NOTA KAMPUS

Menghayati Semangat ASEAN Ke-47 : Peranan Mahasiswa Dalam Membina Masa Depan

06/11/2025 12:01 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Dr Salmiwati Othman

Persidangan Kemuncak ASEAN ke-47 telah mula berlangsung dari 26 – 28 Oktober 2025 dan Malaysia mula menjadi tumpuan dunia.

Alhamdulilah, saya diberikan kesempatan untuk hadir menyaksikan sesi pembukaan persidangan tersebut pada Ahad, 26 Oktober 2025 bersama 22 orang mahasiswa Universiti Teknologi MARA Shah Alam.

Perasaan bangga dan sayangkan negara semakin menebal apabila dapat menyaksikan sendiri Malaysia berupaya melaksanakan persidangan ASEAN ke-47 dengan begitu sistematik, tersusun serta penuh diplomasi.

Kehadiran tetamu kehormat

Kehadiran para pemimpin dunia dari ASEAN antaranya seperti Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan menjadi sorotan publik sudah semestinya kehadiran Perdana Menteri Timor- Leste Kay Rala Xanana Gusmao amat mengujakan.

Kehadiran para pemimpin utama ASEAN ke Malaysia memberikan isyarat bahawa Malaysia terus memainkan peranan penting sebagai sebuah negara yang berpengaruh di rantau Asia Tenggara.

Peranan mahasiswa dalam perkembangan geopolitik global

Keupayaan Malaysia mempengerusikan ASEAN ke-47 telah memberikan gambaran jelas kepada masyarakat dunia tentang kematangan Malaysia dalam hubungan diplomatik serta keupayaan negara menangani isu-isu geopolitik serantau dan global terutama melibatkan negara Thailand dan Kemboja.

Mahasiswa yang berkesempatan hadir ke persidangan kemuncak ASEAN ke-47 dapat menyaksikan termeterainya Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand serta penyertaan negara Timor-Leste sebagai negara anggota ke- 11 ASEAN.

Tidak dinafikan bahawa, ASEAN ke-47 telah memberikan kesan signifikan kepada mahasiswa dalam berperanan sebagai pemerhati kritikal terhadap perubahan geopolitik global.

Mahasiswa harus memahami bagaimana satu konflik boleh tercetus, isu berkaitan perdagangan dan ekonomi serta dasar luar negara yang boleh memberi kesan kepada ASEAN dan Malaysia.

Selain itu, mahasiswa juga berperanan sebagai ejen penyebar kesedaran keamanan serantau dimana mereka perlu menjadi duta kecil negara dalam forum akademik serta konferensi dengan menerbitkan artikel serta penyelidikan berkaitan ASEAN.

Malahan, mahasiswa juga boleh menganjurkan aktiviti kampus berbentuk konvesyen bertemakan kelestarian ASEAN bagi memupuk nilai sepunya serta memperkukuh kepentingan bersama dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Mahasiswa juga berperanan untuk mencorakkan kepimpinan bersifat global yakni mahasiswa itu sendiri perlu meningkatkan keupayaan berfikir aras tinggi serta berfikiran jauh ke hadapan untuk membina negara bangsa.

Mahasiswa perlu berfikiran strategik dengan mengimbangi kepentingan nasional dengan kerjasama antarabangsa.

Mahasiswa juga perlu aktif di universiti dengan berperanan sebagai penyumbang kepada diplomasi rakyat “people -to-people diplomacy” dengan menyertai program pertukaran pelajar antara universiti di ASEAN atau program mobiliti, menganjurkan projek komuniti serantau melibatkan negara anggota ASEAN serta menjalankan penyelidikan bersama yang boleh mengukuhkan jaringan hubungan antara mahasiswa dan ASEAN.

Keperluan pembinaan pemikiran kritikal

Berdasarkan buku “Rethinking Ourselves : Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times” yang baharu diterbitkan oleh Perdana Menteri Malaysia telah menekankan keperluan pembinaan pemikiran kritikal, tanggungjawab moral dan semangat reformasi dalam kalangan generasi muda yang bakal menjadi penerus kepimpinan serantau amat relevan dan signifikan.

Dalam konteks ASEAN ke-47, mahasiswa digalakkan berfikir secara reflektif dan terbuka terhadap isu serantau seperti keamanan, keadilan sosial serta ekonomi.

