Malaysia kini berada dalam fasa kritikal untuk mempercepat pembangunan teknologi dan bakat dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan sistem instrumentasi pintar, seiring dengan aspirasi negara ke arah hab teknologi ASEAN menjelang 2030. Gabungan kecerdasan buatan dan sistem instrumentasi pintar yang mengintegrasikan sensor, pemproses data, komunikasi masa nyata dan AI semakin menjadi tulang belakang kepada operasi industri moden, menjangkaui bidang tenaga, kesihatan, pembuatan, pertanian dan logistik. Justeru, keperluan untuk melahirkan tenaga pakar dalam bidang ini amat mendesak.
Instrumen AI Nadi Revolusi Teknologi Negara
Menurut laporan World Economic Forum (2020), menjelang 2025, lebih 50 peratus struktur kerja global dijangka dipengaruhi oleh AI dan automasi. Malaysia melalui Dasar Revolusi Industri Keempat (4IR) dan Pelan MyDIGITAL telah meletakkan AI dan teknologi pintar sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi masa depan .
Namun, jurang utama yang dikenal pasti ialah kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam instrumentasi pintar dan sistem kawalan berasaskan AI. Merujuk kepada laporan TalentCorp & Bank Negara, beberapa bidang pengkhususan yang menyenaraikan bidang AI, automasi, dan kejuruteraan sebagai bidang kritikal yang memerlukan intervensi pendidikan tinggi dan TVET. Ini membuka peluang kepada institusi pengajian tinggi dan TVET untuk memainkan peranan strategik dalam melahirkan tenaga mahir yang kompeten dan berdaya saing global dalam bidang ini.
Aplikasi AI Dalam Industri Satu Keperluan, Bukan Lagi Pilihan
1. Pemantauan Masa Nyata: Dalam industri tenaga, sistem AI dapat mengesan suhu dan tekanan secara serta-merta, membolehkan intervensi awal bagi mengelakkan kerosakan kritikal.
2. Penyelenggaraan Ramalan (Predictive Maintenance): AI menganalisis data daripada sensor untuk menjangka kerosakan mesin, mengelakkan downtime dan menjimatkan kos.
3. Kawalan Kualiti Automatik: AI memantau parameter seperti suhu atau tekanan semasa pengeluaran untuk menjamin piawaian produk dipatuhi.
4. Keselamatan Pekerja: Sensor pintar digunakan dalam persekitaran berbahaya bagi mengesan gas toksik atau suhu ekstrem, lalu mencetuskan amaran automatik.
5. Pengurusan Inventori dan Rantaian Bekalan: Gabungan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan AI membolehkan pengurusan stok masa nyata, meningkatkan kecekapan logistik dan pengedaran.
Gabungan ini bukan sahaja mempercepat proses automasi, malah meningkatkan inovasi, keselamatan, dan keberkesanan operasi dalam semua sektor utama negara.
Pendidikan Tinggi dan TVET Sebagai Pemangkin Kepakaran Negara
Institusi pengajian tinggi, khususnya yang bernaung di bawah rangkaian Malaysia Technical University Network (MTUN), telah tampil proaktif dalam memperkasa pembangunan bakat dan kepakaran dalam bidang instrumentasi pintar dan kecerdasan buatan (AI). Pelbagai inisiatif akademik dan penyelidikan telah dilaksanakan antaranya program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Instrumentasi dan Kawalan), program Sarjana Teknologi Maklumat (Kepintaran Buatan), kursus pendek dan mikro-kredensial dalam bidang kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin, program Sarjana Internet of Things (IoT) serta penyelidikan berteraskan industri dalam sistem tomografi pintar, pemantauan gas bersepadu dan pertanian moden berasaskan teknologi pintar.
Melalui Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), universiti-universiti teknikal ini turut giat melaksanakan penyelidikan berimpak tinggi yang merentasi pelbagai sektor, termasuk industri, pertanian mampan, dan kesejahteraan komuniti luar bandar. Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi negara melalui kerangka Malaysia MADANI dan prinsip Environmental, Social and Governance (ESG), yang menekankan keseimbangan pembangunan ekonomi dengan kemampanan alam sekitar dan kesejahteraan sosial.
Kolaborasi Strategik Kunci Kejayaan Ekosistem
Bagi menjamin kelangsungan dan keberkesanan sistem ini, kerjasama erat antara universiti, agensi TVET, industri dan kerajaan perlu diperkukuh. Antaranya melalui latihan industri dan pensijilan bersama industri, projek AI berasaskan keperluan sebenar industri dan program Double-Degree seperti 2U2i, 3U1i dan WBL (Work Based Learning untuk tenaga mahir TVET. Model seperti ini perlu digiatkan agar tenaga mahir Malaysia bukan sahaja boleh mengendalikan teknologi, tetapi juga menjadi pencipta dan penyelesai masalah teknologi kompleks.
Menjadi Hab Teknologi ASEAN
Aspirasi Malaysia untuk menjadi hab teknologi ASEAN bukan lagi sekadar impian. Dengan pelaburan bersasar dalam R&D, pendidikan dan pembangunan bakat, negara mampu melonjak menjadi pencipta teknologi AI tersendiri, bukan hanya sebagai pengguna. Instrumen AI dan sistem pintar berperanan bukan sekadar memperkasa operasi industri, tetapi juga membina kedaulatan digital negara dalam menghadapi ekonomi global yang semakin mencabar.
Kesimpulannya, kini adalah waktu yang tepat untuk mempercepat usaha melahirkan tenaga pakar AI dan instrumentasi pintar melalui sistem pendidikan tinggi dan TVET yang responsif, adaptif dan berinovasi tinggi dalam menyokong naratif dasar 4IR dan hala tuju strategik Malaysia dalam pembangunan teknologi industri dan AI. Malaysia mesti bertindak pantas dan berani. Hanya dengan melahirkan pakar teknologi buatan tempatan, kita mampu mengemudi arus teknologi global dengan identiti dan keupayaan tersendiri.
--BERNAMA
Profesor Dr. Elmy Johana Mohamad merupakan Profesor Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Pengarah Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)