TINTA MINDA

ASEAN Menangani Isu Strategik Serantau Dengan Cara Tersendiri

10/07/2025 03:56 PM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.
Oleh :
Profesor Dr Adam Leong Kok Wey

Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) (AMM) ke-58 sedang berlangsung di Kuala Lumpur dari 8 hingga 11 Julai.

Penganjuran mesyuarat ini adalah amat penting bertepatan pada waktu dan ketika ini, di mana terdapatnya pelbagai ketidaktentuan strategik serantau dan global yang perlu ditangani.

Di antara isu yang perlu diberi perhatian termasuklah hubungan antara Thailand dan Kemboja yang tegang susulan pertempuran yang berlaku di sempadan, konflik dalaman yang berterusan di Myanmar, ketegangan yang semakin memuncak di Laut China Selatan dan ugutan kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden Trump.

ASEAN di posisi ssuai main peranan urus konflik serantau

ASEAN dilihat berada pada posisi yang sesuai untuk memainkan peranan secara aktif dalam menguruskan konflik-konflik serantau ini dan menjadi perantara dalam hubungan geopolitik dan ekonomi dengan kuasa-kuasa besar dunia.

Walaupun terdapat pihak yang memandang kemampuan ASEAN dalam menyelesaikan konflik, namun adalah penting untuk menetapkan jangkaan yang realistik dan tidak terlalu tinggi terhadap keupayaan ASEAN sebagai blok serantau untuk menangani pelbagai isu strategik secara efektif.

Melihat kembali kepada matlamat penubuhan ASEAN yang pada dasarnya adalah sebagai platform untuk pengurusan konflik, dan bukan untuk penyelesaian konflik. Ini dipengaruhi oleh sifat mekanisme operasi yang digunakapakai oleh ASEAN. Untuk memahami keterbatasan ASEAN dalam menyelesaikan konflik, kita perlu meneliti semula matlamat penubuhannya dan prinsip asas yang menjadi pembimbing kepada operasinya.

Penubuhan ASEAN

ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, selepas tamatnya Konfrontasi Indonesia–Malaysia dan ketika ketegangan Perang Vietnam semakin memuncak.

Penubuhan ASEAN adalah berpaksikan kepada tonggak utama untuk memupuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau Asia Tenggara.

Pada awal penubuhannya, lima negara pengasasnya iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina, memandang ASEAN sebagai platform untuk membina hubungan diplomatik yang lebih erat di antara negara-negara serantau dan memupuk kerjasama dalam bidang sosio-ekonomi dan pemahaman silang-budaya.

Sejak berakhirnya Perang Dingin, ASEAN kian berkembang merangkumi semua negara di Asia Tenggara, dengan Timor-Leste dijangka menjadi ahli penuh menjelang akhir tahun 2025.

ASEAN juga telah memperluaskan penglibatannya secara pelbagai hala (multilateral) melalui beberapa platform seperti ASEAN Regional Forum (ARF), Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan Komuniti ASEAN yang mampu memupuk dialog untuk berkerjasama dalam isu keselamatan dan pembangunan ekonomi serantau.

Namun demikian, ASEAN sering kali tidak berjaya menghasilkan keputusan yang konkrit dan bersatu dalam isu-isu yang sensitif dan kontroversi, khususnya dalam isu-isu geopolitik.

Carakerja ASEAN

Untuk mengupas dengan lebih mendalam tentang carakerja ASEAN, terdapat dua prinsip utama yang mendefinisikan identiti ASEAN iaitu: tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota dan membuat keputusan berdasarkan konsensus.

Prinsip-prinsip keramat tersebut telah menjadikan ASEAN kekal sebagai sebuah organisasi yang inklusif dan berdaya lestari.

Pendekatan ASEAN terhadap pertikaian serantau berlandaskan prinsip-prinsip ini, seperti yang ditunjukkan dalam "Five-Point Consensus" untuk menangani konflik dalaman di Myanmar, serta dalam rundingan pemeteraian Kod Tatakelola ASEAN-China di Laut China Selatan.

Five-Point Consensus telah dibentuk pada April 2021 apabila pemimpin ASEAN mencapai persetujuan bersama atau kolektif tentang cara menguruskan krisis Myanmar.

Namun, ia tidak mempunyai kuasa dan agen penguatkuasaan. Oleh itu, ia terpulang kepada Myanmar sama ada mahu mematuhi Five-Point Consensus tersebut atau tidak.

Perlu diingatkan, disebabkan mekanisme membuat keputusan bagi ASEAN yang berdasarkan konsensus, Myanmar turut mempunyai suara dalam sebarang perbincangan yang melibatkan kepentingan negara tersebut dan amat mustahil bagi kerajaan Myanmar untuk bersetuju dalam sebarang usul dan tindakan ASEAN yang mungkin merugikan negara mereka.

Rundingan bagi Kod Tatakelola ASEAN-China di Laut Cina Selatan (Code of Conduct) yang telah berlangsung lebih daripada dua dekad menunjukkan sifat inklusif dalam pendekatan ASEAN yang menghargai input setiap negara anggota dan kesukaran untuk mencapai persetujuan secara konsensus bagi isu-isu yang kompleks dan sensitif.

Perlu ubah tanggapan terhadap ASEAN

Oleh itu, adalah perlu untuk mengubah tanggapan terhadap kemampuan ASEAN yang mampu menyelesaikan isu-isu serantau yang sukar dan sensitif.

Mekanisme yang digunapakai oleh ASEAN adalah lebih bersifat kepada mengurus konflik dan bukan memainkan peranan untuk penyelesaian konflik.

Ia tidak mempunyai instrumen undang-undang yang mengikat dan boleh dikuatkuasakan.

Pendekatan dalam membuat keputusan secara konsensus sering kali tidak dapat dicapai disebabkan oleh kepentingan politik yang berbeza di kalangan negara-negara anggota terutamanya dalam isu yang menyentuh kepentingan nasional.

Nilai sebenar ASEAN

Namun, nilai sebenar ASEAN terletak pada kemampuannya untuk menyediakan platform penting untuk memupuk dialog.

Walaupun ia terhad dalam menghasilkan keputusan segera yang konkrit, peranan ini tetap amat penting dalam membina kestabilan serantau untuk jangka panjang.

Dengan menyediakan platform bagi komunikasi terbuka dan pertukaran pendapat, ASEAN dapat membantu mencegah ketegangan strategik di rantau Asia Tenggara dan menjadi blok perantara untuk hubungan strategik dan ekonomi dengan negara-negara lain.

ASEAN perlu terus main peranan

Kesimpulannya, ASEAN perlu terus memainkan peranan sebagai jambatan penghubung dan pemudah cara dalam dialog serantau.

Kekuatan utamanya bukan dalam menyelesaikan konflik secara langsung, tetapi dalam mengurangkan risiko konflik dengan memastikan komunikasi berterusan dan membina keyakinan antara negara anggota.

Dalam dunia yang penuh dengan ketidaktentuan dan cabaran geopolitik yang kompleks, pendekatan ASEAN yang bersifat inklusif dan pragmatik masih relevan sebagai satu organisasi serantau yang amat penting dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.

-- BERNAMA

Dr Adam Leong Kok Wey adalah Profesor dalam bidang pengajian strategi dan Pengarah Pusat Pengajian Pertahanan dan Keselamatan Antarabangsa (CDISS), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)