Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia menonjol dengan memacu agenda hijau dan inklusif, mengukuhkan ekonomi serantau, serta membuka peluang kerjasama baharu dengan dunia.
Kedudukan strategik ini juga memberi ruang kepada Malaysia untuk menunjukkan komitmen terhadap isu yang dekat dengan rakyat, termasuk soal keterjaminan makanan dan kelestarian bandar.
Menariknya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memilih untuk menonjolkan projek “Green Connector” di Padang Wangsa Sari sempena Meeting of Governors and Mayors of ASEAN. Dua kebun bandar iaitu Kebun Bandar Sungai Bunus dan Seri Perlis 2 telah dijemput sebagai pempamer mewakili Kebun Bandar Kejiranan Kuala Lumpur.
Ini adalah satu bentuk pengiktirafan yang besar kepada sukarelawan yang menjadi penggerak kebun berkenaan, juga kepada komuniti yang percaya bahawa bercucuk tanam di tengah kota masih relevan.
Cipta Ruang Rekreasi dan Ukhuwwah
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai satu daripada pemegang taruh Kebun Bandar Sungai Bunus, turut memperkenalkan produk madu kelulut yang menjadi keistimewaan kebun tersebut. Kehadiran koloni kelulut yang aktif pula menjadi petanda ekosistem kebun bandar itu sihat dan lestari.
Kebun Bandar Sungai Bunus adalah sebuah kebun bandar yang unik kerana bukan sahaja menghasilkan sumber makanan segar, tetapi juga membawa nilai ukhuwwah, pembelajaran sepanjang hayat, serta ruang rekreasi dan terapi minda untuk komuniti setempat.
Seri Perlis 2 pula tampil kreatif dengan produk hiliran berasaskan bunga telang, antaranya air telang yang segar dan berkhasiat, teh telang, serta puding telang yang menarik perhatian pengunjung.
Bergerak bersama koperasinya, Seri Perlis 2 menjadi bukti bahawa kebun bandar bukan sahaja mampu menyediakan sayuran segar bebas kimia, tetapi juga menjana sumber pendapatan bagi golongan B40, di samping menyumbang kepada kitaran ekonomi setempat.
Bantu Kurangkan Kebergantungan Import Makanan
Sejajar dengan Pelan Induk Masyarakat Rendah Karbon Kuala Lumpur 2030 (PIMRK KL 2030) yang menyasarkan pengurangan intensiti pelepasan karbon sebanyak 70 peratus berbanding KDNK menjelang 2030.
Selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 11: Sustainable Cities & Communities), kewujudan kebun bandar yang aktif bukan sekadar menanam sayur organik untuk kegunaan sendiri, tetapi satu gerakan komuniti yang boleh mengurangkan kebergantungan import, meningkatkan kesedaran makanan sihat, dan dalam masa yang sama mengeratkan hubungan kejiranan.
Di bandar besar seperti Kuala Lumpur, kita selalu bercakap soal pembangunan pesat, bangunan pencakar langit, dan pusat beli-belah yang gah. Tetapi jika kita berfikir sejenak, dari mana datangnya bahan mentah asas seperti cili, halia, dan cili di atas meja makan kita?
Realitinya, kita masih bergantung kepada import untuk makanan asas. Data Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (2022) menunjukkan kadar sara diri (SSR) bagi beberapa sayuran rutin masih rendah, contohnya cili hanya sekitar 30 hingga 40 peratus.
Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia turut melaporkan bahawa pada tahun 2020, import sayur (1.81 juta tan) melebihi pengeluaran tempatan (1.03 juta tan). Untuk cili, kebergantungan import melebihi 70 peratus, manakala halia hanya mampu dihasilkan sekitar 1.7 kg seorang setahun.
Pada tahun 2022 sahaja, Malaysia mengimport sayur-sayuran dan buah-buahan bernilai RM11.30 bilion, sedangkan eksport hanya RM3.39 bilion, jelas menunjukkan defisit yang ketara.
Model Pembangunan Bandar yang Seimbang
Di sinilah pertanian bandar boleh memainkan peranan. Jika inisiatif kebun bandar ini dapat diperluas dan disokong dengan baik, ia mampu menjadi satu model pembangunan bandar yang lebih seimbang. Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain yang berkepadatan tinggi bukan sahaja membangun sebagai kota moden, tetapi juga sebagai “kota hijau” yang menyokong kelestarian dan keselamatan makanan.
Usaha kebun bandar yang digerakkan oleh sukarelawan ini bukan sahaja menyumbang kepada penghasilan sayuran organik yang selamat dimakan, tetapi turut mencerminkan nilai Islam seperti ukhuwah (persaudaraan), maslahah (kepentingan umum), dan amanah sebagai khalifah dalam menjaga bumi.
Apa yang diusahakan bersama ini juga membawa barakah, malah boleh dianggap sebagai sadaqah jariyah, kerana manfaatnya terus mengalir selagi hasil kebun itu dinikmati oleh masyarakat.
Dengan kedudukan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, negara berada pada landasan tepat untuk memacu agenda bandar hijau dan pertanian bandar. Usaha kecil di Kebun Bandar Sungai Bunus dan Seri Perlis 2 membuktikan potensi besar yang boleh dikembangkan.
Sejak diperkenalkan pada 2016, inisiatif kebun bandar di bawah Unit Local Agenda 21 DBKL terus mendapat sambutan, sehingga pada tahun 2025 mencatat lebih daripada 60 kebun komuniti dan kebun sekolah yang berdaftar.
Sokongan dasar yang sudah tersedia perlu diterjemahkan dengan penyertaan aktif seluruh masyarakat.
Hanya dengan keterlibatan bersama, pertanian bandar dapat benar-benar mengurangkan kebergantungan import makanan dan menjadikan Kuala Lumpur model bandar mampan di rantau ASEAN.
-- BERNAMA
Dr Adibah Amir ialah Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Pembuatan dan Bahan Kulliyyah Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Gombak, Selangor