BERITA TERKINI   Dua maut, empat cedera dalam kemalangan babit dua kenderaan di simpang Felda Sungai Ara dekat Kota Tinggi - bomba | Inflasi Malaysia berada pada 1.4 peratus pada Februari 2026, mata indeks naikĀ kepada 136.0 daripada 134.1 pada bulan sama tahun sebelumnya - Jabatan Perangkaan | Perdagangan Malaysia meningkat 9.5 peratus kepada RM245.2 bilion pada Februari 2026, disokong oleh pengembangan berterusan dalam eksport dan import - Jabatan Perangkaan | Sabotaj Negara: PDRM akan rakam keterangan 14 lagi individu bagi lengkapkan kertas siasatan - KPN | 

Kilang Baharu Schott Di Kedah Perkukuh Malaysia Sebagai Hab Pembuatan Global

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Kemudahan pengeluaran canggih Schott Glass Malaysia Sdn Bhd di Kulim, Kedah, mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan global untuk penyelesaian kaca khusus mewah, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pelaburan berterusan Schott di Malaysia adalah sejajar dengan visi yang ditetapkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“NIMP 2030 bertujuan mengubah Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, dan kemudahan baharu Schott di Kulim membuktikan daya tarikan negara sebagai hab industri berteknologi tinggi.

“Peluasan ini bukan sahaja akan mewujudkan peluang pekerjaan yang bernilai malah juga memacu pertumbuhan ekonomi dalam inovasi, teknologi dan keusahawanan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Kemudahan di Kulim itu dijangka mewujudkan kira-kira 400 pekerjaan kejuruteraan dan pengeluaran mahir dan menyediakan peluang pekerjaan yang berharga dalam ekonomi tempatan.

Kapasiti Schott dapat ditingkatkan dengan ketara menerusi tapak baharu itu untuk membekalkan komponen optik berkualiti tinggi kepada industri berteknologi tinggi antarabangsa, termasuk realiti tambahan (AR).

Tapak pengeluaran Asia pertama syarikat itu yang terletak di Pulau Pinang dan telah ditubuhkan pada 1974.

Kilang itu telah berkembang menjadi kemudahan termaju yang menggaji lebih 1,300 jurutera mahir dan pekerja pengeluaran, menghasilkan komponen optik dan bahan khusus untuk pelbagai kegunaan berteknologi tinggi.

Ahli lembaga pengarah Schott Dr Andrea Frenzel berkata perasmian kilang Kulim merupakan satu pencapaian penting bagi kumpulan teknologi antarabangsa itu.

“Setengah abad yang lepas, Schott mewujudkan tapak pengeluaran pertama kami di Asia, iaitu di Pulau Pinang. Hari ini, kami gembira untuk meneruskan usaha ini dengan berkembang dan mengukuhkan kehadiran kami di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA