TINTA MINDA

AMM 58 Perkukuh Hubungan Strategik Malaysia-AS

11/07/2025 05:01 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Prof Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam

Pertemuan penting antara Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Senator Marco Rubio, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Luar Datuk Seri Utama Mohamad Hasan di Kuala Lumpur semalam menjadi bukti hubungan erat yang terus berkembang antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Dalam suasana geopolitik yang kompleks dan era ketidaktentuan perdagangan global, pertemuan ini membawa mesej jelas bahawa kedua-dua negara berhasrat untuk melonjakkan hubungan ke tahap yang lebih strategik dan menyeluruh.

Rundingan terbuka berkaitan tarif 25 peratus

Salah satu isu utama yang dibincangkan ialah pengenaan tarif 25 peratus oleh Amerika Syarikat terhadap produk tertentu dari Malaysia.

Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan unilateral ini yang dilihat boleh menjejaskan kelancaran perdagangan bebas serta membawa kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi rantau Asia Tenggara, terutamanya negara dagang seperti Malaysia.

Perdana Menteri menganggap bahawa dasar seumpama itu harus dinilai semula melalui dialog terbuka dan saksama.

Malaysia menegaskan keperluan untuk mengekalkan saluran rundingan antara kedua-dua negara demi mencapai penyelesaian yang adil, tidak mendiskriminasi dan menghormati hak negara membangun.

Dalam semangat ini, Malaysia mengambil peluang daripada maklum balas Marco Rubio bahawa tarif tersebut dikenakan secara umum dan bukan ditujukan khusus kepada Malaysia.

Tambahan pula, Malaysia diberi tempoh sebulan untuk mengemukakan pandangan serta cadangan balas. Ini membuka ruang penting untuk rundingan mendalam dan pemerkasaan saling faham antara Kuala Lumpur dan Washington.

MoU kerjasama strategic nuklear awam

Satu detik penting dalam pertemuan ini ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Amerika Syarikat berhubung Kerjasama Strategik Nuklear Awam.

MoU ini menandakan permulaan kerjasama dua hala yang lebih mendalam dalam sektor tenaga nuklear, yang dilihat Malaysia sebagai komponen penting dalam strategi jangka panjangnya bagi menjamin keselamatan tenaga, menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan membangunkan kapasiti nasional secara selamat dan bertanggungjawab.

Selain itu, Malaysia turut menyatakan kesediaan untuk memulakan rundingan berkaitan Perjanjian 123, satu perjanjian penting dalam kerangka pemindahan teknologi nuklear sivil dari Amerika Syarikat kepada negara lain.

Ini menunjukkan kesungguhan negara untuk meneroka tenaga nuklear secara progresif dengan jaminan bahawa sebarang penggunaan teknologi tersebut akan dikawal selia di bawah standard keselamatan antarabangsa, termasuk oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Dalam landskap global yang semakin menuntut peralihan kepada sumber tenaga bersih dan mampan, tenaga nuklear semakin mendapat perhatian sebagai alternatif kepada bahan api fosil yang mencemar.

Malaysia, dengan matlamat jangka panjang untuk menjamin keselamatan tenaga nasional dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber tidak lestari, menunjukkan keazaman politik yang tinggi untuk melangkah ke era baharu tenaga berasaskan teknologi canggih.

Ini adalah satu detik penting dalam usaha memperkukuh Perkongsian Komprehensif Malaysia–Amerika Syarikat. Selain itu, ia juga memperlihatkan keyakinan Masyarakat antarabangsa — khususnya Amerika Syarikat — terhadap keupayaan teknikal, komitmen keselamatan dan kesediaan Malaysia untuk menguruskan tenaga nuklear dengan bertanggungjawab.

Komitmen kawal selia perairan

Dalam sidang bilateral Malaysia–Amerika Syarikat juga, Menteri Luar turut menegaskan komitmen Malaysia untuk memperketatkan penguatkuasaan terhadap aktiviti pemindahan minyak secara kapal ke kapal (ship-to-ship transfer, STS) secara haram di perairan negara.

Malaysia sedang dalam proses menggubal peraturan baharu yang dijangka berkuat kuasa hujung bulan ini.

Tindakan untuk menggubal peraturan baharu ini merupakan langkah strategik yang sangat penting bagi mempertahankan integriti wilayah perairan Malaysia.

Aktiviti STS yang tidak terkawal bukan sahaja melanggar undang-undang maritim, malah berpotensi mengundang risiko besar terhadap keselamatan pelayaran, pencemaran laut serta pencerobohan ekonomi dan kedaulatan negara.

Dengan menjadikan isu ini sebagai salah satu topik perbincangan dalam sidang bilateral bersama Amerika Syarikat, Malaysia secara tidak langsung menghantar mesej jelas kepada komuniti antarabangsa bahawa ia tidak akan berkompromi dalam hal yang melibatkan keselamatan nasional.

Ia juga menunjukkan bahawa Malaysia bukan sekadar pengawal selia pasif, tetapi merupakan negara pesisir (coastal state) yang proaktif dan bertanggungjawab terhadap pelayaran selamat di laluan perdagangan antarabangsa seperti Selat Melaka dan Laut China Selatan.

Malaysia sebagai pemain strategic Indo-Pasifik

Gabungan rundingan terbuka berkaitan isu perdagangan, pemeteraian kerjasama teknologi tinggi dalam bidang nuklear serta tekad mempertahankan kedaulatan maritim menjadikan lawatan ini sangat bermakna.

Malaysia menunjukkan kematangan diplomatik yang tinggi dengan mengutamakan prinsip keadilan dalam perdagangan antarabangsa sambil aktif membentuk masa depan tenaga yang lestari.

Malah, pertemuan ini turut menjadi platform untuk merangka hala tuju masa depan hubungan Malaysia–Amerika Syarikat secara lebih menyeluruh di mana kedua-dua pihak menyuarakan kesediaan untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang baharu termasuk pelaburan digital, pembangunan kecerdasan buatan (AI), pertahanan serta pendidikan.

Masa sama, berlaku juga pertukaran pandangan strategik berkaitan isu-isu serantau seperti konflik di Palestin, Ukraine dan Myanmar.

Tegasnya, di sebalik penglibatan Malaysia dengan BRICS dan perubahan landskap global, hubungan Malaysia-Amerika Syarikat ternyata kekal utuh dan strategik.

Pendekatan seimbang, berprinsip dan terbuka yang dibawa oleh Perdana Menteri dan Menteri Luar memperlihatkan bahawa Malaysia bersedia memainkan peranan lebih besar sebagai jambatan antara kuasa besar dunia dan negara-negara membangun di rantau Indo-Pasifik.

Pengiktirafan Malaysia sebagai destinasi utama dalam lawatan pertama Marco Rubio ke Asia membuktikan kedudukan penting Malaysia dalam strategi serantau Washington. Ini akan lebih kukuh dengan jangkaan kehadiran Presiden Amerika Syarikat di dalam Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat dan Sidang Kemuncak Asia Timur di Kuala Lumpur pada Oktober depan.

-- BERNAMA

Prof. Dr. Mohd Mizan Mohammad Aslam adalah Pensyarah di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan (FPPP), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)