TINTA MINDA

Kepuasan Kontraktor Gred Kecil Dan Sederhana Penentu Hala Tuju Industri Pembinaan Negara

03/07/2025 10:28 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh Profesor Madya Dr Md Asrul Nasid Masrom dan Sr Norazilan Mazahar

Peranan kontraktor gred kecil dan sederhana (G1–G4) semakin penting dalam ekosistem industri pembinaan Malaysia.

Mereka terlibat secara langsung dalam projek-projek berskala kecil dan sederhana yang mana secara langsung menyokong pembangunan tempatan seperti pembinaan sekolah, jalan luar bandar, dewan komuniti, rumah mampu milik dan penyelenggaraan kemudahan asas.

Walaupun skop mereka berbeza daripada kontraktor kelas besar, sumbangan mereka terhadap keseimbangan pembangunan infrastruktur tidak boleh dipandang remeh.

Selalunya skop kerja kontraktor kecil adalah bersifat ringkas dan tidak memakan masa yang panjang untuk penyiapan.

Dalam perbincangan mengenai reformasi industri pembinaan, baik dari sudut digitalisasi, dasar hijau atau penambahbaikan tadbir urus, suara kontraktor kecil sering kali terpinggir dan dipandang sepi.

Apatah lagi untuk mengambilkira kehendak dan tahap kepuasan serta motivasi mereka. Justeru, mengukur dan memahami tahap kepuasan kontraktor kecil dan sederhana dilihat penting bagi menjamin kesinambungan industri yang mampan, adil dan berdaya saing.

Menurut data terkini yang diperoleh dari Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), terdapat lebih daripada 273,340 kontraktor berdaftar di seluruh negara daripada Gred G1 sehingga Gred G7.

Daripada jumlah tersebut, majoriti adalah kontraktor dalam kategori gred kecil dan sederhana (G1 hingga G4). Sebagai contoh, di negeri Perlis sahaja, terdapat lebih daripada 2911 kontraktor berdaftar dalam kategori G1 dan G2.

Ini jelas menunjukkan bahawa kontraktor kecil dan sederhana membentuk sebahagian besar daripada ekosistem pembinaan negara.

Kajian yang dijalankan oleh Fakulti Teknologi dan Pengurusan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengenal pasti lima faktor utama yang mempengaruhi tahap kepuasan kontraktor kecil di negara ini.

Pertama, akses kepada peluang projek amat kritikal. Walaupun sistem seperti ePerolehan diwujudkan untuk meningkatkan ketelusan, ramai kontraktor kecil melaporkan kekangan maklumat dan persaingan tidak seimbang.

Kedua, isu pembayaran lewat masih menghantui industri. Kajian oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) mendapati lebih 65% kontraktor kecil mengalami kelewatan bayaran, menyebabkan mereka menghadapi masalah aliran tunai di mana ia menjadi kontraktor “bertarung nyawa” untuk terus kekal dalam perniagaan.

Faktor ketiga ialah kesukaran mendapatkan pembiayaan. Ramai kontraktor kecil gagal mendapatkan pinjaman kerana kekurangan cagaran dan rekod kewangan yang lemah dan kurang meyakinkan.

Keempat, akses kepada latihan teknikal dan pengurusan projek amat penting. Latihan anjuran CIDB dan HRD Corp dilihat membantu, namun penyertaan masih rendah akibat kekangan masa, lokasi dan sumber kewangan.

Seterusnya, factor yang kelima, hubungan kerja dengan pemilik projek memainkan peranan besar. Komunikasi yang terbuka dan kolaboratif antara kontraktor dan wakil pemilik projek seperti JKR atau PBT boleh mengurangkan konflik di tapak dan meningkatkan kepuasan kerja.

Perkara ini jelas menggambarkan betapa pentingnya untuk meningkatkan motivasi dengan mengukur kepuasan kontraktor. Malahan ia juga penting dalam memberi gambaran menyeluruh terhadap keberkesanan dasar dan sistem industri pembinaan semasa.

