BERITA TERKINI   Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | Paramount Corporation beli tanah komersial pegangan bebas di Kuala Lumpur daripada IOI Properties dengan harga RM257.88 juta | Unit Solarvest raih kontrak EPCC untuk bangunkan projek LSS5+ di Padang Siding, Perlis bernilai RM89.5 juta | 

Kerjasama UPM-NXP Pacu Daya Saing Malaysia Dalam Pasaran Semikonduktor Global

SERDANG, 3 Okt (Bernama) -- Universiti Putra Malaysia (UPM) dan syarikat semikonduktor NXP Malaysia memeterai Memorandum Perjanjian (MOA) bagi menjalin kerjasama strategik untuk meningkatkan pertumbuhan industri semikonduktor dan elektronik Malaysia.

Kerjasama itu juga akan mengukuhkan kedudukan negara ini dalam rantaian bekalan global di samping memupuk bakat dan tenaga kerja serta inovasi tempatan.

Majlis pemeteraian MOA itu disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Chang berkata inisiatif kedua-dua pihak itu sejajar dengan Pelan Hala Tuju Pembangunan Teknologi Elektrik dan Elektronik (E&E) kementerian 2021-2030.

"Pelan hala tuju itu menekankan kepentingan teknologi canggih seperti automasi, kecerdasan buatan (AI), dan Internet Pelbagai Benda (IoT), yang diperlukan dalam memodenkan sektor E&E dan meningkatkan kecekapan operasi," katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani MOA itu.

Makmal kerjasama UPM-NXP turut dilancarkan pada majlis itu, yang akan memupuk bakat tempatan dengan memberikan akses terus teknologi semikonduktor termaju kepada pelajar.

Peralatan utama dalam pembuatan semikonduktor iaitu mesin pengikatan wayar berteknologi tinggi juga ditempatkan di makmal kerjasama itu.

"Peralatan ini membolehkan pelajar merapatkan jurang antara pengetahuan akademik dan keperluan industri, menyediakan mereka untuk peranan permintaan tinggi dalam sektor semikonduktor global," kata Chang.

Beliau berkata Inisiatif ini juga meletakkan Malaysia sebagai hab untuk penyelidikan dan pembangunan semikonduktor (R&D), sejajar dengan permintaan global untuk litar bersepadu yang digunakan dalam industri utama seperti automotif, elektronik pengguna dan telekomunikasi.

Menurut Chang, kerjasama industri-akademik adalah penting untuk memastikan program pendidikan relevan dengan keperluan pasaran semasa.

Ia menyokong objektif Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang dilancarkan baru-baru ini, yang bertujuan untuk meningkatkan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor global.

NSS menyasarkan untuk menjadikan Malaysia hab R&D semikonduktor global dan melatih 60,000 jurutera berkemahiran tinggi untuk memenuhi permintaan industri yang berkembang pesat.

Sementara itu, Naib Canselor UPM Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata kerjasama itu membolehkan UPM mengukuhkan lagi keupayaan penyelidikannya dengan menyediakan akses kepada peralatan terkini.

 "Kerjasama ini membuka peluang kepada UPM untuk bekerjasama secara lebih meluas dengan institusi penyelidikan global dan peneraju industri, yang akan meningkatkan kualiti penyelidikan dan mewujudkan peluang yang lebih luas untuk pelajar kami," katanya.

-- BERNAMA