BERITA TERKINI   Sekretariat PH kesal insiden kekasaran terhadap media ketika liputan Konvensyen di Johor - Fahmi  | PM Anwar hargai komitmen parti gabungan Kerajaan MADANI kekal bersama sehingga tamat penggal - Fahmi | GSF 2.0: Usaha diplomatik sedang digerakkan dengan negara serantau dan Turkiye untuk pembebasan aktivis - KP SNCC | Semua aktivis GSF 2.0 diculik dari kapal masing-masing bawah ancaman senjata - KP SNCC | GSF 2.0: Kesemua 50 buah kapal bawa 428 aktivis dari 40 negara dipintas secara haram oleh rejim Zionis Israel di perairan antarabangsa - KP SNCC | 

IBAC Unjur Prospek Optimis Penerbangan Perniagaan Di Asia Pasifik, Malaysia Pada 2025

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

MANILA, 2 Okt (Bernama) -- Penerbangan perniagaan di Asia Pasifik mempunyai peluang pertumbuhan yang luas, antaranya Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Malaysia, dan sektor itu dijangka mencatat prospek optimis tahun depan, menurut Majlis Penerbangan Perniagaan Antarabangsa (IBAC).

Ketua Pengarah IBAC, Kurt Edwards berkata ekonomi di rantau ini meraih peningkatan dan lazimnya memberikan isyarat bahawa penggunaan pesawat perniagaan akan berkembang.

“Negara seperti Filipina dan Malaysia memerlukan kesalinghubungan perniagaan dan saya yakin pesawat bersayap tetap serta helikopter adalah bersesuaian dengan peranan ini,” katanya kepada Bernama pada Sidang Kemuncak Penerbangan Filipina 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia berada pada kedudukan utama dari segi jumlah pesawat perniagaan, yang menyaksikan banyak operator pesawat perniagaan asing melintasi negara ini.

Beliau berkata Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah atau lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang, boleh memainkan peranan pelengkap kepada Lapangan Terbang Seletar di Singapura dan meningkatkan industri penerbangan.

Di peringkat serantau, Edwards berkata Filipina mencatat 19 peratus daripada kumpulan pesawat perniagaan di Asia Tenggara manakala Indonesia melebihi 25 peratus, dengan kedua-dua negara itu mempunyai gugusan pulau-pulau terbesar.

Penerbangan perniagaan melaksanakan perkhidmatan mengangkut pekerja ke tapak kerja dan membolehkan para pengurus melawat pelbagai bandar dalam masa satu hari.

IBAC adalah persatuan perdagangan antarabangsa tidak berasaskan keuntungan yang berperanan sebagai pemerhati rasmi di Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa, mewakili kepentingan penerbangan perniagaan di seluruh dunia.

-- BERNAMA