Beberapa kajian lepas menyatakan bahawa pembangunan mampan tidak hanya bergantung pada pelaburan dan teknologi, tetapi juga pada keterlibatan pemain industri akar umbi seperti kontraktor kecil. Mereka yang berpuas hati lebih cenderung melabur dalam latihan, menjaga kualiti dan memenuhi keperluan keselamatan.

Menilai kepuasan kontraktor kecil dan sederhana

Terdapat beberapa model kepuasan boleh digunakan, antaranya SERVQUAL, Customer Satisfaction Index (CSI) dan Kano Model.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pernah menggunakan Beberapa model kepuasan boleh digunakan, antaranya SERVQUAL, Customer Satisfaction Index (CSI) dan Kano Model.

Penggunaan SERVQUAL semakin meluas di negara ini bagi mengukur perbezaan antara jangkaan dan pengalaman sebenar kontraktor terhadap perkhidmatan agensi kerajaan.

Manakala, di luar negara, misalnya University of Salford di UK menggunakan CSI untuk menilai kepuasan syarikat binaan kecil terhadap sokongan dasar tempatan.

Universiti Kyoto di Jepun pula menerapkan Kano Model untuk memahami keperluan asas dan keperluan nilai tambah bagi kontraktor.

Dalam era baharu, cabaran terhadap kontraktor kecil dan sederhana semakin mencabar.

Bahang transformasi digital menuntut mereka memahami sistem e-submission, BIM dan teknologi pintar pembinaan.

Malangnya, masih ramai kontraktor yang bergantung kepada kaedah tradisional kerana kekurangan pengetahuan dan sumber.

Bukan itu saja, dalam masa sama, permintaan terhadap pematuhan Environmental, Social & Governance (ESG) dan Sustainable Development Goals (SDG) menjadikan proses penawaran projek semakin rumit dan sukar dipenuhi sevara efektif.

Kontraktor kecil perlu menyediakan laporan karbon, pengurusan sisa binaan, serta dokumen kesejahteraan pekerja, yang mana ia memerlukan latihan dan sokongan khusus.

Di beberapa negara maju seperti Jerman, Australia dan Singapura, kontraktor kecil menerima pendedahan yang lebih sistematik.

Di Jerman dasar “Mittelstand” memberi perlindungan kepada syarikat kecil melalui peruntukan khas dalam tender kerajaan.

Di Singapura, National University of Singapore (NUS) bekerjasama dengan agensi binaan negara untuk memberikan latihan ESG kepada kontraktor kecil.

Di Australia, platform seperti "ProcureRight" digunakan bagi memadankan kontraktor kecil dengan projek berdasarkan profil dan keupayaan mereka.

Justeru, Malaysia boleh meneladani pendekatan ini dengan mewujudkan indeks kepuasan kontraktor nasional yang dikemaskini secara tahunan.

Data ini boleh menjadi rujukan penting dalam pelaksanaan dasar seperti Dasar Pembinaan Negara (NCP), Dasar Perolehan Kerajaan, dan juga Agenda Peralihan Digital Negara.

Dalam masa sama, agensi seperti CIDB, SME Corp, HRD Corp dan MARA boleh memainkan peranan lebih proaktif dalam membantu kontraktor kecil menyesuaikan diri dengan perubahan landskap industri.

Sebagai kesimpulannya, kontraktor kecil bukan sekadar pelaksana di lapangan tetapi mereka adalah pelaku strategik yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat, kestabilan sosial, dan kelestarian industri pembinaan negara.

Suara mereka perlu didengari, kepuasan mereka perlu diukur rapi, dan potensi mereka perlu digilap. Hanya dengan itu, kita boleh membina industri pembinaan yang lebih adil, mampan dan inklusif.

-- BERNAMA

Profesor Madya Dr. Md Asrul Nasid Masrom ialah Penyelidik Utama , Pusat Infrastruktur Lestari dan Pengurusan Alam Sekitar (CSIEM)' Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) manakala Sr Hj Norazilan Mazahar, Bahagian Kontrak Ukur Bahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)