai Saksama - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Ringgit belum mencapai nilai saksama walaupun mencatatkan peningkatan berbanding dolar AS baru-baru ini dan muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia Tenggara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ia masih berada di bawah nilai sebenar (walaupun) pada kadar RM4.10 (berbanding dolar AS). Orang ramai tahu bahawa ia pernah berada pada kadar RM3.80 tetapi lebih baik ia mengukuh secara berperingkat tanpa campur tangan.

“Biarkan kuasa pasaran menentukan. Ia akan mencerminkan keyakinan terhadap dasar kerajaan dan cara kami melaksanakan pembaharuan,” kata beliau kepada CNBC dalam satu temu bual.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, ringgit merosot kepada 4.2155/2240 berbanding dolar AS daripada 4.1230/1280 minggu lepas. 

BMI Country Risk & Industry Research (BMI), unit Fitch Solutions, menyemak naik unjuran ringgit bagi akhir 2024 kepada RM4.00 berbanding dolar AS daripada RM4.55 sebelum ini, memaparkan prestasi cemerlang ringgit pada suku ketiga 2024.

Sebahagian penganalisis lebih optimis dan mengunjurkan ringgit akan mencecah RM3.55 berbanding dolar AS.

Walaupun mengakui ringgit yang lebih kukuh boleh mewujudkan kebimbangan dalam kalangan pengeksport berdasarkan Malaysia merupakan negara yang berorientasikan eksport, Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata perkara itu tidak begitu membimbangkan berikutan mata wang tempatan masih berada di bawah nilai.

“Ya, ia akan mewujudkan kebimbangan dalam kalangan pengeksport (tetapi) tidak begitu ramai dan tidak terlalu serius kerana ia masih berada di bawah nilai.

“Bagaimanapun, ia telah memberikan banyak manfaat kerana kita adalah negara perdagangan dan banyak mengimport dari luar negara,” kata beliau ketika ditanya sama ada ringgit yang lebih kukuh atau lemah akan memberi kelebihan kepada Malaysia.

-- BERNAMA