Kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober 2025 di Kuala Lumpur merupakan mesej tiga serampang yang amat efektif kepada kuasa-kuasa serantau dan juga seteru, terutamanya China.
Pertama, ia menghantar mesej bahawa Amerika Syarikat telah kembali ke rantau ini dan bersedia untuk cegah rintang yang kukuh terhadap China dalam kapasiti ekonomi dan keselamatan.
Kedua, ia menghantar mesej bahawa kebergantungan tidak seimbang rantau ini terhadap Washington yang telah berlarutan selama beberapa dekad ini perlu dihentikan sekarang.
Sekiranya rantau ini masih menginginkan payung keselamatan dan ekonomi Amerika (yang masih diperlukan kini lebih daripada sebelumnya), maka ketidakadilan dalam pendekatan pulangan perdagangan dan keselamatan perlu diperbetulkan.
Ketiga, ia menghantar mesej yang jelas kepada Beijing bahawa era di mana rantau ini telah lama menjadi lubuk pengaruh dan manipulasi ekonomi Beijing telah berakhir. Washington kini kembali untuk melibatkan diri semula dan menebus masa yang hilang, tetapi atas terma Trump sendiri.
Ini adalah detik terbesar bagi rantau ini untuk memperbetulkan kesilapan lepas yang tidak menjadikan Washington sebagai rakan yang adil dan penting. Kini adalah masa untuk akhirnya menunjukkan niat baik dan inisiatif untuk memperdalamkan hubungan berdasarkan timbal balik dan keadilan.
ASEAN Tanpa Trump pada penggal pertama beliau
Ketiadaan Trump dari beberapa sidang kemuncak ASEAN semasa penggal pertamanya telah menimbulkan kebimbangan di rantau ini mengenai berkurangnya minat AS terhadap Asia Tenggara, dan lawatan ini kini dilihat sebagai kelegaan yang amat diperlukan oleh rantau ini bagi mendapatkan mesej jaminan yang telah lama dinantikan daripada Trump sendiri bahawa AS tidak akan berundur dari rantau ini di bawah panji America First.
Rantau ini, walaupun masih terperangkap dalam konsep berkecuali dan centrality, sebenarnya amat menginginkan sepenuhnya kekuatan tawaran ekonomi dan pasaran Amerika serta yang paling penting, payung keselamatan Washington pada masa di mana rantau ini tidak mempunyai keupayaan cegah rintang sendiri yang mencukupi untuk menghindari tindakan agresif China.
Langkah strategik Trump untuk menjadikan Amerika hebat semula akan membawa manfaat ekonomi dan keamanan kepada rantau ini. Sekiranya ekonomi dan kekayaan Amerika kembali ke tahap asalnya, rantau ini dan dunia juga akan menjadi yang pertama untuk meraih manfaat tersebut.
Pendekatan Peace Through Strength (Keamanan Melalui Kekuatan) kini menjadi penyelamat bagi rantau ini, dalam harapan untuk memperbaiki hubungan dengan Washington melalui kesediaan untuk pelarasan tarif bagi memastikan kapasiti teknologi dan pertahanan yang diperlukan dapat diperoleh bagi mengekang Beijing.
Amerika Masih Negara Paling Berkuasa di Dunia
Amerika Syarikat kekal tiada tandingan, walaupun dengan kehadiran China dalam perbandingan.
Washington membelanjakan hampir USD1 trilion, sekitar USD997 bilion untuk pertahanan pada tahun 2024, satu jumlah terbesar di dunia, lebih tinggi daripada sembilan negara seterusnya jika digabungkan. Perbelanjaan ketenteraan China pada tahun 2024 dianggarkan sekitar USD314 bilion, hanya kira-kira satu pertiga daripada perbelanjaan AS.
KDNK nominal AS pada 2024 berjumlah kira-kira USD29.2 trilion, manakala China sekitar USD18.9 trilion, memberikan AS kelebihan jelas dari segi saiz ekonomi keseluruhan (unjuran bahawa China akan mengatasi AS tidak pernah menjadi kenyataan).
