BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Belanjawan 2025: Tera Minta Kuota SolaRIS Dilanjutkan, Liberalisasi Grid Berperingkat

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh BM Greentech Bhd, Tera VA Sdn Bhd berharap kerajaan melanjutkan program Pemeteran Tenaga Bersih (MEB) dan Skim Insentif Solar Untuk Rakyat (SolaRIS) dengan tambahan selama dua tahun dalam Bajet 2025 yang dijadual dibentangkan 18 Oktober ini.

Syarikat kejuruteraan, perolehan dan pembinaan fotovoltaik solar (PV) itu turut meminta supaya kuota SolaRIS ditambah untuk menampung permintaan pemasangan yang semakin meningkat.

Pengarah Urusan Tera, Michael Leong dalam kenyataan berkata, langkah memperluas liputan pemasangan PV solar boleh mengurangkan tekanan terhadap grid dan memberi manfaat kepada komuniti yang bergantung kepadanya untuk bekalan elektrik.

Sejak SolaRIS diperkenalkan pada 1 April lepas, sebanyak 667 pengguna telah menyiapkan pemasangan PV solar menerusi program NEM setakat 9 Julai 2024.

“Pengenalan program ini menyaksikan permohonan domestik meningkat kepada 150 sehari berbanding kira-kira 100 sebelum pelancarannya, dan kuota yang diperuntukkan dimanfaatkan sepenuhnya setakat 11 Sept 2024,” katanya.

Mengenai Skim Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), Leong menyokong liberalisasi grid secara beransur-ansur untuk menggalakkan penyertaan lebih luas dan mewujudkan kerangka yang komprehensif.

Beliau turut meminta kerajaan supaya membuka skim itu kepada korporat yang mempunyai keperluan bekalan elektrik sedia ada, berbanding hanya kepada pihak yang memerlukan kapasiti baharu atau tambahan memandangkan kebanyakan perniagaan tidak mempunyai permintaan elektrik yang semakin bertambah.

"Perubahan ini akan menggalakkan persaingan yang sihat, dan akhirnya memberi manfaat kepada pengguna elektrik melalui kadar yang kompetitif di samping menyokong objektif negara untuk mengurangkan pelepasan karbon," katanya.

Leong turut menggalakkan sokongan daripada kerajaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam usaha kemampanannya.

Selain itu, beliau mencadangkan Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (LCTF) diseragamkan dan mengurangkan kadar pembiayaan, atau menyediakan jadual untuk kadar LCTF yang dikenakan.

LCTF, inisiatif pembiayaan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menawarkan pembiayaan pada kadar sehingga lima peratus setahun, yang dilancarkan pada 2022 untuk membantu PKS mengguna pakai amalan kelestarian untuk daya tahan perniagaan.

Beliau berkata, menurut laporan tahunan BNM yang terkini, lebih RM800 juta daripada RM1 bilion yang diperuntukkan masih ada.

"Bagi syarikat yang lebih kecil, kadar maksimum lima peratus boleh memberi impak yang ketara kepada aliran tunai, menyebabkan mereka mengutamakan kemampanan operasi berbanding inisiatif kemampanan," kata Leong.

-- BERNAMA