Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC), yang ditandatangani pada 24 Februari 1976 di Bali, Indonesia, merupakan mercu tanda penting dalam evolusi institusi dan diplomatik ASEAN.
Ia bukan sekadar sebuah perjanjian, sebaliknya menjadi lambang hidup kepada kerangka norma ASEAN—yang dipegang pada prinsip kewujudan secara aman, saling menghormati dan tidak campur tangan—yang telah membolehkan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) mengharungi arus geopolitik yang sentiasa berubah selama hampir lima dekad.
Asal-usul Sejarah TAC
TAC lahir dalam latar ketegangan Perang Dingin, susulan kejatuhan Saigon pada tahun 1975 dan pengunduran Amerika Syarikat dari Asia Tenggara.
Dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik yang semakin meruncing, lima negara pengasas ASEAN-Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina dan Singapura-berhimpun dalam Sidang Kemuncak ASEAN pertama di Bali pada tahun 1976, di mana mereka memeterai TAC sebagai manifestasi solidariti serantau yang sah di sisi undang-undang.
Lebih daripada sekadar perjanjian damai, TAC telah menjadi asas kepada apa yang kini dikenali sebagai “Cara ASEAN” (ASEAN Way), iaitu budaya diplomasi yang menekankan rundingan senyap, pengelakan konfrontasi dan keputusan secara konsensus.
Prinsip-prinsip TAC mencerminkan konteks unik ASEAN: sebuah rantau yang kaya dengan kepelbagaian politik, budaya dan ekonomi, merangkumi sistem monarki, demokrasi, republik sosialis dan rejim tentera—semuanya hidup bersama tanpa mencetuskan konflik besar serantau.
Prinsip-prinsip teras TAC
TAC diasaskan atas prinsip-prinsip yang digariskan dalam Preambul dan dimaktubkan dalam Artikel 2, iaitu:
1. Saling menghormati kemerdekaan, kedaulatan, kesamarataan, integriti wilayah, dan identiti kebangsaan semua negara;
2. Hak setiap negara untuk menentukan halatuju kewujudan nasional tanpa gangguan, paksaan atau subversi dari luar;
3. Tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman sesama negara;
4. Penyelesaian pertikaian melalui cara yang aman;
5. Penolakan terhadap ancaman atau penggunaan kekerasan; dan
6. Kerjasama berkesan antara negara-negara.
Prinsip-prinsip ini kekal sebagai tunjang kepada hubungan luar ASEAN, kerjasama serantau serta mekanisme penyelesaian konflik.
Ia diperkukuh menerusi struktur institusi seperti Majlis Tertinggi yang ditubuhkan di bawah Bab IV TAC yang dirangka bagi menguruskan pertikaian melalui pendekatan diplomasi seperti jawatankuasa perdamaian, siasatan atau perantaraan.
Budaya organisasi ASEAN dan “Cara ASEAN”
TAC menyerlahkan sifat antara-kerajaan ASEAN dan penolakannya terhadap pendekatan yang terlalu berlandaskan perundangan.
Pertikaian diselesaikan secara tertutup, dengan pemimpin-pemimpin negara memilih diplomasi senyap, perbincangan tidak rasmi dan hubungan peribadi.
Oleh itu, walaupun TAC menyediakan mekanisme penyelesaian pertikaian, ia jarang digunakan secara formal.
Sebaliknya, ASEAN mengutamakan diplomasi peringkat tinggi, konsensus dan semangat tolak ansur bersama.
Struktur TAC membolehkan ASEAN berfungsi dengan cekap tanpa perlu bergantung kepada sebarang autoriti supranasional.
Ini amat penting dalam konteks rantau yang mempunyai perbezaan tahap pembangunan dan sistem politik yang ketara.
TAC seterusnya berperanan sebagai kuasa penstabil, membolehkan integrasi serantau berlaku secara kerjasama tanpa memerlukan keseragaman politik.
Evolusi dan perluasan TAC
TAC pada awalnya terhad kepada negara-negara Asia Tenggara, namun ia telah dipinda sebanyak tiga kali—pada tahun 1987, 1998 dan 2010—bagi membolehkan penyertaan negara luar rantau serta organisasi serantau yang terdiri daripada negara-negara berdaulat.
Perjanjian ini mula dibuka kepada negara bukan ASEAN pada tahun 1989, bermula dengan Papua New Guinea.
Sejak itu, TAC telah berkembang menjadi kerangka yang diterima secara global.
Sebelum ini, 55 negara dan entiti telah menyertai TAC dan pada hari ini Uruguay dan Algeria secara rasmi menjadi pihak ke-56 dan ke-57 yang menandatangani perjanjian tersebut.
Peluasan ini mencerminkan pengiktirafan global terhadap nilai-nilai TAC dan peningkatan profil ASEAN sebagai kuasa pemudah cara dalam diplomasi antarabangsa.