Dalam bidang teknologi dan inovasi, AS terus mendahului dalam teknologi kritikal utama - kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, kuantum, dan bioteknologi. Keupayaan inovasi China dianggarkan hanya sekitar 75% daripada tahap AS dalam industri maju.
Kehadiran Trump di ASEAN kini merupakan penetapan semula strategik untuk mengekang China dan pada masa yang sama mendapatkan sokongan serantau bagi mengukuhkan pencapaian Amerika.
Perdagangan, Ekonomi dan Sumber Kritikal
Asia Tenggara amat penting dalam agenda penggal kedua Trump, baik sebagai rakan ekonomi mahupun sebagai arena strategik dalam persaingan AS-China. Dari segi ekonomi, rantau ini ialah kuasa besar yang diperlukan AS sebagai sokongan ekonomi pelengkap.
Sesiapa yang memenangi sokongan ekonomi Asia Tenggara akan memperoleh kelebihan besar. Trump jelas berhasrat agar AS bersaing dan menang dalam pasaran ini dengan menawarkan alternatif kepada dominasi China.
Malaysia juga kaya dengan mineral kritikal, terutamanya unsur nadir bumi, serta sumber seperti getah dan minyak sawit, dan mempunyai asas pembuatan berteknologi tinggi serta sektor elektrik dan elektronik yang kukuh, yang memenuhi permintaan penting pasaran Amerika.
Syarikat-syarikat Amerika mempunyai kepentingan besar dalam sektor teknologi dan tenaga Malaysia, dan firma-firma AS merupakan sumber utama pelaburan pembuatan berteknologi tinggi di negara ini.
Hubungan penting ini menjadi asas kepada hubungan Washington-Kuala Lumpur yang sentiasa relevan, terutamanya dalam perkongsian pertahanan di mana Malaysia sentiasa memerlukan sokongan dan jaminan pertahanan daripada Washington, khususnya dalam mempertahankan kepentingan kita di Laut China Selatan.
Asia Tenggara memiliki simpanan semula jadi besar bagi beberapa mineral kritikal utama. Indonesia sahaja mempunyai kira-kira 22% daripada simpanan nikel dunia, manakala Vietnam mengandungi sekitar 18% unsur nadir bumi global. Malaysia sendiri mempunyai dianggarkan 16.1 juta tan metrik simpanan nadir bumi.
Dengan memperdalamkan hubungan dengan negara-negara Asia Tenggara, AS dapat memastikan akses pelbagai sumber mineral kritikal, sekaligus menambah momentum kepada perjanjian nadir bumi dengan Australia.
Mencegah Tindakan dan Pengaruh China
Dari segi strategik dan ketenteraan, Asia Tenggara ialah jantung geografi Indo-Pasifik dan barisan hadapan dalam pertarungan dengan China.
Tuntutan “nine dash line” Beijing merangkumi 90 peratus Laut China Selatan, mencabar undang-undang antarabangsa serta keselamatan negara-negara Asia Tenggara, dan mengancam rantaian bekalan serta daya tahan ekonomi Washington dalam kestabilan maritim dan keselamatan.
Rondaan tentera laut Amerika dan perkongsian pertahanan menyediakan payung keselamatan yang membantu mencegah pencerobohan China di perair
Kehadiran nyata AS di medan ini mengembalikan keseimbangan dan menghalang langkah unilateral China.
Kemerosotan kehadiran AS sebelum ini meletakkan autonomi rantau ini dalam bahaya, dan penglibatan semula Trump merupakan strategi tepat.
Yang paling penting, pendekatan Trump dilihat sebagai langkah menangkis kecenderungan rantau ini ke arah China. Dalam dekad sebelumnya, ramai pemain serantau mengalu-alukan pelaburan dan projek infrastruktur China di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), tetapi pendekatan ini mengancam kepentingan kedaulatan serantau.
Pengalaman dengan tindakan China ini telah memberikan kesedaran bahawa kebergantungan berlebihan kepada Beijing adalah kesilapan yang mesti diimbangi dengan hubungan kukuh bersama Washington.
