TINTA MINDA

Kedatangan Trump Buka Ruang Signifikan Suarakan Isu Palestin

03/10/2025 11:53 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Senator Dr. Zulkifli Hasan

Keputusan Malaysia menerusi ASEAN untuk menjemput Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menimbulkan beberapa persoalan. Ada yang menyokong dan ramai juga yang membantah berikutan perkembangan isu Palestin.

Perkara ini perlu diteliti secara rasional dan berhikmah mengambil kira semua faktor dan wajar diberi diberikan pertimbangan secara adil. Walau apapun, pendirian Malaysia mengenai Palestin adalah sentiasa konsisten.

YAB Perdana Menteri dengan lantang telah bersuara membangkitkan isu ini di pelbagai forum antarabangsa dan semasa pertemuan dengan pemimpin dunia serta meneruskan bermacam usaha dan bantuan sedayanya.

Bahkan, YAB Perdana Menteri merupakan satu-satunya pemimpin dunia yang menjadi penaung Misi Sumud Flotilla Nusantara ke Gaza.

Bantahan Kedatangan Presiden Trump

Kehadiran Presiden Trump ke Malaysia menimbulkan ketidakpuashatian ramai pihak.

Ada yang mencadangkan agar kerajaan membatalkan jemputan kepada Presiden Trump bagi menunjukkan ketegasan moral Malaysia dalam membantah jenayah kemanusiaan yang dilakukan Israel.

Amerika Syarikat dilihat terus meredhai kezaliman ini dengan membekalkan bantuan kewangan, senjata dan ketenteraan kepada Israel serta melindungi kepentingan Israel di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sememangnya rakyat Malaysia mempunyai hak untuk menyuarakan ketidakpuasan hati dan membantah kedatangan Presiden Trump. Ramai yang berpandangan bahawa Amerika Syarikat tidak berbuat apa-apa bahkan dilihat melindungi jenayah antarabangsa yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin.

Tindakan Amerika Syarikat yang berterusan menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB bagi melindungi kepentingan Israel juga menambahkan lagi sentimen untuk menyekat kedatangan Presiden Trump ke Kuala Lumpur.

Kedatangan sebagai Tetamu Negara dan ASEAN

Hubungan antarabangsa memerlukan pertimbangan dan pendekatan yang bijak dan diplomatik. Pengesahan kehadiran Presiden Donald Trump ke Malaysia bersempena Sidang Kemuncak ASEAN dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap Malaysia dalam diplomasi antarabangsa.

Keputusan Presiden Trump dan juga pemimpin besar dunia yang lain untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN adalah satu kejayaan besar bagi Malaysia selaku Pengerusi. Presiden Trump kali ini bukan hanya datang sebagai tetamu negara tetapi juga ASEAN.

Lebih utama, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini bukannya hendak membincangkan isu Palestin tetapi menjurus mengenai ASEAN secara khusus seperti kepentingan ekonomi, teknologi, Laut China Selatan, perdagangan dan keselamatan serantau.

Sebagai felo Fulbright US-ASEAN, penulis begitu memahami betapa pentingnya hubungan US-ASEAN ini diberikan perhatian kerana ia adalah sangat strategik. Dalam masa yang sama, Sidang Kemuncak ini juga secara tidak langsung boleh membuka ruang kepada Malaysia dan ASEAN untuk menyuarakan isu Palestin.

Kedatangan pemimpin dunia seperti Presiden Trump dan sebelum ini Presiden Xi Jinping ke Kuala Lumpur memberi isyarat yang sangat baik di mana Malaysia dilihat sebagai negara yang stabil, selamat dan berpengaruh dalam geopolitik semasa.

Ia membina persepsi positif terhadap daya saing dan daya tarikan negara di mata pelabur antarabangsa dan masyarakat dunia.

Mahu tidak mahu, kita mesti mengakui bahawa Amerika Syarikat masih antara pasaran eksport terbesar bagi Malaysia dan juga ASEAN. Amerika Syarikat merupakan rakan perdagangan yang penting dan pelabur utama kepada Malaysia dan ASEAN yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Pentas diplomatik menerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini dijangka mampu mengukuhkan soft power dan imej Malaysia yang berpengaruh di pentas antarabangsa.