Negara yang ingin menyertai platform pelbagai hala ASEAN-seperti Forum Serantau ASEAN (ARF), Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan ASEAN+3-kebiasaannya perlu menandatangani TAC terlebih dahulu sebagai prasyarat, sekali gus mengukuhkan peranan penting TAC dalam keterlibatan serantau dan antara rantau.
Mengapa negara luar Asia Tenggara menyertai TAC
Daya tarikan global TAC terletak pada fleksibiliti, sifat neutral dan prinsipnya yang bersifat sejagat.
Seperti yang ditegaskan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, semakin banyak negara kini ingin menyertai TAC sebagai pintu masuk untuk menjalin kerjasama lebih mendalam dengan ASEAN.
TAC menawarkan "gerbang diplomatik" untuk hubungan damai dan pembangunan bersama—suatu kelebihan besar dalam era persaingan kuasa besar dan perpecahan geopolitik global.
Penyertaan ke dalam TAC menandakan komitmen sesebuah negara terhadap etos ASEAN: kewujudan secara aman, dasar tidak berpihak dan keutamaan terhadap dialog pelbagai hala berbanding konfrontasi.
Dalam kata-kata Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan, penyertaan Algeria dan Uruguay mencerminkan “komitmen tegas mereka terhadap prinsip-prinsip ini” dan hasrat mereka untuk “memupuk dialog, saling menghormati dan kewujudan secara aman dalam dunia yang semakin kompleks dan saling berkait.”
Prosedur penyertaan
Proses penyertaan TAC bersifat teliti dan inklusif.
Negara yang berminat perlu mengemukakan permohonan kepada Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) yang akan menilai tahap kesediaan dan komitmen politik negara tersebut.
Cadangan kemudiannya dibawa ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) untuk kelulusan akhir.
Penyertaan dimuktamadkan melalui majlis rasmi penandatanganan Instrumen Penyertaan, sebagaimana yang disaksikan dalam AMM ke-58 di Kuala Lumpur.
Ketelitian ini memastikan bahawa negara-negara yang menyertai benar-benar berkongsi nilai-nilai asas ASEAN, sekali gus memperkukuh legitimasi TAC sebagai instrumen diplomatik global.
Detik bersejarah 2025: Algeria dan Uruguay menyertai TAC
Penyertaan Algeria dan Uruguay menandakan detik bersejarah dalam perjalanan TAC.
Algeria mewakili Afrika Utara, manakala Uruguay berasal dari Amerika Latin-dua rantau yang secara tradisionalnya jauh dari orbit geografi ASEAN.
Penyertaan ini mencerminkan daya tarikan model diplomasi damai ASEAN yang semakin meluas.
Sepertimana ditegaskan oleh Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan dalam ucapan beliau, acara hari ini memperdalamkan hubungan ASEAN dengan “rantau-rantau yang berkongsi aspirasi untuk keamanan, kemakmuran dan pembangunan mampan.”
Ia membuktikan keupayaan ASEAN untuk merentasi benua dan ideologi melalui komitmen bersama terhadap kedaulatan undang-undang dan kewujudan secara damai.
Dengan 57 negara kini berada di bawah naungan TAC, perjanjian ini telah menjadi simbol konsensus pelbagai hala dalam dunia yang semakin berpecah belah.
Ia adalah antara beberapa kerangka antara-kerajaan di mana negara Global Utara dan Global Selatan, demokrasi liberal dan rejim autoritarian, negara besar dan kecil, boleh wujud bersama di bawah kod diplomasi bersama.
TAC dalam dunia yang berpecah
Ketahanan TAC membuktikan keberkesanan diplomasi pragmatik ASEAN dan pendekatan institusi yang lembut.
Ia telah membolehkan ASEAN berkembang daripada sebuah pakatan keselamatan era Perang Dingin kepada sebuah komuniti serantau yang matang dan berpandangan ke luar.
Ia juga membantu ASEAN mengekalkan kedudukannya yang relatif neutral dalam persaingan kuasa besar dari era bipolar, unipolar sehinggalah ke dunia multipolar hari ini.
Dalam era di mana banyak struktur pelbagai hala berada dalam tekanan, TAC menawarkan model unik—tidak mengikat dari segi penguatkuasaan, tetapi mengikat dari segi prinsip; lambat dari segi proses, tetapi konsisten dalam pencapaian.
Ia menyediakan kerangka keterlibatan yang inklusif dan bebas ideologi—sesuai bagi negara dari pelbagai benua yang mendambakan keamanan dan perkongsian dalam abad Indo-Pasifik.
Sebagaimana yang terbukti dalam penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC, semangat Bali 1976 terus bergema jauh melepasi Asia Tenggara.
TAC sekarang bukan lagi hanya menjadi tunjang diplomatik ASEAN tetapi ia kini muncul sebagai salah satu instrumen keamanan dalam diam yang paling berjaya di dunia.
-- BERNAMA
Dr Kamarul Zaman Yusoff adalah Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia