Oleh Dr Zuritah A.Kadir & Dr Najwa Mustafa
Perubahan iklim merupakan antara cabaran global paling signifikan pada abad ke-21 yang memberi implikasi meluas terhadap pelbagai sektor, termasuk ekonomi, kesihatan awam dan persekitaran pekerjaan.
Dalam konteks keselamatan dan kesihatan pekerjaan (Occupational Safety and Health, OSH), perubahan iklim bukan sahaja mempengaruhi keadaan fizikal tempat kerja, malah turut meningkatkan tahap pendedahan pekerja kepada pelbagai hazard baharu dan sedia ada.
Situasi ini menjadi lebih kritikal dalam konteks Malaysia yang kini sedang mengalami episod musim panas yang lebih ekstrem dan berpanjangan, selaras dengan arah aliran peningkatan suhu global.
Secara konseptual, perubahan iklim merujuk kepada perubahan jangka panjang dalam corak suhu dan sistem cuaca global yang sebahagian besarnya didorong oleh aktiviti antropogenik, iaitu kesan, perubahan atau masalah alam sekitar yang berpunca daripada aktiviti manusia, bukannya proses semula jadi.
Antara contoh aktiviti tersebut termasuk pembakaran bahan api fosil, pembangunan industri, pembakaran terbuka, penebangan hutan dan pembandaran yang mengubah komposisi atmosfera serta landskap bumi.
Fenomena ini mengakibatkan peningkatan suhu purata global, perubahan pola hujan serta peningkatan kejadian cuaca ekstrem.
Di Malaysia, fenomena musim panas yang lebih ketara sering dikaitkan dengan pengaruh El Niño, yang menyebabkan pengurangan taburan hujan dan peningkatan suhu persekitaran secara signifikan.
Keadaan ini secara langsung meningkatkan risiko terhadap keselamatan dan kesihatan pekerja.
Data terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan bahawa Malaysia sedang mengalami episod cuaca panas yang ketara pada tahun 2026, dengan suhu maksimum harian mencecah antara 35°C hingga 37°C di beberapa kawasan, dan berpotensi mencapai sehingga 40°C dalam situasi gelombang haba.
Keadaan ini diperburuk oleh tempoh kering yang berpanjangan serta pengurangan taburan hujan, selaras dengan peralihan musim monsun dan pengaruh fenomena iklim global. Kecenderungan ini menunjukkan peningkatan ketara risiko tekanan haba terhadap pekerja, terutamanya dalam sektor yang terdedah kepada persekitaran luar.
Risiko Tekanan Haba
Salah satu implikasi paling ketara semasa musim panas ialah peningkatan risiko tekanan haba (heat stress), khususnya dalam kalangan pekerja yang terdedah kepada persekitaran luar seperti sektor pembinaan, pertanian dan penyelenggaraan.
Suhu persekitaran yang tinggi, ditambah dengan kelembapan relatif yang tinggi di Malaysia, meningkatkan indeks tekanan haba (heat index) ke tahap berbahaya.
Pendedahan berpanjangan kepada keadaan ini boleh menyebabkan keletihan haba, strok haba dan dehidrasi. Lebih membimbangkan, tekanan haba turut menjejaskan fungsi kognitif dan keupayaan membuat keputusan, sekali gus meningkatkan kebarangkalian berlakunya kemalangan industri.
Selain itu, musim panas yang melampau juga memberi kesan terhadap produktiviti dan kecekapan kerja.
Kajian menunjukkan bahawa peningkatan suhu persekitaran boleh menyebabkan penurunan prestasi kerja fizikal dan mental.
Dalam sektor seperti pembinaan dan perkilangan, keadaan ini boleh mengakibatkan kelewatan projek, peningkatan kadar kesilapan serta risiko kemalangan yang lebih tinggi.
Oleh itu, perubahan iklim bukan sahaja merupakan isu kesihatan awam, tetapi juga isu ekonomi dan pengurusan organisasi.
Musim panas yang berpanjangan turut menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara, terutamanya apabila dikaitkan dengan kejadian jerebu rentas sempadan.
Peningkatan suhu dan kekeringan mempercepatkan pembentukan bahan pencemar sekunder seperti ozon troposfera, yang memberi kesan buruk kepada sistem respiratori pekerja.
Pekerja yang terdedah kepada udara tercemar berisiko mengalami penyakit seperti asma, bronkitis dan penyakit paru-paru kronik, sekali gus menjejaskan kehadiran dan produktiviti mereka.
Dari sudut psikososial pula, tekanan akibat bekerja dalam keadaan panas yang melampau juga tidak boleh diabaikan.
Ketidakselesaan fizikal yang berterusan, keletihan serta kebimbangan terhadap kesihatan diri boleh menyumbang kepada peningkatan tahap stres dan keletihan emosi.
Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menjejaskan kesejahteraan mental pekerja serta meningkatkan risiko burnout.
Langkah Proaktif Majikan
Dalam menghadapi cabaran musim panas yang semakin ekstrem ini, majikan perlu mengambil langkah proaktif dan sistematik bagi melindungi pekerja.
Antara langkah utama ialah menjalankan penilaian risiko khusus berkaitan tekanan haba di tempat kerja.
Penilaian ini perlu mengambil kira faktor seperti suhu persekitaran, tahap kelembapan, jenis kerja serta tempoh pendedahan pekerja.
Langkah kawalan kejuruteraan dan pentadbiran juga perlu dipertingkatkan. Sebagai contoh, majikan boleh melaksanakan penjadualan kerja fleksibel dengan mengelakkan aktiviti berat pada waktu tengah hari, menyediakan kawasan rehat yang teduh, serta memastikan akses berterusan kepada air minuman.
Penggunaan alat pemantauan seperti Wet Bulb Globe Temperature (WBGT) juga boleh membantu dalam menilai tahap risiko tekanan haba secara lebih tepat.
Dari perspektif pengurusan, elemen perubahan iklim dan tekanan haba perlu diintegrasikan ke dalam sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan organisasi selaras dengan piawaian seperti International Organization for Standardization melalui standard ISO 45001:2018.
Ini termasuk pembangunan prosedur kerja selamat, pelan tindak balas kecemasan serta latihan berkala kepada pekerja mengenai pengurusan tekanan haba.
Program latihan dan kesedaran juga perlu diperkukuhkan, khususnya dalam meningkatkan keupayaan pekerja untuk mengenal pasti simptom awal tekanan haba serta mengambil tindakan pencegahan yang sewajarnya.
Pendidikan berterusan ini dapat membantu mengurangkan risiko kecederaan dan kematian akibat strok haba.
Kesimpulannya, fenomena musim panas yang semakin ekstrem di Malaysia merupakan manifestasi nyata perubahan iklim yang memberi implikasi besar terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Risiko tekanan haba, kemerosotan kualiti udara serta kesan psikososial memerlukan pendekatan pengurusan yang holistik dan bersepadu.
Oleh itu, komitmen majikan dalam melaksanakan strategi mitigasi dan adaptasi adalah amat penting bagi memastikan kesejahteraan pekerja sentiasa terpelihara, di samping menyokong kelangsungan operasi organisasi dalam persekitaran yang semakin mencabar.
--BERNAMA