Siyasah Dawliyah dan Maqasid al-Amn

Secara asasnya, al-Quran menekankan prinsip keadilan dalam setiap urusan termasuklah dalam aspek hubungan antarabangsa. Allah SWT berfirman dalam al-Quran:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Ma’idah ayat 8)

Ayat ini menegaskan bahawa keadilan mesti ditegakkan walaupun terdapat konflik atau perbezaan pendirian. Bukan itu sahaja, Allah SWT memperingatkan kita semua untuk berlaku adil hatta kepada musuh atau orang yang tidak kita sukai. Keadilan itu adalah bersifat sejagat dan ia mesti dilaksanakan kepada sesiapa sahaja tidak mengenal bangsa, warna kulit, kaum termasuk agama. Ini juga termasuk dalam kes kedatangan Presiden Trump ke Malaysia.

Dalam hal ini adalah amat penting untuk memahami dan meneliti Siyasah Dawliyah atau hubungan antarabangsa. Siyasah Dawliyah ini mencakupi strategi, tindakan, dasar, polisi dan lain-lain oleh sesebuah negara dalam hubungannya dengan negara-negara luar sama ada di peringkat serantau dan global.

Siyasah Dawliyah ini juga menekankan aspek perjanjian antarabangsa sebagai asas kepada hubungan antarabangsa termasuk peranan dalam organisasi peringkat serantau dan global seperti ASEAN, OIC dan PBB.

Berbeza dengan Israel di mana Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak mempunyai hubungan diplomatik, Amerika Syarikat mempunyai hubungan yang baik dengan Malaysia malahan merupakan antara rakan dagang utama dan terbesar.

Dalam konteks hubungan antarabangsa, Malaysia menerima kedatangan Presiden Trump bukan kerana bersetuju atau tunduk kepadanya tetapi ia membuka ruang dan peluang berunding secara bersemuka mengenai banyak perkara.

Bukan sahaja melibatkan ekonomi, keselamatan dan perdagangan tetapi juga memberikan satu platform yang signfikan untuk menyuarakan pendirian kita bagi usaha-usaha menghentikan genosid di Palestin dan mempertimbang semula sokongan Amerika terhadap Israel dalam isu ini.

Ini juga selari dengan prinsip dakwah yang menuntut kita untuk berusaha sedayanya dengan penuh hikmah. Ini ditegaskan dalam al-Quran dengan firman Allah SWT:

Maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik…” (al-Nahl ayat 125).

Selain itu, maqasid al-amn atau maqasid keamanan juga sangat penting diberikan perhatian. Syeikh Ahmad al-Raisuni dalam Maqsad al-Salam fi Syariat al-Islam menyatakan bahawa antara objektif terpenting Islam ialah memadamkan api peperangan dan permusuhan serta menyebarkan keamanan sama ada di peringkat individu, masyarakat dan negara.

Dalam perkara ini, Malaysia dan ASEAN berpeluang memainkan peranan sebagai pemudah cara atau pemain penting membawa suara masyarakat antarabangsa kepada Presiden Trump dan pemimpin dunia lain bagi menghentikan peperangan dan genosid serta mewujudkan keamanan.

Harus diingat, menerima kunjungan Presiden Trump bukan bermaksud merestui dasar luar Amerika Syarikat atau menyokong jenayah dilakukan Israel tetapi memanfaatkan platform diplomatik untuk kebaikan ASEAN dan Malaysia sama ada dari sudut ekonomi, perdagangan, pendidikan dan keselamatan termasuk usaha-usaha keamanan global.

Antara Menyekat dan Menerima Kedatangan Presiden Trump

Adalah amat penting untuk diteliti keberangkalian atau simulasi yang akan berlaku dalam dua situasi sama ada menerima atau menyekat kedatangan Presiden Trump ke Malaysia.

Pertimbangan yang menyeluruh, mengambil kira semua faktor, kesan, implikasi dan menyeimbangkan antara maslahah dan mafsadah adalah sesuatu yang perlu dilakukan dengan penuh berhikmah.

Kedatangan Presiden Trump ini melibatkan hubungan antarabangsa serta boleh menjadi penanda aras terbaik kepada peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN yang efektif.

Situasi pertama merujuk sekiranya Malaysia menyekat kehadiran Presiden Trump kerana bertegas dengan pendirian menentang kekejaman Israel. Dalam konteks ini, Malaysia dan ASEAN tidak akan dapat apa-apa malahan terlepas peluang untuk memperkukuhkan ekonomi, perdagangan dan keselamatan.

