BERITA TERKINI   Kerajaan dalam fasa akhir persiapan laksana proses evakuasi rakyat Malaysia dari Timur Tengah - MKN | Jenazah Prof Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada 12.30 tengah hari tadi | Cabaran ekonomi tahun lepas akan membantu meningkatkan prestasi ekonomi suku pertama - Amir Hamzah | Terlalu awal untuk menentukan sama ada dividen Petronas akan meningkat susulan lonjakan harga minyak - Amir Hamzah | Tiada gangguan bekalan di pasaran buat masa ini dan kerajaan akan mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter - Amir Hamzah | 

PKNS Peruntuk RM0.5 Juta Bantu Usahawan Sertai Ekspo Peringkat Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperuntukkan lebih RM0.5 juta tahun ini bagi membantu usahawan berpotensi menyertai ekspo peringkat antarabangsa di dalam negara untuk mengembangkan perniagaan mereka.

Ini termasuklah penyertaan dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 yang berlangsung dari 17 hingga 20 September di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), di sini, kata PKNS dalam satu kenyataan hari ini.

Sebanyak 14 usahawan di bawah bimbingan Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) PKNS yang menyertai MIHAS 2024 di pavilion PKNS telah berjaya menarik perhatian ramai pengunjung sejak pameran itu bermula.

“Kesemua usahawan yang berada di dalam sektor makanan dan minuman (F&B) itu diketengahkan oleh BPU di MIHAS tahun ini sebagai langkah memperkenalkan produk mereka bagi melihat potensi ke arah mengembangkan produk tempatan ke peringkat antarabangsa, sekali gus meningkatkan eksport dan menembusi pasaran global,” katanya.

Antara syarikat yang terpilih untuk berada di bawah pavilion PKNS di MIHAS tahun ini adalah Jaqued Holdings Sdn Bhd, My Innovative Wellness Sdn Bhd, Abin Snack Food Supplier Enterprise dan Krukkrapmy International Sdn Bhd

PKNS berkata, memandangkan hampir 80 peratus usahawan PKNS berada dalam sektor F&B, penyertaan dalam pameran tersebut adalah langkah yang tepat untuk meluaskan rangkaian perniagaan melalui kerjasama antarabangsa, khususnya dalam sektor halal.

Penyertaan dalam MIHAS ini juga memberi peluang kepada usahawan PKNS untuk menyertai International Sourcing Programme (INSP), iaitu program padanan perniagaan antara pengeksport Malaysia dan pembeli antarabangsa.

-- BERNAMA