Malaysia sekali lagi mencatat sejarah membanggakan di arena kepengakapan antarabangsa.
Pemilihan Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Datuk Profesor Dr Mohd. Zin Bidin, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengakap Serantau Asia-Pasifik (APR) pada Persidangan Pengakap Asia-Pasifik ke-28 di Kaohsiung, Taiwan menandakan detik bermakna bagi negara.
Senarai Ahli Jawatankuasa baharu yang dibentuk pada 16 Oktober lalu itu turut disertai oleh Dr Yang Yung-Chin dari Pengakap China sebagai Naib Pengerusi Pertama, Dev Raj Ghimere dari Nepal sebagai Naib Pengerusi Kedua, Aishath Ahlam (Maldives), Simon Rhee Hang Bock (Korea), Nikketah Jayde Cuneo (Australia), Brata Tryana Hardjosubroto (Indonesia), Dr. Wilson Wai-Sang Lai (Hong Kong), Mir Mahbubur Rahman (Bangladesh) dan Atty. Cedrick Gayona Train (Filipina).
Pemilihan ini merupakan satu pencapaian besar dalam sumbangan jangka panjang Malaysia kepada pergerakan belia terbesar di dunia, iaitu Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (World Organisation of the Scout Movement – WOSM), yang kini menghimpunkan lebih 60 juta ahli dari 176 Pertubuhan Pengakap Kebangsaan (NSO) di seluruh dunia, termasuk lebih 37 juta ahli di rantau Asia-Pasifik.
Dengan tanggungjawab baharu ini, Malaysia kini berpeluang memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju Pengakap di rantau ini, berteraskan inovasi, keterangkuman, kelestarian serta pemerkasaan golongan muda sebagai pemimpin masa depan.
Pengiktirafan terhadap Komitmen Malaysia kepada Belia dan Komuniti
Selama beberapa dekad, Malaysia aktif memupuk kepimpinan belia dan khidmat masyarakat melalui aktiviti Pengakap.
Pemilihan Dr Mohd. Zin sebagai pengerusi Pengakap APR bukan sahaja satu penghormatan peribadi kepada beliau, tetapi merupakan pengiktirafan terhadap peranan Malaysia sebagai pendokong utama dalam pembangunan dan pendidikan belia.
Rantau Asia-Pasifik merupakan nadi kepada pergerakan Pengakap sedunia yang merangkumi pelbagai bangsa, budaya dan bahasa.
Pemilihan Malaysia untuk memimpin rantau ini mencerminkan kepercayaan dan keyakinan negara-negara anggota terhadap keupayaan negara untuk menyatukan, membimbing dan menginspirasi generasi muda.
Kejayaan ini turut memperlihatkan komitmen Malaysia dalam melahirkan golongan muda yang bukan sahaja berdisiplin dan berilmu, tetapi juga mempunyai semangat kepimpinan, empati dan tanggungjawab sosial yang tinggi.
Malaysia percaya bahawa golongan muda mesti kekal sebagai teras kepada pertumbuhan dan transformasi pergerakan Pengakap.
Visi ini bukan sekadar melibatkan penyertaan belia, tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk menjadi rakan kongsi dan pembuat keputusan dalam menentukan hala tuju masa depan pergerakan ini.
Di bawah kepimpinan Malaysia, rantau Asia-Pasifik akan:
1. Memperkukuh penyertaan belia dalam struktur kepimpinan dan proses membuat keputusan.
2. Menggalakkan inisiatif yang diketuai oleh belia dalam isu-isu penting seperti perubahan iklim, inovasi digital dan keterangkuman sosial.
3. Menjamin peluang saksama kepada semua ahli Pengakap tanpa mengira latar belakang, jantina atau keupayaan.
Dengan memberikan platform kepada golongan muda untuk memimpin, Malaysia berhasrat membentuk generasi Pengakap yang berkeyakinan, kreatif dan berjiwa masyarakat, serta mampu memberi impak positif pada peringkat tempatan dan antarabangsa.
Mengutamakan Inovasi, Kelestarian dan Perpaduan
Pergerakan Pengakap sentiasa berpegang kepada prinsip ‘belajar sambil melakukan’, iaitu mempelajari kemahiran melalui aktiviti praktikal dan pengalaman langsung, bukan hanya daripada teori.
Prinsip ini diasaskan oleh Lord Robert Baden-Powell yang menggabungkan pengalaman peperangan dan perkhemahan pengakap untuk mencipta satu cara pembelajaran yang lebih menarik dan berkesan.
Kemahiran berasaskan prinsip tersebut berjaya melahirkan ahli pengakap berjiwa murni yang dilahirkan melalui khidmat dan kepimpinan.
Malaysia ingin memperkukuh prinsip ini dengan menyesuaikannya mengikut keperluan abad ke-21 melalui penekanan kepada inovasi, kesedaran alam sekitar dan kemahiran digital.
Antara tumpuan utama Malaysia ialah:
1. Kelestarian alam sekitar: Memperkukuh program seperti Pengakap Cinta Suria (Scouts Go Solar), Suku Bumi (Earth Tribe) dan Utusan Kemanan (Messengers of Peace) yang memberi peluang kepada belia mengetuai projek tenaga boleh diperbaharui, pengurangan sisa dan pemuliharaan biodiversiti.
2. Celik digital: Memperluas program STEM, bengkel pengaturcaraan (coding) dan platform pembelajaran dalam talian bagi memperkasakan kemahiran digital.
3. Keterangkuman sosial: Memastikan semua belia, termasuk komuniti luar bandar atau golongan orang kurang upaya, mendapat akses penuh kepada aktiviti Pengakap.
