TINTA MINDA

Smart Lane: Wajah Inovasi Yang Sarat Paradoks

06/11/2025 02:18 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Prof Madya Ts Ir Dr Nur Izzi Md Yusoff dan Ts Dr Faridah Hanim Khairuddin

Dalam usaha Malaysia menuju ke arah sistem pengangkutan yang lebih moden, efisien dan selamat, pelbagai inisiatif berasaskan teknologi mula diperkenalkan di lebuh raya.

Satu daripadanya ialah konsep smart lane atau lorong pintar yang telah semakin mendapat perhatian ramai.

Inisiatif ini dianggap sebahagian daripada agenda transformasi ke arah lebuh raya pintar yang mampu meningkatkan kecekapan aliran trafik dan keselamatan pengguna.

Namun begitu, di sebalik visi yang kelihatan progresif ini, timbul juga kebimbangan tentang keberkesanannya dari segi pelaksanaan dan tahap kesediaan pengguna jalan raya di negara kita.

Persoalannya, adakah smart lane benar-benar satu wawasan pintar atau berpotensi menjadi perangkap maut di lebuh raya?

Secara asasnya, smart lane merujuk kepada lorong khas yang dikawal secara automatik dengan bantuan teknologi seperti penderia (sensor), kamera pintar dan sistem komunikasi digital.

Sistem ini mampu mengesan corak trafik dan menyesuaikan penggunaan lorong berdasarkan keadaan semasa. Contohnya semasa waktu puncak, sistem boleh membuka lorong tambahan, termasuklah menggunakan bahu jalan bagi menampung jumlah kenderaan yang tinggi.

Sebaik sahaja trafik kembali lancar, lorong itu akan ditutup semula. Dalam sistem yang lebih maju, smart lane juga boleh memberi amaran kepada pengguna mengenai kemalangan, hujan lebat atau halangan di hadapan melalui paparan elektronik dan aplikasi navigasi masa nyata.

Dalam kata lain, smart lane direka untuk menjadikan lebuh raya lebih “hidup” dan responsif terhadap keadaan trafik semasa.

Bukan sesuatu yang baharu

Konsep ini sebenarnya bukan sesuatu yang baharu kerana negara-negara maju seperti Korea Selatan, Jepun dan United Kingdom telah lama mengaplikasikan sistem lebuh raya pintar bagi menguruskan kesesakan dengan lebih efisien.

Negara kita juga tidak ketinggalan dan cuba menyesuaikan pendekatan tersebut melalui kerjasama antara PLUS Malaysia Berhad, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya (KKR).

Inisiatif ini dilihat seiring dengan matlamat nasional untuk membangunkan mobiliti pintar dan mampan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.

Sasaran pengurangan kesesakan sehingga 40 peratus

Baru-baru ini, Berita Harian melaporkan bahawa pengendali lebuh raya menyasarkan pengurangan kesesakan antara 30 hingga 40 peratus di kawasan pelaksanaan smart lane.

Kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pula menunjukkan lebih 70 peratus pengguna yang pernah mencuba lorong pintar ini bersetuju ia berkesan melancarkan aliran trafik.

Hasil dapatan positif ini menjadi pemangkin kepada usaha memperluas pelaksanaan smart lane ke seluruh negara sebagai satu langkah ke arah sistem lebuh raya yang lebih cekap dan responsif.

Smart lane berpotensi dari sudut kejuruteraan

Pelaksanaan smart lane sebenarnya sangat berpotensi dari perspektif kejuruteraan.

Ia bukan sahaja boleh membantu mengurangkan masa perjalanan dan kesesakan lalu lintas, malah ianya berupaya menurunkan kadar pelepasan karbon kerana kenderaan tidak perlu berhenti dan memperlahankan kelajuan secara mendadak.

Sistem ini juga berpotensi meningkatkan tahap keselamatan melalui pengawasan digital berterusan serta amaran automatik sekiranya berlaku insiden di lebuh raya.

Jika dilaksanakan dengan rapi, smart lane boleh menjadi simbol kepada inovasi hijau dan mobiliti moden yang menyeimbangkan antara kecekapan, keselamatan dan kelestarian alam sekitar.

Cabaran smart lane - sumber bahaya

Namun begitu, cabaran terbesar sebenarnya adalah terletak kepada pengguna lebuh raya itu sendiri.

Pengalaman di beberapa buah negara menunjukkan bahawa smart lane boleh menjadi sumber bahaya jika pengguna tidak memahami sistem dengan betul. Contohnya, perubahan isyarat digital di papan tanda elektronik boleh menyebabkan kekeliruan.

Ada pemandu yang memperlahankan kenderaan secara mengejut apabila melihat tanda “lorong dibuka”, manakala yang lain pula menukar lorong secara tergesa-gesa tanpa memberi isyarat.

Natijahnya, keadaan seperti ini berpotensi untuk meningkatkan risiko pelanggaran dari belakang, terutamanya pada waktu malam atau ketika cuaca buruk.

