BERITA TERKINI   Lembaga Disiplin JPA akan bermesyuarat berhubung hasil laporan siasatan isu pemilikan saham KP SPRM dalam masa terdekat - KSN | Kenaikan gred pembantu tadbir Gred 1 kepada Gred 5 dilaksana secara berperingkat, ambil kira pelbagai syarat kelayakan - KSN | Harga minyak mentah Brent turun kepada US$94.22 setong hari ini berbanding paras tertinggi semalam pada US$118.60 setong | Konflik Asia Barat: KPDN tingkat pemantauan risiko penyeludupan bahan api di sempadan negara - Armizan | Skim Harga Maksimum Musim Perayaan berkuat kuasa 14-28 Mac, libatkan 27 jenis barangan - Armizan | 

Kerjasama Serantau Amat Penting Bagi Membuka Potensi Penuh Tenaga ASEAN - Fadillah

Daripada Norsyafawati Ab Wahab

VIENTIANE (LAOS), 26 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan menekankan pentingnya kerjasama serantau untuk membuka potensi tenaga ASEAN di Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-42 di sini hari ini.

Sebagai Naib Pengerusi AMEM, Fadillah memfokuskan usaha bersama adalah penting untuk memanfaatkan sumber tenaga yang pelbagai di rantau ini dengan berkesan.

Beliau berkata ASEAN telah mencapai kemajuan yang luar biasa dalam kerjasama tenaga dan adalah penting bagi semua negara anggota untuk terus melakar kejayaan itu.

"Rantau kita kaya dengan sumber tenaga yang pelbagai, daripada bahan api fosil yang banyak kepada potensi tenaga boleh baharu yang luas.

"Bagaimanapun, kita juga menghadapi beberapa cabaran termasuk keselamatan tenaga, kebolehcapaian dan keperluan yang mendesak untuk beralih kepada sistem tenaga yang lebih bersih dan lebih mampan," katanya.

Fadillah berkata Malaysia berbangga menjadi sebahagian daripada inisiatif itu dan telah menyaksikan manfaat kerjasama serantau secara langsung.

Timbalan Perdana Menteri berkata dalam hal ini Malaysia komited untuk berkongsi pengalamannya sambil belajar daripada semua negara anggota ASEAN.

"Sama ada melalui memajukan Grid Kuasa ASEAN, meningkatkan kecekapan tenaga atau meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu, kerjasama kita adalah penting untuk membuka potensi penuh di rantau ini," katanya.

Sehubungan itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata perbincangan yang akan diadakan oleh menteri-menteri tenaga ASEAN dalam beberapa hari akan datang adalah penting untuk membentuk masa depan landskap tenaga ASEAN.

Memandangkan Malaysia kini bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi AMEM pada 2025, Fadillah berkata beliau amat terharu dengan kepercayaan yang diberikan oleh komuniti ASEAN kepada Malaysia.

"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan setiap daripada anda pada tahun yang akan datang dalam mengukuhkan kerjasama dan memajukan agenda peralihan tenaga di rantau ini.

"Ia adalah masa yang mengujakan bagi ASEAN apabila kita secara kolektif meneroka teknologi baharu, memperdalam cita-cita tenaga boleh baharu dan meningkatkan akses tenaga untuk semua rakyat kita," tambahnya.

Mesyuarat AMEM ke-42 selama dua hari dan mesyuarat yang berkaitan bermula hari ini, diadakan serentak dengan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-24.

Mesyuarat kali ini dipengerusikan oleh Menteri Tenaga dan Galian Laos Phoxay Sayasone.

-- BERNAMA