Usaha-usaha ini akan memastikan Pengakap kekal relevan dan berdaya tahan, sambil terus melahirkan warganegara global yang bertanggungjawab dan prihatin.
Memperkukuh Hubungan Serantau Asia-Pasifik
Visi kepimpinan Malaysia juga menumpukan kepada kerjasama dan perpaduan serantau. Dengan 28 NSO di rantau Asia-Pasifik, kepelbagaian ini merupakan kekuatan yang harus diraikan.
Malaysia berhasrat memperkukuh hubungan antara negara anggota melalui:
* Forum serantau dan akademi kepimpinan bagi berkongsi ilmu dan pengalaman.
* Projek rentas sempadan serta jambori serantau yang meraikan kepelbagaian budaya dan mempererat persahabatan.
* Inisiatif bersama dalam bidang kelestarian, pemerkasaan belia dan pendidikan keamanan.
Berpegang kepada semangat ‘Satu Rantau, Satu Keluarga’, Malaysia mahu menjadikan Asia-Pasifik sebagai rantau yang bersatu, inklusif dan berdaya tahan.
Untuk melahirkan pemimpin masa depan, Malaysia akan menubuhkan Rangkaian Kepimpinan Belia Serantau, yang akan menghubungkan Pengakap muda di seluruh rantau bagi berkongsi idea dan inovasi.
Program bimbingan kepimpinan (mentorship) juga akan dilaksanakan bagi membolehkan pemimpin berpengalaman membimbing generasi baharu.
Mengorak Langkah ke Arah Inovasi Digital
Dalam dunia serba pantas ini, pergerakan Pengakap juga perlu berevolusi. Malaysia melihat teknologi dan inovasi sebagai tunjang kepada arah baharu Pengakap Asia-Pasifik.
Teknologi bukan sahaja alat komunikasi, tetapi juga pemangkin kepada pembelajaran, kerjasama dan pengukuran impak. Antara perancangan utama ialah:
* Memperkembangkan platform Pengakap digital bagi menghubungkan ahli di seluruh rantau.
* Menyediakan modul pembelajaran maya dalam bidang kepimpinan, kelestarian dan kewarganegaraan digital.
* Menggunakan data dan analisis impak untuk menambah baik pelaksanaan program.
Namun, inovasi bukan hanya tentang peralatan atau teknologi baharu. Inovasi turut menekankan pemikiran kreatif, penyelesaian masalah, dan menyesuaikan diri dengan cabaran.
Dengan semangat ini, Malaysia mahu melahirkan Pengakap yang bersedia menjadi pencetus perubahan pada era digital.
Memperkukuh Kerjasama Strategik
Malaysia turut menekankan pentingnya kerjasama pelbagai sektor termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.
Dengan menyelaraskan inisiatif Pengakap kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia berhasrat memperluas impak khidmat masyarakat dan pembangunan komuniti.
Melalui program bersama dalam bidang pendidikan, isu perubahan iklim, dan peluang pekerjaan untuk belia, pergerakan Pengakap akan terus menyumbang kepada pembangunan negara sambil memupuk semangat kewarganegaraan global.
Kerjasama ini juga akan membuka ruang kepada sumber baharu, kepakaran teknikal dan latihan bagi meningkatkan kualiti kepimpinan serta keberkesanan program.
Peranan Asia-Pasifik dalam Pergerakan Pengakap Sedunia
Malaysia membayangkan rantau Asia-Pasifik sebagai pemacu utama dalam memperkukuh misi global WOSM untuk ‘Mencipta Dunia yang Lebih Baik’.
Dengan jumlah keahlian terbesar dan kepelbagaian budaya yang luas, rantau ini mempunyai potensi besar untuk memimpin melalui teladan. Antara tumpuan utama termasuk:
* Pendidikan keamanan dan persefahaman antara budaya.
* Tindakan terhadap perubahan iklim dan kelestarian alam.
* Transformasi digital dalam program Pengakap.
* Ketahanan komuniti melalui khidmat sukarela.
Dengan menyelaraskan keutamaan serantau kepada strategi global WOSM, Malaysia mahu memastikan setiap program dan perkongsian memberi sumbangan yang bermakna kepada SDG.
Malaysia yakin bahawa rantau Asia-Pasifik bukan sekadar penyumbang kepada pergerakan global, tetapi pembentuk masa depan Pengakap dunia dengan para belia menjadi pemimpin inovatif, pencetus keamanan dan ejen perubahan masyarakat.
Melabur dalam Belia, Melabur untuk Masa Depan
Kepimpinan Malaysia dalam pergerakan Pengakap Asia-Pasifik menekankan satu keyakinan asas, iaitu, apabila kita melabur dalam inisiatif pembangunan belia, kita sebenarnya melabur untuk masa depan yang lebih baik, maju dan penuh kejayaan.
Dengan berpegang kepada nilai perpaduan, inovasi dan kelestarian, Malaysia berharap dapat menginspirasi jutaan Pengakap untuk terus berbakti dan membawa perubahan positif kepada masyarakat.
Sebagai Pengerusi baharu, Dr Mohd. Zin bertekad untuk memimpin gerakan ini ke arah masa depan yang menyediakan peluang kepada setiap belia untuk belajar, memimpin dan berkhidmat, serta membina dunia yang lebih aman dan sejahtera untuk semua.
-- BERNAMA
Mohamad Letfee Ahmad ialah Pesuruhjaya Komunikasi Korporat dan Perhubungan Strategik, Persekutuan Pengakap Malaysia.