Dalam kata lain, mahasiswa perlu mengeluarkan idea-idea baharu demi kemajuan rantau Asia Tenggara.

Mahasiswa juga perlu memahami bahawa reformasi sejati adalah bermula daripada reformasi minda dan hati nurani.

Semangat reformasi dalam ASEAN

Mahasiswa perlu berperanan sebagai agen perubahan yang memperjuangkan nilai keadilan, integriti dan kemanusiaan selaras dengan semangat ASEAN yang mementingkan perpaduan dan kesejahteraan bersama.

Dalam ASEAN ke-47, semangat reformasi ini dapat diterjemahkan melalui penglibatan mahasiswa dalam dialog serantau serta kesukarelawan yang boleh menyumbang kepada dasar awam dan kemajuan komuniti.

Kesan ASEAN ke -47 kepada pembangunan kapasiti mahasiswa

Ternyata, ASEAN ke-47 mempunyai kesan sangat positif terhadap pembangunan kapasiti seorang mahasiswa di universiti.

Kesan ASEAN ini dapat membentuk generasi muda yang berdaya saing, pemikiran global dan berjiwa serantau.

Para mahasiswa dapat mempelajari banyak perkara kerana ASEAN ke-47 telah membuka ruang pembelajaran dan penglibatan kepada mahasiswa dalam aspek kepimpinan, ekonomi dan masyarakat.

Antara kesan ASEAN ke -47 ini antaranya meningkatkan kefahaman dan pemantapan mahasiswa terhadap kesedaran serantau dan global. Mahasiswa lebih memhami peranan ASEAN itu sendiri sebagai satu platform kerjasama serta tanggungjawab dalam menghadapi isu global.

Selain itu, mahasiswa dapat mengasah serta meningkatkan kapasiti kepimpinan serta diplomasi melalui forum serta dialog yang dianjurkan bersempena ASEAN ke-47 seperti contoh persidangan iFUTURE 2025 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi melibatkan 1000 orang mahasiswa dari 50 negara yang telah hadir.

iFUTURE 2025 adalah bukti dan usaha kerajaan MADANI dalam melahirkan pemimpin masa hadapan negara. Mahasiswa di universiti dapat menggunakan platform ASEAN ke-47 untuk meluaskan peluang mereka mempelajari kemahiran komunikasi, perundingan serta pengurusan konflik. Ia juga merupakan asas kepada pembinaan kepimpinan beretika serta berfikiran global.

Selain itu, kesan ASEAN ke-47 juga melibatkan pengukuhan identiti dan nilai ASEAN iaitu mahasiswa adalah dididik untuk menghargai nilai sepunya seperti perpaduan, toleransi dan hormat kepada kepelbagaian budaya dan dapat membentuk jati diri serantau yang inklusif.

Malahan, dengan hadir ke persidangan kemuncak ASEAN ke-47 ini, mahasiswa turut dapat meningkatkan kemahiran profesional serta membina rangkaian antarabangsa.

Mahasiswa dan masa hadapan

Dalam era globalisasi dan cabaran geopolitik semasa, seperti perubahan iklim, kemajuan teknologi, dan konflik serantau, mahasiswa perlu memiliki daya tahan “resilience” dan keupayaan beradaptasi.

Apabila mahasiswa berfikir secara matang, bertindak dengan nilai, dan berjiwa global, maka, masa depan ASEAN akan terbentuk sebagai komuniti yang adil, berpengetahuan, dan berperikemanusiaan.

Mahasiswa juga perlu memahami bahawa kemajuan hanya boleh dicapai melalui keamanan dan persefahaman. Dalam konteks kampus, ia bermaksud mengamalkan budaya diskusi ilmiah, bukan konfrontasi serta membanyakkan ruang untuk membina idea dan bukan permusuhan.

Kesimpulannya, mahasiswa adalah pemimpin masa hadapan negara dan sejarah ASEAN bukan sekadar kisah diplomatik, tetapi cermin nilai-nilai yang perlu dihayati oleh mahasiswa masa kini.

Justeru itu, dengan meneladani semangat sidang kemuncak ASEAN ke-57, mahasiswa berupaya dapat membina jati diri sebagai pemimpin masa depan yang berfikir secara global, bertindak secara beretika, dan berjiwa serantau demi kemakmuran Asia Tenggara.

-- BERNAMA

Dr Salmiwati Othman ialah Timbalan Pendaftar Pusat Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UiTM

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)