Malahan, kita juga akan mempersiakan peluang di depan mata untuk bersemuka dengan Presiden Trump menyuarakan pendirian terhadap isu Palestin.

ASEAN juga akan mempertikaikan Malaysia kerana membuat keputusan yang merugikan negara-negara ASEAN yang lain dan ini pastinya akan mencalar reputasi Malaysia yang sekarang ini dihormati di serata dunia.

Lebih buruk lagi ialah hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat yang baik boleh menjadi keruh dan situasi ini akan memberi impak negatif kepada Malaysia.

Situasi kedua merujuk kepada Malaysia menerima kedatangan Presiden Trump di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 bersama-sama dengan pemimpin dunia yang lain. Sidang Kemuncak ini akan jadi antara yang paling berprestij dalam sejarah ASEAN kerana melibatkan pemimpin dan kuasa besar dunia.

Ini sekaligus mengiktiraf peranan ASEAN yang diterajui Malaysia dalam kancah geo-politik dunia. ASEAN dan Malaysia berpeluang untuk berbincang secara bersemuka mengenai pengukuhan sektor ekonomi, perdagangan, pendidikan, keselamatan dan lain-lain. Di samping itu, Malaysia dan negara-negara lain boleh menyuarakan pendirian tegas terhadap isu Palestin.

Kesan dan impak kedatangan Presiden Trump dalam Sidang Kemuncak ini dijangkakan positif. Kerjasama ekonomi, perdagangan, keselamatan dan lain-lain dapat diperkukuhkan, hubungan ASEAN-US dan Malaysia-US terus baik bahkan pendirian dan ketegasan isu Palestin dapat disuarakan.

Reputasi Malaysia terus diiktiraf ASEAN dan dunia, keyakinan pelabur semakin meningkat dan Malaysia akan terus mengorak langkah melakukan perubahan seiring dengan agenda Malaysia Madani.

Kesimpulan

Kedatangan Presiden Trump menimbulkan beberapa persoalan dan maklumbalas yang pelbagai oleh rakyat Malaysia. Ada yang membantah dan ada yang menyokong bahkan ramai juga yang tidak ambil tahu.

Berdasarkan kepada pemerhatian dan semua faktor yang disebut di atas, penulis tidak bersetuju untuk menyekat kedatangan Presiden Trump. Penulis berpandangan bahawa kedatangan Presiden Trump membuka ruang yang lebih besar dan signifikan kepada ASEAN dan Malaysia dan juga memberi peluang secara bersemuka dan strategik untuk menyuarakan pendirian terhadap isu Palestin.

Pandangan yang sama dikongsikan rata-rata aktivis kemanusiaan memperjuangkan Palestin seperti peserta Misi Sumud Flotilla ke Gaza.

Penulis ingin menekankan juga bahawa pendirian sama ada menyekat atau menerima kedatangan Presiden Trump ini adalah perkara ijtihadi iaitu jatuh dalam perkara yang dibenarkan khilaf atau berbeza pandangan. Bersetuju dengan kehadiran Presiden Trump tidak menjadikan kita pro-Israel atau pro-Amerika.

Begitu juga, menentang kedatangan Presiden Trump juga tidak bermakna seseorang itu ekstrim atau berfikiran terkebelakang. Masing-masing punya pandangan berdasarkan hujah dan rasional yang sama-sama bersemangat dan bersolidariti dengan perjuangan Palestin.

Kesimpulannya, menerima kunjungan Presiden Trump dan pimpinan dunia yang lain dalam Sidang Kemuncak Ke-47 ASEAN membuka peluang memperkukuh hubungan antarabangsa, menarik pelaburan, menguatkan ekonomi, perdagangan dan keselamatan serta memberi ruang kepada Malaysia dan ASEAN menyatakan pendirian tegas terhadap Palestin.

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN memainkan peranan tersendiri untuk menerajui rantau ini agar lebih terkehadapan dan berpengaruh di pentas dunia termasuk menjuarai usaha keamanan dan kestabilan. Walau apa pun, Malaysia terus konsisten dengan perjuangan membela Palestin sehingga ke akhirnya.

Dari sungai ke segara, Palestin pasti akan merdeka, inshaAllah Ta‘ala.

-- BERNAMA

Senator Dr. Zulkifli Hasan ialah Timbalan Menteri (Agama) Jabatan Perdana Menteri.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)