Tambahan pula, tahap kesedaran dan kefahaman pengguna terhadap sistem smart lane di Malaysia masih rendah.

Tidak semua pemandu terbiasa dengan paparan simbol atau mesej dinamik di papan tanda elektronik. Tanpa kempen penerangan dan pendidikan pengguna jalan raya yang berkesan dan berterusan, smart lane berisiko menjadi sistem yang hanya difahami oleh segelintir pengguna sahaja.

Perlu pendidikan dan komunikasi awam

Dalam konteks ini, pendidikan dan komunikasi awam memainkan peranan penting. Pihak berkuasa perlu memastikan setiap pemandu memahami cara sistem ini berfungsi dan peraturan yang perlu dipatuhi ketika menggunakan lorong tersebut.

Pengaktifan smart lane turut menimbulkan persaingan berisiko antara kereta dan motosikal dalam satu koridor sempit yang berbahaya. Fungsi mutlak lorong kecemasan sebagai talian hayat di lebuh raya “dihapuskan” secara tiba-tiba.

Lorong kecemasan adalah zon penampan keselamatan, kawasan perlindungan penting bagi kenderaan yang mengalami kerosakan serta laluan kritikal untuk jentera penyelamat ketika berlaku kecemasan.

Bayangkan apabila sebuah kereta mengalami kerosakan tayar atau enjin di tengah-tengah laluan smart lane yang sedang aktif dan pemandu tidak lagi mempunyai tempat selamat untuk berhenti.

Dalam sekelip mata, kenderaan itu boleh berubah menjadi halangan pegun di tengah arus trafik yang laju, sekali gus meningkatkan lagi risiko untuk berlakunya kemalangan.

Selain aspek tingkah laku pengguna, ketidaksediaan infrastruktur juga menjadi faktor utama yang boleh menjejaskan keberkesanan sistem ini.

Smart lane memerlukan integrasi data masa nyata antara kamera, papan tanda elektronik dan pusat kawalan trafik. Jika mana-mana komponen gagal berfungsi, maklumat kepada pengguna boleh menjadi tidak tepat atau bercanggah.

Sebagai contoh, papan tanda yang gagal dikemas kini boleh menyebabkan pemandu terus menggunakan lorong yang sepatutnya ditutup dan seterusnya meningkatkan risiko berlakunya kemalangan.

Oleh itu, aspek penyelenggaraan dan kebolehpercayaan sistem perlu diberikan keutamaan yang tinggi sebelum pelaksanaan penuh dilakukan.

Perlu patuhi prosedur ketat

Dari sudut kejuruteraan jalan pula, pelaksanaan smart lane perlu mematuhi prosedur keselamatan ketat seperti Audit Keselamatan Jalan (RSA) dan Penilaian Impak Trafik (TIA).

Ini termasuk kajian terhadap jarak kenderaan membrek, titik konflik antara lorong dan reka bentuk penanda jalan serta papan tanda khas.

Semua aspek ini mesti selaras dengan piawaian yang digariskan dalam Arahan Teknik (Jalan) oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan garis panduan keselamatan lebuh raya oleh pihak LLM. Tanpa reka bentuk yang jelas dan konsisten, tentunya pengguna akan mudah keliru dengan perubahan lorong yang bersifat dinamik.

Bergantung kepada sistem digital

Selain itu, keberkesanan smart lane juga bergantung kepada sistem penguatkuasaan digital yang mantap.

Kamera pengesanan nombor pendaftaran automatik (ANPR) dan pusat kawalan trafik bersepadu perlu beroperasi 24 jam bagi memantau pematuhan pengguna terhadap peraturan smart lane.

Tanpa pengawasan yang tegas, ada kemungkinan lorong ini disalahgunakan oleh pemandu yang tidak bertanggungjawab, seperti yang pernah berlaku di beberapa lebuh raya luar negara.

Dalam hal ini, teknologi harus digandingkan dengan undang-undang serta disiplin pengguna agar keselamatan dapat dijamin sepenuhnya. Maklumat dan informasi awal serta tepat mestilah sampai kepada pengguna yang akan menggunakan smart lane ini.

Akhirnya, keberhasilan smart lane tidak hanya bergantung kepada sejauh mana canggihnya sistem tersebut, tetapi juga kepada sejauh mana pemandu itu sendiri mampu menjadi pengguna yang “pintar”.

Teknologi hanyalah sebagai satu wadah atau alat sahaja, yang menentukan keselamatan adalah manusia itu sendiri.

Oleh itu, pelaksanaan smart lane perlu diiringi dengan kempen kesedaran berskala besar, latihan kepada pemandu profesional, serta kajian impak pasca pelaksanaan bagi mengenal pasti keberkesanan dan penambahbaikan yang diperlukan.

-- BERNAMA

Prof Madya Ts Ir Dr Nur Izzi Md Yusoff ialah Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala Ts Dr Faridah Hanim Khairuddin, ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)