Oleh Dr Norhaliza Abu Bakar
Cuaca semakin panas, dan rutin harian terus berjalan tanpa henti. Pagi bermula dengan tergesa-gesa-menyiapkan anak, mengejar masa, dan meredah kesesakan di bawah terik matahari yang kian membahang.
Dalam keadaan tubuh dan minda yang letih, perhatian mudah teralih, manakala fikiran pula dipenuhi pelbagai urusan yang menuntut keutamaan.
Namun, di sebalik kesibukan yang dianggap biasa ini, tersembunyi satu bahaya senyap yang jarang diberi perhatian.
Dalam cuaca panas, ruang tertutup seperti kenderaan boleh bertukar menjadi ‘perangkap haba’ dalam tempoh yang sangat singkat-dan satu kecuaian kecil sahaja sudah cukup untuk mencetuskan tragedi yang tidak dapat dipatahkan.
Sains di sebalik ‘ketuhar bergerak’
Mungkin ada yang beranggapan bahawa kenderaan yang dipasang cermin gelap tidak akan menjadi terlalu panas. Hakikatnya, tanggapan ini tidak tepat dan boleh mengundang risiko besar.
Secara saintifik, kenderaan bertindak seperti rumah hijau. Sinar matahari menembusi cermin dan memanaskan bahagian dalaman seperti papan pemuka, tempat duduk dan udara di dalam kabin. Haba yang terhasil akan terperangkap dan tidak dapat dilepaskan keluar dengan mudah.
Walaupun suhu luar hanya sekitar 30 darjah Celsius, suhu dalam kenderaan yang tertutup boleh meningkat melebihi 45 darjah Celsius dalam tempoh hanya 10 minit. Menurunkan sedikit tingkap juga tidak memberi kesan signifikan dalam mengurangkan peningkatan suhu ini.
Lebih membimbangkan, fisiologi kanak-kanak menjadikan mereka jauh lebih terdedah kepada risiko ini.
Suhu badan mereka boleh meningkat tiga hingga lima kali lebih cepat berbanding orang dewasa, manakala sistem perpeluhan belum cukup matang untuk menyejukkan badan dengan berkesan.
Dalam keadaan terperangkap dalam haba melampau, mereka boleh mengalami strok haba dengan pantas, diikuti kegagalan organ dan kematian dalam masa yang singkat.
Sindrom bayi tertinggal
Setiap kali berita kematian kanak-kanak akibat ditinggalkan dalam kenderaan tular, masyarakat sering bertindak dengan kecaman.
Persoalan seperti “Bagaimana boleh lupa anak sendiri?” sering dilontarkan.
Namun, dari sudut psikologi, situasi ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, termasuk ibu bapa yang penyayang.
Fenomena ini dikenali sebagai Forgotten Baby Syndrome atau Sindrom Bayi Tertinggal.
Keadaan ini berlaku apabila otak manusia berfungsi dalam mod ‘autopilot’, terutamanya ketika seseorang berada dalam keadaan tertekan, keletihan, kurang tidur atau mengalami perubahan rutin harian.
Selepas cuti perayaan yang panjang, rutin yang terganggu meningkatkan risiko ini.
Bayangkan seorang ibu atau bapa yang kebiasaannya tidak menghantar anak ke taska tiba-tiba perlu mengambil alih tugas tersebut.
Dalam keadaan tergesa-gesa, fikiran dipenuhi dengan urusan kerja, ditambah gangguan seperti panggilan telefon, otak secara automatik membawa mereka terus ke tempat kerja tanpa menyedari bahawa anak masih berada di tempat duduk belakang.
Keadaan menjadi lebih berisiko apabila anak berada dalam keadaan tidur, sekali gus menghilangkan sebarang petunjuk bunyi atau pergerakan yang boleh mengingatkan ibu bapa.
Mitos “sekejap cuma” yang membawa padah
Selain kecuaian tidak disengajakan, terdapat juga sikap mengambil mudah dengan alasan “sekejap sahaja”.
Ada ibu bapa yang meninggalkan anak di dalam kenderaan untuk urusan ringkas seperti membeli barang di kedai serbaneka, membayar di stesen minyak atau mengeluarkan wang di mesin ATM. Ada juga yang merasakan selamat kerana enjin dan penyaman udara dibiarkan hidup.
Namun, pelbagai risiko boleh berlaku dalam tempoh yang singkat. Enjin kenderaan boleh mati secara tiba-tiba, sistem penyaman udara boleh gagal berfungsi, atau pintu terkunci secara tidak sengaja. Malah, risiko jenayah seperti kenderaan dilarikan bersama anak juga tidak boleh diketepikan.
Persoalannya, adakah urusan singkat itu lebih penting daripada keselamatan nyawa seorang anak?
Langkah pencegahan yang wajar diamalkan
Kesedaran semata-mata tidak mencukupi tanpa tindakan yang konsisten. Oleh itu, beberapa langkah pencegahan boleh diamalkan oleh ibu bapa.
Pertama, letakkan barang penting seperti beg kerja, telefon atau tag nama di tempat duduk belakang. Ini memaksa anda membuka pintu belakang sebelum keluar dari kenderaan.
Kedua, letakkan barang anak seperti botol susu atau beg lampin di tempat duduk hadapan sebagai isyarat visual bahawa anak berada bersama anda.
Ketiga, wujudkan komunikasi dengan pihak taska atau pengasuh. Minta mereka menghubungi anda segera sekiranya anak tidak dihantar pada waktu yang ditetapkan.
Akhir sekali, biasakan diri untuk sentiasa memeriksa tempat duduk belakang setiap kali mematikan enjin kenderaan. Jadikan ia satu tabiat wajib, bukan pilihan.
Tragedi meninggalkan anak di dalam kenderaan bukan sekadar soal takdir, tetapi dalam banyak keadaan, ia boleh dicegah dengan langkah berjaga-jaga yang konsisten.
Walaupun tidak semua negeri ketika ini berdepan cuaca panas ekstrem seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, risiko tetap wujud pada setiap masa. Suhu persekitaran yang kelihatan “biasa” masih mampu bertukar menjadi ancaman maut dalam ruang tertutup seperti kenderaan.
Jangan tunggu sehingga tragedi berlaku. Jangan sampai suatu hari nanti kita hanya mampu menyesal apabila suara tangisan anak tidak lagi kedengaran.
Kenderaan yang kita pandu hanyalah mesin tanpa belas kasihan. Oleh itu, keselamatan anak mesti menjadi keutamaan mutlak dalam setiap keadaan.
Tiada mesyuarat yang lebih penting daripada nyawa. Tiada urusan yang lebih mendesak daripada keselamatan anak.
Beringatlah sebelum terlambat. Jangan biarkan kenderaan anda menjadi ‘ketuhar bergerak’ yang merampas permata hati anda. Nyawa tiada galang gantinya.
-- BERNAMA
Dr Norhaliza Abu Bakar, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Diploma, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Pagoh, Johor.