Trump akan mahu mempamerkan perjanjian yang memberi manfaat kepada perniagaan Amerika dan pertumbuhan Asia Tenggara, membuktikan bahawa AS sentiasa menjadi ekonomi terbesar dunia dan pasaran paling penting.
Pelaburan dalam infrastruktur atau kerjasama teknologi, keselamatan sumber kritikal dan rantaian bekalan, serta peluasan pilihan sandaran dalam sektor-sektor ini akan menjadi bukti kekuatan ekonomi Amerika yang dapat memberi manfaat langsung kepada ekonomi rantau ini sambil mengekalkan bekalan bahan penting bagi AS.
Rancangan sebegini akan menjadi mantra menang-menang: Asia Tenggara dapat membangunkan sektor sumbernya dengan pelaburan AS, dan AS pula mengurangkan kebergantungan terhadap China bagi bahan mentah.
Negara-negara Asia Tenggara memerlukan pasaran, teknologi dan modal AS untuk mengembangkan ekonomi mereka secara bebas, dan bergantung kepada kekuatan tentera laut AS untuk mengekalkan keamanan serantau.
Trump Mampu Mengekalkan Keamanan dan Mencegah Konflik
Aspek paling penting ialah jaminan pertahanan dan keselamatan yang kukuh. Keselamatan akan menjadi tema utama dalam lawatan ini.
Trump dijangka mengukuhkan kerjasama pertahanan dan komitmen dengan negara-negara ASEAN. Matlamat utama ialah menghalang pencerobohan di Laut China Selatan.
Trump membawa jaminan ekonomi dan keselamatan serta kemampuan untuk mencegah konflik
Beijing telah lama menganggap Asia Tenggara sebagai jaminan pengaruh dan cengkaman mudah, dan dari perspektif Washington, jika rantau ini dapat bebas daripada cengkaman Beijing dan sejajar dengan sistem berasaskan peraturan, maka China akan gagal mencapai hegemoni serantau.
Taruhannya amat besar, yang melibatkan kawalan terhadap laluan laut kritikal, akses kepada pasaran 680 juta orang penduduk, serta dominasi dalam industri berteknologi tinggi. Bagi Amerika Syarikat, mengekalkan pengaruh di rantau ini adalah soal mempertahankan nadi geografi Indo-Pasifik.
Sekiranya Amerika mengundur diri, pengaruh China akan berkembang; tetapi jika Amerika kembali terlibat, maka ia merupakan langkah checkmate terhadap cita-cita Beijing untuk mengekang AS.
Penyertaan Trump dalam Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Malaysia mewakili penjajaran semula besar dasar AS terhadap Asia Tenggara.
Ia menetapkan pemahaman baharu dan membetulkan persepsi pengabaian AS sebelum ini, sambil menegaskan bahawa Amerika kini bersedia untuk memimpin semula di bahagian dunia yang benar-benar penting ini.
Dengan membina semula kepercayaan dan hubungan di Asia Tenggara, Trump sedang meletakkan asas bagi satu pakatan yang diterajui Amerika untuk mengekang peluasan China sambil mempromosikan kemakmuran bersama.
Malaysia dan jirannya akan memperoleh manfaat daripada pelaburan dan kerjasama ketenteraan AS, manakala AS pula akan memperoleh rakan kongsi setia dan akses kepada sumber penting.
Ia menghantar mesej kritikal ke seluruh Asia: bahawa kepimpinan Amerika telah kembali di bawah Trump, dan masa depan Indo-Pasifik tidak akan diukir oleh Beijing tetapi oleh kekuatan peribadi dan pendekatan unik Trump yang amat diperlukan oleh rantau ini dan dunia untuk mengekalkan keamanan serta mencegah konflik.
Amerika yang lebih makmur secara ekonomi akan membawa kemakmuran kepada rantau kita, dan Amerika yang kembali hebat di bawah Trump akan bermakna peperangan dapat dielakkan serta keamanan dan kestabilan di seluruh dunia dan rantau ini dapat dikekalkan, melalui prinsip Peace Through Strength.
Selamat datang ke Malaysia dan rantau ini, Presiden Donald J. Trump.
-- BERNAMA
Collins Chong Yew Keat ialah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaya.